Pelan PewarisanPrinsip Syariah

Kedudukan Harta Sepencarian Mendahului Faraid, Ramai Masih Keliru

MESKIPUN sering kali isu faraid atau pembahagian harta pusaka sering dibangkitkan, namun masih ramai yang kurang cakna mengenainya.

Hakikatnya semua orang perlu mengambil maklum tentang perkara tersebut. Ini kerana kita pasti akan menemui Sang Pencipta apabila tiba saatnya.

Tiada siapa pun yang tahu siapa yang akan pergi meninggalkan alam yang fana ini. Masakan tidak, ajal boleh sahaja datang menjemput pada bila-bila masa waima dalam usia muda sekalipun.

Namun begitu, ada sesuatu yang perlu kita fahami tentang perihal faraid terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, mengikut undang-undang syariah, kedudukan harta sepencarian adalah mendahului faraid.

Ini kerana lazimnya dalam alam rumah tangga, hanya suami dan isteri saling mengenali pasangan masing-masing.

“Kedua-dua mereka lebih mengetahui sumbangan dan pengorbanan masing-masing berbanding ahli keluarga sendiri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantarannya di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan, meskipun isteri tidak bekerja dan hanya bergelar suri rumah, wanita tersebut masih berhak menuntut harta sepencarian berdasarkan takat sumbangan tak langsung dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

“Isteri perlu memfailkan pengistiharan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu selepas kematian suami.

“Ini bagi mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan ahli waris kelak. Bukan apa, takut sekiranya harta-harta yang sepatutnya menjadi milik isteri jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya,” terangnya.

Isteri berhak tuntut harta sepencarian dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

Begitu juga halnya dengan si suami, Nurain Akmal Khairunnisa menambah, sekiranya kaum Adam ada membuat sumbangan secara langsung terhadap mana-mana pemilikan harta dalam perkahwinan, maka mereka boleh juga memfailkan harta sepencarian sebelum harta difaraidkan andai isteri meninggal dunia.

Faraid

KUMPULKAN segala dokumen berkaitan termasuklah penyata bank, kontrak jual beli dan sebagainya untuk memudahkan urusan faraid andai kita sudah meninggal dunia.

Dalam pada itu, pengamal undang-undang syariah itu turut berkongsi ilmu tentang perkara yang perlu dilakukan waris dengan harta si mati jika meninggal dunia.

Berikut adalah turutan sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam:

  1. Kos perbelanjaan pengebumian si mati.
  2. Langsaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang dengan ALLAH SWT atau hutang kepada manusia.
  3. Uruskan wasiat si mati sekiranya arwah ada mewasiatkan hartanya kepada bukan ahli waris dan urus hibah jika ada.
  4. Pengisytiharan harta sepencarian.
  5. Faraidkan harta si mati.

Semoga dengan perkongsian ini akan menambah lagi ilmu kita berkaitan faraid.

Sumber: Sinar Islam Plus

==============================

Jika artikel ini memberi manfaat kepada anda, mohon dikongsikan juga kebaikan dan manfaat ini dengan orang lain, agar kebaikan ini dapat diperkembangkan.

Rasulullah saw bersabda:
“Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” ~ Hadis Riwayat Bukhari

Sabda Baginda saw lagi: 
“Sebaik-baik manusia adalah orang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain” ~ Hadis Ibn Hibban

Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik balasan kepada anda di atas perkongsian kebaikan yang bermanfaat ini.

Terima kasih.

Artikel Berkaitan

Lihat Juga
Close
Back to top button