Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Kebankrapan Individu

Apa itu Kebankrapan Individu?

Kebankrapan merupakan satu proses undangundang yang seorang penghutang itu diisytiharkan sebagai ‘bankrap’ lanjutan daripada suatu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap penghutang tersebut atas kegagalan atau ketidakupayaan untuk membayar hutang sekurangkurangnya RM30,000.00. Permohonan kepada mahkamah boleh dibuat oleh pemiutang mahupun penghutang itu sendiri. Bagi permohonan yang dibuat oleh penghutang sendiri, tiada had untuk nilai hutang.

Seorang bankrap hendaklah melaporkan segala harta dan tanggungannya kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk ditadbir. Harta orang yang bankrap akan ditadbir bagi membantu mereka keluar daripada kebankrapan.

Selain itu, orang yang bankrap juga akan dikenakan beberapa sekatan seperti tidak dibenarkan untuk ke luar negara, memegang jawatan-jawatan tertentu, seperti pengarah atau pengurus atau melibatkan kewangan sesebuah syarikat / perniagaan dan mengendalikan perniagaan persendirian (sole proprietorship) atau perkongsian (partnership). Walau bagaimanapun, sekatan-sekatan tersebut boleh dikecualikan sekiranya orang yang bankrap membuat permohonan kepada KPI dan diberi kebenaran oleh KPI. Bankrap yang ingin bekerja dengan manamana syarikat milik suami atau isteri, individu yang mempunyai pertalian darah dengan suami atau isteri dan adik beradiknya atau adik-beradik (ipar) suami / isteri (ipar) juga perlu mendapatkan kebenaran KPI.

Namun, status kebankrapan bukanlah gelaran yang harus disandang seumur hidup oleh individu berkenaan. Terdapat tiga (3) cara untuk seseorang bankrap keluar daripada kebankrapannya iaitu  Pembatalan melalui Mahkamah, Pelepasan melalui Mahkamah dan Pelepasan melalui Sijil KPI. Kaedah penamatan kebankrapan dengan cara mendapatkan Pembatalan atau Pelepasan melalui Mahkamah melibatkan pemfailan permohonan oleh orang yang bankrap ke Mahkamah, manakala penamatan kebankrapan dengan mendapatkan Pelepasan melalui Sijil KPI hanya melibatkan pemfailan permohonan kepada KPI. KPI mempunyai kuasa budi bicara untuk melepaskan orang yang bankrap dengan mengambil kira kriteria tertentu, khususnya kerjasama yang diberikan bankrap kepada KPI dalam pentadbiran kes kebankrapan beliau. Walau bagaimanapun, keputusan KPI untuk melepaskan orang yang bankrap melalui Sijil KPI tertakluk kepada bantahan pemiutang dan keputusan mahkamah sekiranya pihak pemiutang memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk menghalang KPI daripada mengeluarkan Sijil Pelepasan KPI kepada orang yang bankrap.

CARTA ALIRAN TINDAKAN BANKRAP SELEPAS PERINTAH PENERIMAAN DAN PERINTAH PENGHUKUMAN DIREKODKAN

Penerangan

  1. Pada sesi proses temu kenal maklumat-maklumat seperti berikut akan direkodkan:
    1. Maklumat peribadi (spt: alamat terkini, pekerjaan bankrap, taraf akademik bankrap)
    2. Maklumat tempat tinggal (spt: pengesahan kediaman)
    3. Maklumat keluarga (taraf perkahwinan, maklumat pasangan, tanggungan)
    4. Maklumat pekerjaan
    5. Maklumat kebankrapan
    6. Sebab-sebab berhutang
    7. Cadangan penyelesaian hutang
  2. PHE perlu diserahkan dalam tempoh 7 hari bagi petisyen penghutang (permohonan Oleh bankrap) dan 21 hari bagi petisyen pemiutang (permohonan oleh pemiutang) dari tarikh perintah kebankrapan. Orang yang bankrap perlu mengisytiharkan dengan jujur dan telus segala aset dan tanggungan dalam PHE.
  3. Orang yang bankrap hendaklah memfailkan penyata pendapatan dan perbelanjaan, setiap 6 bulan sekali bermula daripada tarikh kebankrapan. Penyata tersebut hendaklah mengandungi akaun bagi semua wang dan harta yang diperoleh dalam tempoh 6 bulan terdahulu.
  4. Orang yang bankrap perlu sentiasa mengemas kini maklumat-maklumat seperti berikut:
    1. sekiranya terdapat pertukaran alamat;
    2. maklumat pekerjaan seperti gaji,bonus, elaun dan lain-lain;
    3. sebarang aset yang dimiliki selepas tarikh kebankrapan, seperti mewarisi harta pusaka, polisi insurans wang di bank dan lain-lain.

Untuk pertanyaan lanjut dan aduan, sila e-melkan kepada mdi.aduan@insolvensi.gov.my atau hubungi di talian 03-8885 1288.

Sumber : MdI/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 48/April 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button