Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Kebaikan Urus Hutang Secara Bijak

Anda memerlukan dorongan dan disiplin untuk menguruskan hutang dengan bijaksana. Berikut adalah kebaikan mengurus hutang secara efektif:-

1) Pengurusan aliran tunai yang lebih baik

Jika anda berjaya mengawal hutang pada tahap yang terkawal, anda akan mempunyai lebihan wang untuk tabungan, dan seterusnya mempunyai kedudukan aliran tunai yang positif.

Memiliki aliran tunai yang positif adalah perlu kerana anda mempunyai dana berlebihan untuk membantu membina tabung kecemasan, mengurangkan hutang dan juga boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang baik.

Aliran tunai positif boleh dicapai sekiranya anda mempunyai bajet dan memantaunya dengan baik.

2) Pengurusan kekayaan yang lebih baik.

Sebahagian besar proses membina kekayaan memerlukan anda membuat keputusan bijak mengenai hutang. Melalui pengurusan hutang yang bijak, anda mengurangkan liabiliti sambil meningkatkan kedudukan nilai harta bersih. Semua ini secara efektif akan membawa kepada pengurusan kekayaan yang lebih baik.

3) Mengelak bayaran lewat dan caj penalty

Jadilah seorang pembayar hutang yang berhemat!. Lebih cekap anda mengurus hutang, maka lebih banyak penjimatan faedah dan caj lain yang anda peroleh. Ambillah langkah pertama dengan membayar hutang anda mengikut jadual.

4) Mengurangkan kos pinjaman

Anda boleh melangsaikan hutang dengan cepat jika mengurus hutang secara bijak dan sentiasa memantaunya. Lebih cepat anda melangsaikan hutang, maka lebih banyak penjimatan kos faedah anda peroleh.

5) Meningkatkan kedudukan kredit

Pengurusan hutang yang bijak akan membantu anda membina rekod kredit yang lebih baik bagi memudahkan anda mengambil pinjaman pada masa hadapan. Ini adalah kerana rekod pembayaran anda akan dijejak melalui Biro Kredit Bank Negara Malaysia.

Setiap kali anda meminjam daripada Institusi Kewangan Berlesen, semua hutang dan rekod pembayaran anda akan dicatatkan. Oleh itu, sekiranya anda pernah terlewat atau gagal menjelaskan pinjaman, ini mungkin boleh menjejaskan keupayaan anda untuk memperoleh pinjaman pada masa hadapan. Pertimbangan permohonan pinjaman juga bergantung kepada beberapa faktor, antaranya profil pemohon, status kewangan dan kemampuan pemohon untuk membayar balik pinjaman.

6) Mengelakkan gangguan atau tindakan undang-undang

Untuk mengelak tindakan undang-undang, pastikan anda membayar ansuran bulanan tepat pada masanya. Anda perlu sedar bahawa jika anda tertinggal atau tidak membayar ansuran mengikut jadual, kedudukan kredit anda akan terjejas dan si pemiutang akan mencari atau menghubungi anda.

7) Hubungan keluarga yang lebih baik

Semakin cekap anda menguruskan hutang, semakin baik hubungan anda dengan ahli keluarga. Sering kali pertelingkahan atau salah faham yang berlaku antara ahli keluarga adalah berpunca daripada masalah kewangan.

Pengurusan hutang yang baik akan mengeratkan hubungan anda dengan keluarga serta kawan dan rakan sekerja.

Ini pasti memupuk suasana yang lebih harmoni di rumah sambil meningkatkan produktiviti di tempat kerja.

Sumber : Buku “Power! Pengurusan wang ringgit anda” oleh AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 34/Februari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button