Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Kajian Keupayaan Kewangan Eksekutif Muda

Perkembangan semasa teknologi komunikasi dan maklumat telah menyumbang kepada kewujudan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan di pasaran. Ini menyebabkan pengguna mempunyai banyak pilihan untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Setiap individu mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka berhutang. Antaranya, untuk memenuhi keperluan, seperti membeli rumah dan hartanah, kenderaan, melanjutkan pendidikan, mengembangkan perniagaan serta pelbagai tujuan lain. Terdapat pelbagai bentuk pinjaman yang terdapat di pasaran, seperti pinjaman peribadi, pendidikan, perumahan, sewa beli kenderaan, kad kredit dan skim bayaran mudah.

Kemudahan kredit atau hutang yang disediakan sudah pastinya mempunyai kelebihan dan kelemahan. Antara kelebihannya ialah ia memberikan keselesaan (tidak perlu membawa wang tunai), digunakan semasa kecemasan, membeli barang yang besar harganya dan memberikan peluang kepada individu dan isi rumah untuk menikmati kehidupan. Kelemahan pembelian secara kredit pula, antaranya membawa kepada gaya hidup yang tidak realistik, hidup di luar kemampuan, mahal (kos kredit) dan komitmen kewangan yang tinggi.

Satu kajian berkaitan dengan keupayaan kewangan (Financial Capability) dalam kalangan eksekutif muda telah dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia. Kajian ini melibatkan seramai 508 orang responden. Pemilihan responden berdasarkan teknik kepada persampelan rawak berperingkat yang melibatkan zon tengah Semenanjung Malaysia (Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya). Responden ditanya sejauh mana beban hutang yang ditanggung oleh mereka berdasarkan skala daripada satu (sangat tidak membebankan) sehingga 5 (sangat membebankan).

Hasil kajian mendapati golongan responden yang terbeban dengan hutang dari segi peratusan tertinggi ialah pekerja wanita (60.7%), berumur antara 25-34 tahun (64%) dan mempunyai pendapatan bulanan antara RM1,500 sehingga RM3,500 (57.6%), telah berkahwin (65.3%) serta mempunyai pendidikan pada peringkat tertiari (54.7%). Status kewangan semasa menunjukkan bahawa majoriti responden mempunyai peratus simpanan bulanan berbanding pendapatan kurang daripada 10% (64.7%), nilai harta kurang daripada nilai aset (50%), pendapatan yang diterima hanya cukup untuk keperluan asas sahaja (70.7%) dan tidak mempunyai persediaan persaraan (66%).

Peningkatan hutang isi rumah yang tidak selari dengan peningkatan pendapatan akan menyebabkan isi rumah terdedah kepada kejutan negatif. Ini boleh memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Oleh itu, pengetahuan dan kemahiran pengurusan kewangan mampu membantu individu untuk mengatasi masalah bebanan hutang. Pendidikan secara holistik sangat penting bagi mendidik eksekutif muda dan penyampaian secara berkesan sangat diperlukan. Pendekatan yang menyeluruh dan sinergi daripada semua pihak, termasuklah penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan, institusi kewangan dan pembuat dasar amat diperlukan dalam usaha untuk membantu melahirkan masyarakat pengguna yang celik wang.

Penulis: Mohamad Fazli Sabri, Ph.D, CFP (FPAM), Jabatan Pengurusan Sumber & Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia dan Pusat Kecemerlangan Kajian Penggunaan Lestari, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 56/Disember 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button