PenggunaPengurusan Hutang

Kajian Kes: “Jualan” Yang Bukan Sebenarnya Jualan

Salleh telah membeli sebuah kereta bernilai RM60,000 dengan menggunakan pinjaman sewa beli. Jumlah gaji termasuk elaun kerja lebih masanya yang agak lumayan membolehkan dia membayar pinjaman sewa beli tersebut dengan selesa.

Tidak berapa lama kemudian, Salleh telah hilang pekerjaan kerana syarikat telah mengecilkan saiz operasinya. Salleh menganggur hampir setahun dan terpaksa menggunakan tabungannya untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar ansuran keretanya. Akhirnya, dia tidak mampu lagi membayar ansuran tersebut dan mengambil keputusan untuk menjual keretanya.

Salleh memaklumkan kepada kawannya, Ahmad bahawa beliau ingin menjual kereta tersebut ekoran keadaan kewangannya yang semakin meruncing. Ahmad telah menawarkan untuk “membeli” kereta tersebut dan bersetuju menyambung pembayaran ansuran pinjaman sewa beli Salleh, iaitu baki pinjaman adalah RM40,000. Di samping itu, Ahmad juga menawarkan untuk membayar RM1,000 tunai. Salleh yang sedang dalam kesempitan kewangan bersetuju dan terus menyerahkan kunci keretanya kepada Ahmad.

Selepas setahun, Salleh menerima surat peringatan daripada pihak bank kerana beliau gagal membayar ansuran pinjaman sewa belinya. Salleh berasa hairan dan cuba menghubungi Ahmad tetapi gagal. Oleh kerana baki pinjaman telah mencecah lebih daripada RM30,000, Salleh telah diberi notis kebankrapan oleh pihak bank.

Salleh merasa bimbang dan memaklumkan pegawai bank bahawa dia sebenarnya telah “menjual” keretanya kepada Ahmad. Pegawai bank sebaliknya menjelaskan penyewa tidak boleh menjual keretanya kepada pihak ketiga selagi belum menjelaskan pinjaman dengan sepenuhnya. Salleh cemas dengan penjelasan itu dan terkejut kerana dia masih  bertanggungjawab ke atas pinjaman tersebut. Sekarang Salleh tidak tahu apa yang perlu dilakukannya dan tertanyatanya bagaimana hendak menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya ini. Untuk mengelakkan tindakan kebankrapan, Salleh telah mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Apabila anda menjual kereta dalam tempoh pinjaman sewa beli, pastikan baki pinjaman telah dijelaskan sepenuhnya sebelum memindahkan hak milik kereta. Anda bertanggungjawab ke atas baki pinjaman selagi pinjaman sewa beli masih di bawah nama anda.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 38/Jun 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button