Pelan PelaburanPerancangan Kewangan

Kaedah Menangani Kejayaan Dan Kegagalan Ketika Melabur

Bagi pelabur yang berpengalaman, untung rugi serta naik jatuh sesuatu pelaburan adalah suatu lumrah. Walau bagaimanapun, setiap individu pasti akan memberi reaksi berbeza apabila berhadapan dengan keuntungan atau kerugian. Ada pelabur yang tidak mahu melabur lagi setelah mengalami kegagalan, namun ada juga yang terus melabur dan menyifatkan kejayaan dan kegagalan pelaburan sebagai satu proses pembelajaran yang berterusan. Apa yang penting ialah anda perlu memantapkan tahap emosi supaya lebih bersedia menghadapi jatuh bangun pasaran saham. Pada akhir artikel ini, anda sebagai pelabur akan dapat mengenal pasti:

  • perbezaan utama antara pelabur berjaya dan tidak berjaya;
  • kaedah untuk mengubah kegagalan kepada kejayaan dalam pelaburan; dan
  • bagaimana untuk membina semula dan mengekalkan kejayaan dalam pelaburan

Menangani Kegagalan

Umum mengetahui, anda tidak akan sentiasa untung dalam pasaran saham. Sebagai contoh, ada masanya nilai pelaburan anda menurun apabila keadaan pasaran merudum kesan daripada kemelesetan ekonomi. Anda mungkin juga melakukan sedikit kesilapan dan terpaksa membelanjakan wang yang banyak dalam proses tersebut. Sebagai seorang pelabur, anda perlu belajar mengenal pasti perbezaan antara kerugian sementara yang disebabkan oleh kitaran menurun pasaran, dengan kerugian akibat daripada kesilapan yang dilakukan dalam pelaburan. Sekiranya ia berpunca daripada kitaran pasaran, anda tidak perlu membuat apa-apa tindakan jika asas-asas pasaran masih kukuh dan penurunan tidak drastik. Walau bagaimanapun, sekiranya kerugian itu berpunca daripada kesilapan diri sendiri, anda perlu belajar menerima kenyataan dan bangun semula. Namun demikian, ramai pelabur cenderung menjadi takut dan menyesal apabila menghadapi kegagalan. Sekiranya terus dibelenggu oleh emosi negatif ini, anda mungkin akan diselubungi ketakutan untuk mengalami kerugian sekali lagi, dan melupakan strategi asal pelaburan anda. Ada juga yang panik, sehingga mendorong mereka membuat keputusan yang bakal dikesali kelak.

Tambahan pula, tidak semua orang yang mampu untuk mengelak daripada mengalami kesan emosi akibat daripada kegagalan. Walau bagaimanapun, perbezaan utama antara pelabur berjaya dengan pelabur yang lain ialah, mereka mampu mengenal pasti dan mengakui kesilapan yang telah dilakukan. Anda akan mempunyai fikiran yang lebih tenang untuk memikirkan langkah seterusnya sekiranya mampu melakukan perkara yang sama, iaitu mengurangkan kerugian. Tindakan perlu diambil untuk mengurangkan kerugian, iaitu dengan memastikan keseluruhan kerugian portfolio berada pada tahap minimum. Di samping itu, anda juga perlu mengkaji dan menstrukturkan semula strategi pelaburan. Seandainya sukar, dapatkan bantuan daripada penasihat pelaburan profesional. Aspek yang paling penting adalah untuk melakukan sesuatu yang dapat membantu anda menentukan apa yang benar-benar ingin dicapai. Hanya dengan cara ini anda dapat mengubah kegagalan kepada kejayaan.

Membina semula kejayaan

Jika kerugian boleh menjatuhkan semangat anda dalam pelaburan, kadangkala keuntungan juga boleh memberikan impak yang sama, iaitu ia mengaburi pertimbangan sebagai pelabur. Apabila mendapat keuntungan yang tinggi atau mendapat pulangan dalam pelaburan, anda mungkin menjadi terlalu yakin dalam pelaburan dan beranggapan tidak akan melakukan sebarang kesilapan. Ini akan menjadikan anda terlalu agresif dalam portfolio, yang akhirnya bakal mengakibatkan bencana.

Sebaliknya, kejayaan juga boleh menjadikan anda terlalu berhati-hati dan enggan mengambil risiko, kerana mahu kejayaan itu kekal buat selama-lamanya. Walau bagaimanapun, jangan terlalu leka dengan kejayaan, kerana ini akan menjadikan anda lupa objektif pelaburan yang seterusnya membawa kepada kegagalan. Ringkasnya, kenal pasti faktor yang membawa kejayaan tersebut dan gunakan ia bagi mendapatkan semula keuntungan yang pernah diperoleh dulu.

Selagi apa yang anda lakukan dapat memaksimumkan nilai portfolio dan tidak melibatkan pengambilan risiko yang tinggi, maka kejayaan pasti boleh dicipta semula.

Akhirnya, strategi pelaburan yang bersesuaian dengan profil risiko dapat membantu anda untuk bersikap fokus dan berada di landasan yang betul. Buat kajian berkala serta perubahan sekiranya perlu, namun pastikan ia selaras dengan situasi semasa anda. Walaupun faktor emosi boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, ia tidak akan memberikan kesan yang mendalamĀ  sekiranya anda mempunyai perancangan dan komited dengan pelan tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 30/Oktober 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button