Pelan Perlindungan

Kad Perubatan dan Insurans

Kad perubatan merupakan kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Terdapat organisasi yang menyediakan kemudahan ‘perlindungan berkumpulan’ untuk pekerja mereka. Namun begitu, perlindungan yang diberikan adakalanya tidak mencukupi untuk membiayai rawatan sesetengah penyakit kronik seperti barah, sakit jantung, dan penyakit lain. Oleh itu, memiliki kad perubatan membolehkan kos perubatan ditanggung oleh pihak insurans, berdasarkan kepada polisi yang diambil. Anda perlu memahami secara terperinci tentang perlindungan kad perubatan yang dimiliki atau bakal dimiliki bagi mengelakkan daripada wujudnya pertikaian semasa membuat tuntutan.

Berdasarkan aduan-aduan terhadap syarikat-syarikat insurans yang direkodkan oleh NCCC, menunjukkan bahawa pemegang polisi masih tidak memahami perlindungan yang mereka perolehi daripada kad perubatan yang dimiliki. Mereka sering menyalahkan ejen insurans kerana tidak menyatakan semua maklumat penting sebelum mereka mengambil kad perubatan. Contohnya, kebanyakan kad perubatan yang ada tidak melindungi penyakit barah peringkat satu. Mereka hanya akan menampung kos perubatan untuk penyakit barah bermula daripada peringkat ketiga dan seterusnya. Sekiranya anda inginkan perlindungan perubatan bermula pada peringkat satu, anda perlu meningkatkan jumlah premium yang dibayar (istilah yang digunakan untuk bayaran bulanan ataupun tahunan).

Isu-isu seperti ini timbul berpunca daripada kurangnya komunikasi secara jelas antara ejen insurans dan pemegang polisi insurans. Pemegang polisi juga sepatutnya mengambil inisiatif untuk mengetahui secara terperinci berhubung terma-terma berkaitan polisi insurans yang dibeli.

Untuk mengelakkan daripada berlakunya pertikaian semasa membuat tuntutan, pemegang polisi digalakkan untuk bertanya kepada ejen mereka atau syarikat insurans berhubung perkara yang mereka tidak fahami dan tidak jelas. Mereka juga seharusnya membuat perbandingan pelbagai produk insurans yang terdapat di pasaran untuk mendapatkan produk yang sesuai dengan mereka. Ini boleh mengurangkan risiko wujudnya pertikaian pada masa hadapan. Terdapat juga kes pertikaian yang berakhir dengan pengguna disenarai hitam kerana tidak dapat menjelaskan bayaran kepada hospital swasta setelah mendapatkan rawatan. Apabila tuntutan insurans dibuat kepada syarikat insurans, tuntutan tersebut tidak diluluskan dan menyebabkan pengguna tidak dapat menampung kos perubatan tersebut. Keadaan bertambah buruk sekiranya tunggakan perubatan melebihi RM30,000, kerana jumlah tersebut merupakan had minimum yang boleh menyebabkan notis bankrap dikeluarkan.

Pembatalan polisi insurans juga seringkali menimbulkan pertikaian. Dalam kebanyakan kes, pembatalan polisi insurans tidak dilakukan mengikut prosedur yang sepatutnya. Pembatalan polisi insurans haruslah dilakukan secara bertulis dan tidak boleh dilakukan melalui telefon ataupun dengan menghantar pesanan ringkas kepada ejen insurans.

Pembatalan secara bertulis perlu dilakukan, terutamanya bagi mereka yang membayar premium bulanan menggunakan kad kredit. Jika pembatalan tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul, maka premium akan terus dicaj kepada kad kredit.

Sejak kebelakangan ini, terdapat kes penipuan terhadap ejen insurans yang menyalahgunakan bayaran premium pelanggannya. Pemegang polisi perlu mengetahui bahawa segala bayaran premium hendaklah dibuat atas nama syarikat insurans, dan bukannya atas nama ejen insurans. Kebanyakan kes seperti ini terjadi apabila pengguna sudah biasa membayar premium kepada ejen untuk beberapa jangka masa tertentu, dan kemudiannya ejen tersebut tiba-tiba menghilangkan diri. Ini merupakan tindakan yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang.

Pemegang polisi haruslah ingat bahawa dalam kontrak insurans yang mereka tandatangani, sudah jelas tertera bahawa segala bayaran premium perlu dibuat atas nama syarikat insurans. Jadi, wujud persoalan di sini, adakah pemegang polisi betul-betul faham tentang kontrak yang mereka tandatangani.

Isu syarat dan terma yang terkandung dalam sesebuah kontrak insurans sentiasa menjadi topik hangat kerana banyak mengandungi istilah perundangan yang kurang difahami orang biasa. Oleh itu, syarikat insurans haruslah lebih bertanggungjawab dengan memberikan latihan kepada ejen insurans mengenai cara-cara mempromosikan sesebuah produk insurans kepada pengguna secara telus dan beretika.

Selain itu, syarikat insurans juga seharusnya mengambil langkah-langkah yang positif, seperti memastikan bahawa mereka hanya menggunakan ejen yang beretika untuk mempromosikan produk mereka. Penjelasan terperinci mengenai manfaat kad perubatan dan segala informasi lain yang perlu diberikan kepada pemegang polisi.

Isu kad perubatan dan insurans boleh dibendung sekiranya pengguna dan syarikat insurans bersikap lebih bertanggungjawab dengan memainkan peranan masing-masing sepenuhnya.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 58/Februari 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button