Pengguna

Kad Kredit: Terma Dan Syarat Yang Perlu Anda Ketahui

Menurut statistik Bank Negara Malaysia, terdapat 8.3 juta pemegang kad kredit di Malaysia pada akhir 2013. Persoalannya, adakah anda benar-benar memahami tentang terma dan syarat sebelum memiliki kad kredit?

Kad kredit boleh memberi pelbagai kemudahan kepada pelanggan. Namun begitu, sebelum memiliki kad kredit, pengguna perlu mengetahui terma dan syarat yang ditawarkan. Kandungan terma dan syarat ini biasanya ditulis dalam bahasa yang formal dan teknikal, agak sukar untuk difahami oleh pengguna. Anda juga boleh meminta bantuan pegawai khidmat pelanggan menerangkan kandungan tersebut.

Selain itu, anda boleh pertimbangkan beberapa perkara utama sebelum anda memilih jenis kad kredit. Antaranya ialah:-

a) Bayaran tahunan dan Cukai Perkhidmatan kerajaan

Bayaran tahunan adalah bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan oleh institusi bank. Kad jenis Gold Mastercard/Visa/Amex biasanya mengenakan bayaran tahunan antara RM70 hingga RM200 bagi kad utama dan RM60 hingga RM150 untuk kad tambahan. Sesetengah bank juga menawarkan pengecualian yuran tahunan, seperti contoh sekiranya anda mencapai jumlah minimum atau anda berbelanja pada jumlah minimum yang ditetapkan.

Semua kad kredit juga tertakluk kepada cukai perkhidmatan kerajaan sebanyak RM50 bagi pemegang kad utama dan RM25 bagi pemegang kad tambahan. Beberapa bank menawarkan rebat cukai sekiranya anda menggunakan kad kredit dengan jumlah tertentu. Ada antaranya yang menawarkan tebusan mata ganjaran untuk membayar yuran tersebut.

Anda disarankan untuk sentiasa menyemak dengan pihak bank bagaimana anda boleh berjimat daripada bayaran cukai.

b) Had kredit

Anda harus bertanyakan mengenai had kredit anda, walaupun ia ada dinyatakan dalam penyata bulanan anda. Biasanya, jika pendapatan anda kurang daripada RM36,000 setahun, jumlah had kredit akan menjadi dua kali ganda gaji bulanan anda. Contoh sekiranya pendapatan tahunan anda berjumlah RM36,000, had kad kredit yang anda perolehi adalah sebanyak RM6,000.

Namun, anda perlu mengelakkan daripada berbelanja melebihi had kredit kerana anda akan dikenakan penalti dan akaun anda digantung sementara oleh pihak bank.

c) Bayaran minimum

Bayaran minimum bermaksud anda membayar bil bulanan kad kredit secara minimum untuk mengelakkan penalti. Kadar rata bayaran minimum biasanya RM50 atau 5 peratus daripada jumlah baki kad kredit anda. Ia bergantung kepada yang mana lebih tinggi. Ketahui kadar bayaran minimum anda supaya anda dapat membuat jangkaan sebelum anda menerima penyata. Anda dinasihatkan agar membayar lebih daripada jumlah minimum pada setiap bulan. Bayaran penuh adalah lebih baik.

d) Kadar faedah

Salah satu tanggapan biasa yang salah tentang kad kredit ialah faedah akan dikenakan ke atas segala perbelanjaan yang anda gunakan. Hakikatnya, anda hanya akan dikenakan kadar faedah sekiranya anda mempunyai baki tertunggak di dalam akaun. Tempoh bebas faedah (bagi kebanyakan bank ialah 20 hari dari tarikh penyata, tetapi anda perlu merujuk kepada terma dan syarat kad anda). Oleh itu, jika anda membayar sepenuhnya, dan menjelaskan dengan segera, anda tidak perlu membayar faedah.

Pada masa ini pemegang kad kredit dikenakan faedah bertingkat. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisplin. Kadar bertingkat adalah seperti berikut:-

Walau bagaimanapun, bank-bank mempunyai kriteria yang berbeza untuk kadar faedah berperingkat. Sila dapatkan maklumat daripada pihak bank untuk keterangan lanjut.

e) Yuran dan caj tambahan

Akhir sekali, lihat sama ada bank anda mengenakan caj tambahan untuk perkhidmatan tertentu. Sebagai contoh, menggunakan kad kredit bagi pendahuluan tunai dan urus niaga luar negara. Kemungkinan anda akan dikenakan kadar yang lebih tinggi daripada kadar faedah biasa ke atas pembelian runcit.

Memahami bagaimana kad kredit anda berfungsi merupakan salah satu cara utama dalam pengurusan hutang yang berkesan. Ingat bahawa kad kredit hanyalah alat dan jika digunakan dengan bijak, ia boleh menjimatkan banyak wang. Pada akhirnya, anda perlu bertanggungjawab atas keputusan kewangan anda sendiri.

Sumber asal artikel ini daripada Brendon Lee, disiarkan dalam RinggitPlus.com. RinggitPlus membandingkan kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan untuk membantu rakyat Malaysia.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 53/September 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button