Pelan PendapatanPengguna

Jualan Langsung

Ramai pengguna tidak tahu bahawa jualan langsung atau ‘direct selling’ sebenarnya di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh penjual sebelum dan semasa melakukan jualan langsung kepada pengguna. Dalam isu RINGGIT kali ini, akan menerangkan tentang hak-hak pengguna berdasarkan Akta Jualan Langsung dan Anti Skim Piramid.

Aktiviti jualan langsung boleh dilakukan melalui tiga cara, iaitu secara pintu ke pintu; secara iklan dan pos; dan secara elektronik. Ketiga-ketiga cara ini mempunyai peraturan yang sama dari segi syarat jualan dan kaedah yang diguna pakai.

Menurut Akta tersebut, penjual mestilah mempunyai lesen jualan langsung yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta mempunyai perniagaan yang berdaftar. Selain itu, mereka juga perlu menunjukkan kad pengenalan atau kad kuasa kepada pengguna sebelum melakukan aktiviti jualan. Pemilik premis atau bakal pelanggan mempunyai hak untuk menolak kedatangan penjual-penjual ini di premis mereka.

Segala produk atau servis yang dijual secara jualan langsung perlu dilakukan secara kontrak, iaitu, ia perlu ditulis dengan jelas bahawa pembeli diberikan tempoh bertenang selama 10 hari. Syarat ini mesti ditulis secara jelas, iaitu dengan menggunakan huruf besar dan ‘font’ 18. Tempoh bertenang diberikan kepada pengguna untuk membuat keputusan dengan teliti sebelum meneruskan dengan pembelian tersebut. Pembatalan pembelian boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam masa 10 hari ini dan wang pembelian perlu dipulangkan kepada pengguna semula.

Produk dan servis hanya akan dihantar kepada pengguna apabila telah tamat tempoh 10 hari bertenang tersebut. Namun begitu, pengguna juga boleh memilih untuk meneruskan pembelian tersebut apabila tempoh 72 jam telah berlalu. Namun, harus diingatkan bahawa, apabila pengguna telah memilih untuk mengetepikan hak tempoh bertenang, mereka tidak boleh membatalkan kontrak jual beli yang telah sah. Kontrak yang sah perlulah mempunyai tandatangan kedua-dua belah pihak.

Demi menjaga kepentingan dan hak pengguna, Akta telah memperuntukkan ke atas penjual secara iklan dan pos untuk memberi peluang kepada pengguna untuk melakukan pemeriksaan terhadap produkproduk yang bakal dibeli pada tarikh, masa dan di tempat yang ditetapkan.

Bagaimana pula jika barang yang diterima selepas tempoh bertenang tamat tidak sama dengan barang yang diperiksa dan dibeli? Pengguna tidak perlu risau kerana Akta Perlindungan Pengguna 1999 boleh digunakan untuk meneruskan perlindungan ke atas hak-hak pengguna di Malaysia. Anda dialualukan untuk menghubungi NCCC jika terdapat sebarang keraguan dan pertanyaan tentang apa jua isu kepenggunaan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 56/Disember 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button