Pelan Perlindungan

Jimatkan Kos Perubatan

Kos sara hidup semakin tinggi di Malaysia, ini termasuklah kos perubatan yang meliputi harga ubat, caj pemeriksaan di hospital dan klinik swasta. Kesihatan merupakan satu faktor yang tidak boleh dikompromi, namun masih ada cara untuk anda mengurangkan kos berkaitan perubatan dan penjagaan kesihatan anda.

Dapatkan insurans / takaful perubatan yang komprehensif

Masih ramai rakyat Malaysia yang memandang remeh kepentingan memiliki insurans / takaful perubatan. Bagi yang bekerja, kebanyakannya hanya bergantung kepada pelan insurans / takaful yang disediakan oleh pihak majikan. Sebenarnya tidak semua insurans / takaful yang disediakan oleh majikan mampu menanggung kos rawatan untuk penyakit-penyakit kritikal atau kecacatan kekal, kerana kebanyakannya hanya mampu menanggung kos rawatan asas yang terhad.

Anda akan terasa beban apabila terpaksa menanggung sendiri kos rawatan yang tidak diliputi oleh polisi insurans / takaful. Oleh yang demikian, anda boleh melanggan polisi insurans / takaful yang komprehensif meliputi semua penyakit dan rawatan. Walaupun bayarannya mungkin sedikit mahal, namun ia amat wajar demi menjaga kesihatan anda dan keluarga.

Fahami polisi insurans / takaful anda

Polisi insurans / takaful perubatan yang komprehensif hanyalah langkah pertama anda ke arah penjimatan kos perubatan. Anda juga perlu memahami dengan teliti akan kandungan polisi insurans / takaful anda. Fahami had perlindungan, kelayakan wad, kelayakan rawatan di klinik, kunjungan wad kecemasan, faedah selepas rawatan, dan sebagainya. Ini akan membantu anda daripada berbelanja lebih untuk perkara yang telah tertakluk dalam polisi insurans / takaful anda.

Jalani pemeriksaan kesihatan secara percuma

Bak kata peribahasa, mencegah itu lebih baik darimengubati. Tidak dinafikan pemeriksaan kesihatan dengan kerap itu amat digalakkan, tetapi kos yang mahal mungkin menghalang seseorang untuk menghadiri pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap. Ditambah pula dengan kebanyakan polisi insurans / takaful yang tidak menawarkan pemeriksaan percuma melainkan ia adalah sebahagian daripada proses rawatan. Ini tidak seharusnya menghalang anda untuk lebih ekonomik alam menjalani ujian saringan pemeriksaan kesihatan.

Anda boleh menjalani ujian saringan pemeriksaan kesihatan secara percuma yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau klinik swasta yang berhampiran.

Gunakan khidmat penjagaan kesihatan awam

Kerajaan telah memberi banyak subsidi dalam perkhidmatan dan fasiliti perubatan sektor awam untuk memastikan kosnya lebih murah berbanding sektor swasta. Sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia juga diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

Buat perbandingan harga

Jika anda ingin menjalani pemeriksaan di pusat perubatan swasta, klinik dan pusat perubatan swasta ada menyenaraikan ujian-ujian pemeriksaan kesihatan yang perlu dijalani. Anda perlu bertanya kepada doktor sama ada pemeriksaan tersebut adalah perlu, ataupun jika terdapat alternatif ubatubatan lain yang boleh diambil jika anda merasakan diagnosis dan ujian itu akan menelan belanja yang tinggi.

Bandingkan caj terhadap servis yang ditawarkan

Bukan semua ubat dijual pada harga terkawal, jadi anda digalakkan untuk membandingkan harga untuk mendapat tawaran hebat bagi ubat yang anda perlukan. Beberapa farmasi besar sentiasa menawarkan promosi hebat serta diskaun untuk ubat dan preskripsi umum yang dibeli di kaunter. Selain itu, farmasi di pasar raya besar turut menawarkan harga yang lebih murah walaupun pilihannya mungkin tidak sebanyak di farmasi-farmasi besar.

Dapatkan anggaran harga

Ramai rakyat Malaysia tidak menyedari akan hal ini, tetapi anda boleh mendapatkan anggaran caj untuk rawatan anda sebelum anda menjalani rawatan tersebut. Jika penyakit anda tidak terlalu kritikal, anda boleh membandingkan rawatan yang sama di pusat perubatan yang lain.

Untuk bayaran semula pula, jika kosnya terlalu tinggi, cuba dapatkan diskaun setakat yang boleh.

Diskaun untuk bayaran tunai

Klinik dan hospital swasta biasanya lebih menggemari bayaran t  unai berbanding tuntutan insurans / takaful atau kad kredit. Jika anda mempunyai simpanan khas untuk bayaran perubatan, cuba bertanya sama ada mereka menawarkan diskaun untuk bayaran tunai. Institusi ini mungkin boleh menawarkan diskaun bagi menggalakkan bayaran penuh.

Periksa maklumat bayaran

Walaupun hanya perbezaan yang kecil, ia boleh mendatangkan kos yang berbeza sama ada imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) yang lebih murah ataupun imbasan pengimejan resonans magnet (MRI scan) yang lebih mahal. Semak dengan teliti bil anda.

Hal ini juga sama dengan penyata yang dihantar oleh syarikat insurans / takaful anda. Pastikan semua kos ditanggung oleh polisi insurans / takaful anda. Jangan lupa untuk menyimpan bil dan resit asal untuk tujuan tuntutan cukai.

Simpan salinan dan rekod perubatan

Ini boleh membantu anda daripada membayar dan menjalani rawatan yang sama untuk kali kedua. Kebanyakan rekod perubatan tidak banyak berubah untuk beberapa tahun. Dengan rekod ini, ia akan memudahkan doktor untuk membuat diagnosis pada masa akan datang.

Kurangkan kos selepas rawatan

Langkah ini khusus untuk penyakit dan keadaan yang memerlukan rawatan jangka panjang, seperti patah tulang, kecederaan dan pembedahan. Sebagai contoh, jika anda perlu menjalani rawatan fisioterapi jangka panjang di hospital, minta pengurangan jumlah rawatan ataupun alternatif bagi menjalani rawatan tersebut di rumah.

Doktor anda akan memahami keadaan kewangan anda jika anda jujur, namun anda haruslah memberi keutamaan untuk menjalani gaya hidup sihat, amalkan pemakanan yang seimbang dan sentiasa bersenam bagi mengelakkan risiko diserang penyakit.

#jimatwang #jimatbelanja #jimatkos

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 96/April 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button