Pelan Perbelanjaan

Jimat Dengan Belian Secara Berhemat

Pernahkan anda terfikir, jika pasar raya bersaing sesama sendiri dengan menawarkan diskaun bagi produk mereka, bagaimanakah pasar raya ini boleh menjana keuntungan?

Hakikatnya, keuntungan boleh diperoleh daripada penjualan barangan yang anda tidak rancang untuk membelinya, tetapi anda terperangkap untuk membelinya apabila berada di pasar raya tersebut.

Berikut adalah tip untuk anda membuat belian secara berhemat :

a) Susun atur produk

Apabila anda tiba di pasar raya, sebelum anda melangkah ke pintu utama, anda sudah tercium bau yang harum, sehingga boleh membangkitkan selera anda. Bau tersebut menarik perhatian anda untuk membeli, ditambah pula ketika itu perut anda sedang lapar.

Pada pintu masuk pasar raya dipaparkan senarai barangan yang diberikan potongan harga, yang digantung pada papan tanda yang besar. Ini juga dapat menarik perhatian anda.

Lazimnya, barangan keperluan asas, seperti beras, susu, gula, telur diletakkan pada sudut di hujung pasar raya. Sebelum anda sampai ke rak barangan tersebut, anda akan mengambil barangan yang tidak anda rancang untuk membelinya.

Sebagai pengguna bijak, anda perlu menyediakan senarai belian barangan dan mendisiplinkan diri untuk mematuhi senarai tersebut.

b) Barangan berjenama diletakkan pada paras mata

Anda tentu sering melihat pelbagai iklan produk dipaparkan dalam media elektronik. Apabila anda ke pasar raya, produk tersebut biasanya diletakkan pada paras mata di rak.

Kedudukan barangan yang dipamerkan pada rak amat penting. Jenama lebih mahal juga biasanya diletakkan paras mata agar menambah peluang anda mengambilnya, terutama jika anda berada dalam keadaan tergesa-gesa.

Sebagai pengguna yang bijak, anda perlu dapat menilai kualiti dan membuat perbandingan harga terhadap produk yang anda ingin beli.

c) Diskaun belian dengan belian

Diskaun belian dengan belian ini dikenali sebagai belian bersyarat, iaitu untuk membeli barangan yang diberikan diskaun, anda perlu membeli barangan tertentu. Contohnya, untuk membeli sabun basuh dengan harga murah, anda perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM60.

Sebagai pengguna bijak, anda perlu membuat belian terhadap barangan yang anda benar-benar perlu dan berbaloi dengan perbelanjaan anda.

d) Produk terhad

Adakah anda pernah ditawarkan dengan produk yang dihadkan pembeliannya atau barangan tersebut kehabisan stok? Apabila anda pergi ke pasar raya untuk membeli sesuatu barangan tertentu, secara tidak langsung anda turut akan membeli barangan lain yang dijual di pasar raya tersebut. (Bukan hanya untuk membeli barangan yang terhad itu sahaja).

e) Troli dan membawa anak bersama-sama

Sekiranya anda membeli belah bersama anak-anak, anda tentu tidak dapat berjimat dan berdisiplin dengan senarai barangan anda. Penggunaan troli juga boleh mendorong anda membeli dengan banyak.

Sebagai pengguna bijak, sebaiknya anda tidak membawa anak-anak bersama ketika membeli belah. Anda juga digalakkan menggunakan bakul ketika membeli.

f) Belian di kaunter

Tanpa anda sedari, ketika beratur untuk membuat bayaran di kaunter, anda akan terdorong untuk mengambil produk yang dipamerkan di kaunter.

Sebagai pengguna bijak, anda perlu menghindari pembelian secara spontan. Sebaiknya anda perlu merancang pembelian anda.

#jimatwang #jimatbelanja #jimatkos

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 71/Mac 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button