Pelan PerbelanjaanPengurusan Kewangan

Jimat Belanja Dengan Membawa Bekal Dari Rumah

Membawa bekal dari rumah? Tabiat membawa bekal dari rumah dapat menjimatkan wang saku, dan pada masa yang sama dapat menikmati kualiti makanan yang sihat dan bersih. Wanita berkerjaya mungkin menjadikan alasan faktor kekangan masa menyebabkan mereka tidak sempat menyediakan makanan. Berdasarkan Laporan Perbincangan Kumpulan yang dilaksanakan oleh FOMCA pada tahun 2012, purata responden membelanjakan sekitar RM10 hingga RM50 sehari untuk membeli makanan yang siap dimasak. Berikut adalah tip bagaimana anda boleh menjimatkan belanja dengan membawa bekal dari rumah.

a) Sarapan

Anda boleh menyediakan sarapan yang ringkas, seperti sandwich, kuih-muih seperti karipap dan pau segera yang biasanya dijual di pasar raya. Sekiranya anda mempunyaimasa, hidangan seperti bihun goreng, spageti juga menyelerakan jika ia dipanaskan di pejabat nanti. Untuk sarapan, anda telah menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM2 hingga RM5 sehari.

b) Makan tengah hari.

Sekiranya anda bekerja, mungkin waktu pagi amat terhad untuk anda menyediakan makanan tengah hari. Anda boleh memanaskan makanan lebihan yang anda masak malam semalam untuk dibawa ke pejabat. Pastikan makanan tersebut dipanaskan dengan secukupnya agar ia tidak rosak sehingga menunggu waktu tengah hari. Untuk makan tengah hari, anda telah menjimatkan anggaran kos sebanyak RM6 hingga RM15.

c) Minum petang

Selepas seharian bekerja, anda tentu menginginkan waktu rehat sebentar. Pejabat anda mungkin mempunyai “pantry” yang lengkap  Maka, anda tidak perlu ke kedai mamak atau restoran untuk minum secawan teh tarik. Anda juga boleh membawa paket minuman segera untuk menikmati milo panas bersama-sama rakan sekerja. Untuk minum petang, anda telah menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM1 hingga RM4 sehari.

Berikut adalah keistimewaan dan kelebihan jika anda secara berterusan mengamalkan tip di atas.

  • Anda boleh memulakan tabungan dengan wang yang dapat anda jimatkan apabila membawa bekal dari rumah.
  • Anda dapat menikmati makanan yang sihat, berkhasiat dan segar. Kadang-kala makanan di restoran dipanaskan berhari-hari, yang menyebabkan anda tidak dapat menikmati makanan yang baru dimasak atau segar.
  • Apabila anda membawa bekal, anda tentu tidak keluar bersama-sama rakan-rakan yang lain. Ini dapat mengurangkan peluang untuk anda berbelanja atau “window shopping” pada sesuatu masa. Tip ini dapat menjimatkan poket anda.

Selamat Mencuba!

#jimatwang #jimatbelanja #jimatkos

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 33/Januari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button