Skip to toolbar
Akta dan PerundanganPerangkap Kewangan

Jenayah Siber

Dengan peredaran zaman pada masa ini, masyarakat lebih cenderung dan bergantung kepada pembelian secara dalam talian. Kemudahan internet yang semakin meluas membolehkan ramai orang membeli barangan secara dalam talian. Kini terdapat banyak syarikat, sama ada dalam mahupun luar negara yang menawarkan perkhidmatan jual beli secara dalam talian.

Malangnya dengan peningkatan kemudahan ini, aduan mengenai penipuan oleh peniaga dalam talian kian meningkat. Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima aduan sebanyak 7,692 pada tahun 2015, dan bilangan ini meningkat kepada 10,160 aduan pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 32% dalam tempoh tiga tahun.

Aduan penipuan siber merupakan aduan tertinggi yang diterima oleh NCCC saban tahun berbanding aduan dalam kategori lain. Polis Diraja Malaysia menganggarkan sejumlah RM2 bilion dikaut oleh penjenayah siber (scammers) (The Star 7 Ogos 2019). Terdapat banyak jenis penipuan siber (scams) seperti Macau Scam, Penipuan Cinta (Love scam), memancing data (phishing), penipuan pekerjaan, Nigerian scam, penipuan loteri dan penipuan dalam talian, termasuk urus niaga jual beli barangan (shopping scams).

Malaysia merupakan negara yang pertama di Asia Tenggara yang telah merangka satu polisi untuk menangani isu ini. Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) menjadi agensi tunggal menyelaras semua agensi berkaitan ancaman keselamatan siber dengan meletakkan pakar keselamatan siber di bawah satu agensi induk. Walaupun para pengguna dilindungi dengan beberapa akta, seperti Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan beberapa akta lain, namun penipuan siber masih berleluasa menggunakan pelbagai kaedah untuk memperdaya orang ramai.

Pihak berkuasa perlu mengenakan tindakan yang tegas untuk menangani isu ini. Dalam pada itu, para pengguna juga harus berhati-hati sewaktu berurusan dengan sebarang syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan mahupun menjual barangan dalam talian. Sebagai pengguna, anda perlu mengambil inisiatif untuk mengenal pasti sama ada pihak yang anda berurusan itu ialah peniaga yang tulen.

Terdapat beberapa kaedah untuk mengelakkan anda terjerumus dalam masalah ini. Antaranya ialah:

  • Pastikan anda berurusan dengan syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dengan menyemak maklumat pendaftaran syarikat di pautan, www.ssm.com.my/bm/Pages/Quick_Link/e-Search.aspx
  • Anda juga boleh menyemak nombor akaun syarikat yang pernah dilaporkan sebagai akaun yang mencurigakan di ccid.rmp.gov.my/semakmule.
  • Jangan sekali-kali memberi butiran mengenai kad kredit anda atau menghantar wang kepada manamana pihak tanpa usul periksa.

Anda perlu mengambil langkah berhati-hati setiap masa apabila membeli-belah ataupun ketika berurusan secara dalam talian.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 109/Mei 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button