Pengurusan HutangPengurusan Kewangan

Jangan Panik Dengan Hutang

Bertenang Dan Fikirkan Kaedah Terbaik Untuk Mengatasinya

Hutang boleh menjejaskan kesihatan serta menyebabkan tekanan hidup jikalau anda gagal menguruskannya dengan baik.

Akibat tidak dapat menghadapi tekanan hidup kerana beban hutang yang banyak, menyebabkan ada yang mengambil jalan singkat, seperti meminjam dengan Ah Long – yang sebenarnya menjerat diri sendiri.

Malahan, jika pegangan agama tidak kuat, ada yang sanggup membunuh diri.

Bertenang! Walau apa pun tindakan yang anda ingin lakukan, anda perlu memikirkan tentang buruk dan baiknya. Fikirlah bahawa setiap masalah, termasuk hutang, ada cara penyelesaiannya.

Berikut adalah tiga langkah yang boleh digunakan untuk menangani masalah hutang yang tidak terkawal.

1) Mengaku anda banyak hutang

Anda harus mengakui sekiranya anda mempunyai masalah hutang yang tidak terkawal. Jangan menafikannya.

Jangan menambahkan lagi hutang. Ini termasuk membeli barangan dan perkhidmatan dengan menggunakan kad kredit.

2) Periksa status kewangan

Analisis kedudukan kewangan anda. Kemas kini semua penyata hutang anda untuk mengetahui jumlah semua hutang yang sebenarnya.

Bandingkan jumlah pembayaran balik hutang dengan pendapatan anda.

Bayar balik hutang mengikut keutamaan. Bayar dahulu pinjaman dan hutang tertunggak yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi.

3) Segera betulkan keadaan

Ambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan. Sediakan bajet, sekiranya anda masih belum berbuat demikian. Bajet anda mesti mengambil kira semua pembayaran bulanan dalam senarai perbelanjaan anda.

Pertimbangkan untuk menggunakan tabungan atau menjual aset pelaburan bagi mengurangkan hutang.

Kurangkan perbelanjaan anda. Berbelanja untuk barangan dan perkhidmatan yang penting sahaja. Berusaha untuk meningkatkan pendapatan, seperti membuat kerja sambilan.

Berunding dengan institusi kewangan untuk memohon penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman yang bersesuaian dengan kedudukan aliran tunai anda.

Dapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) jika institusi kewangan tidak dapat membantu.

Terdapat beberapa organisasi yang boleh dihubungi sekiranya anda memerlukan bantuan dan nasihat untuk menyelesaikan hutang. Bagaimanapun, anda perlu mengambil langkah proaktif sebagaimana yang dinyatakan di atas untuk menyelesaikan masalah, termasuk berbincang dengan pihak institusi kewangan.

Berikut adalah organisasi yang boleh membantu menguruskan kedudukan hutang. Peranan mereka bukanlah menyediakan wang untuk melangsaikan hutang anda, tetapi untuk memberi nasihat dan panduan bagaimana hutang anda boleh diuruskan.

AKPK

Organisasi ini ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan visi: Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemat Sebagai Budaya Hidup. Ia bertujuan untuk memastikan warga Malaysia menjalani kehidupan dengan mempunyai kemahiran pengurusan kewangan yang baik dan hutang terkawal.

AKPK menawarkan tiga jenis perkhidmatan secara percuma kepada individu sahaja untuk membantu menguruskan kewangan dengan lebih baik:

  • Mendidik atau mengajar mengenai penggunaan kredit dan asas pengurusan wang, termasuk petua menggunakan kredit (hutang) secara bertanggungjawab.
  • Memberi kaunseling dan nasihat mengenai pengurusan kewangan, membuat penilaian mendalam mengenai masalah kewangan anda dan cara untuk mengatasinya.
  • Program Pengurusan Kredit (PPK), iaitu peminjam dan AKPK bekerjasama untuk menyediakan pelan penstrukturan atau penjadualan semula pinjaman menerusi rundingan dengan institusi kewangan.

Untuk layak mendapatkan perkhidmatan PPK, anda perlu memenuhi syarat berikut:

  • Tidak mampu menguruskan tanggungan hutang.
  • Mempunyai pinjaman daripada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM dan bukan hutang daripada ceti haram atau Ah Long.
  • Mempunyai jumlah pinjaman tidak lebih daripada RM2 juta.
  • Mempunyai sumber pendapatan positif selepas menolak perbelanjaan.
  • Tidak berada dalam peringkat tindakan undangundang yang sudah lanjut.
  • Belum diisytiharkan bankrap.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, layari laman sesawang www.akpk.org.my

Laman informasi dan Khidmat Nasihat BNM (BNMLINK)

Ini adalah saluran penting BNM untuk berhubung dengan orang ramai. Ia berperanan sebagai pusat perhubungan untuk memudahkan maklum balas kepada orang ramai dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung dengan perkara berkaitan dengan sektor kewangan.

Layari BNMLINK di www.bnm.gov.my/bnmlink/index.tm.

Sumber : Berita Harian, 25 Mei 2013/AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 42/Oktober 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button