Pengguna

Jangan Jadi Mangsa!

Berhati-hati dengan penipuan kewangan melalui telefon, e-mel dan SMS.

Penipuan kewangan adalah perbuatan jenayah dan satu pelanggaran undangundang sivil. Menurut definisi, penipuan kewangan adalah tindakan penipuan yang melibatkan urus niaga kewangan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan peribadi.

Pihak yang menipu pada kebiasaannya akan menggunakan berbagai jenis skim, iaitu modus operandinya sentiasa berubah-ubah untuk memperdaya serta mengelirukan orang ramai. Mereka seringkali akan menyamar sebagai pegawai kerajaan, pegawai penguatkuasa seperti polis, pegawai bank dan juga pegawai daripada Bank Negara Malaysia untuk menipu mangsa. Mereka akan meminta mangsa, sama ada mendedahkan maklumat perbankan peribadi atau mengarahkan mangsa supaya mengeluarkan wang daripada akaun masing-masing dan dipindahkan ke akaun pihak ketiga dengan alasan untuk memastikan wang tersebut selamat. Pihak yang menipu sering menghubungi mangsa melalui panggilan telefon, e-mel atau SMS bagi tujuan di atas.

‘Phishing’ atau kegiatan mencuri maklumat merupakan satu bentuk penipuan dan ia bukanlah bertujuan untuk menembusi sistem bank, tetapi ingin mendapat akses kepada akaun milik pelanggan. Kebiasaannya, pihak yang menipu akan mengambil kesempatan ke atas pelanggan yang masih kurang mengetahui tentang keselamatan di Internet.

Bagi memastikan pelanggan sentiasa peka mengenai keselamatan di Internet sebelum menjalankan sesuatu transaksi kewangan, pihak bank yang menyediakan kemudahan perbankan Internet akan sentiasa memberi peringatan berhubung peraturan serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh pelanggan.

Antaranya, mengingatkan pelanggan supaya memastikan mereka mengakses laman sesawang perbankan yang betul. Ini boleh dilakukan dengan menaip secara manual alamat laman sesawang perbankan internet yang ingin diakses dan tidak mengakses laman sesawang berkenaan melalui pautan e-mel. Pelanggan dinasihatkan supaya tidak mengabaikan peraturan yang diberikan oleh pihak bank walaupun peraturan tersebut kadangkala nampak agak panjang untuk dibaca.

Jangan dedahkan maklumat keselamatan kewangan anda kepada sesiapa sahaja dalam apa jua keadaan pun, sekiranya anda menerima panggilan telefon, e-mel atau SMS yang tidak diundang. Lindungi diri anda dengan tidak melayan mana-mana pihak tidak diundang yang menghubungi anda.

Kebiasaannya, pihak yang menipu akan mengambil kesempatan ke atas pelanggan yang masih kurang mengetahui tentang keselamatan di Internet

Peraturan penting yang harus diingati oleh pelanggan ialah pihak bank, termasuk Bank Negara Malaysia, tidak sekali-kali akan menghubungi pelanggan untuk meminta maklumat keselamatan seperti kata laluan, nombor pin atau nombor keselamatan (card verification code (CVC)) melalui panggilan telefon, SMS atau e-mel dalam apa jua keadaan sekali pun. Pelanggan juga perlu lebih berwaspada dan berasa curiga terutamanya terhadap sebarang permintaan untuk memindahkan wang dari akaun mereka ke akaun lain yang tidak dikenali dalam apa jua keadaan. Jika anda telah menerima permintaan seperti ini, JANGAN mengendahkannya.

Selain itu, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan perbankan internet dinasihatkan supaya mengemas kini perisian keselamatan sendiri dan sistem antivirus. Pihak bank sentiasa membuat pengawasan selama 24 jam dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana percubaan ‘phishing’ atau mencuri maklumat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Untuk menghantar pertanyaan melalui perkhidmatan SMS, sila taip: BNM TANYA [pertanyaan/aduan anda] dan hantar kepada 15888 (Penghantar akan dikenakan caj oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi sebanyak RM0.15 bagi menghantar mesej dan RM0.20 untuk menerima mesej)

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 16/Ogos 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button