Pelan Perlindungan

Jaminan Lanjutan Kenderaan

Apabila seseorang membeli sesebuah kenderaan, antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah jaminan asas pengilang. Jaminan ini bertujuan untuk melindungi kenderaan tersebut sekiranya berlaku kerosakan atau kecacatan.

Kebanyakan pengguna beranggapan bahawa jaminan tersebut melindungi kenderaan mereka secara ‘bumper-to-bumper’, namun sebenarnya jaminan itu mempunyai had tertentu. Selain itu, syarikat pengeluar kenderaan juga boleh memberikan jaminan lanjutan kepada kenderaan jika tempoh sah jaminan asas telah tamat.

Berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), didapati masih ramai pengguna yang tidak memahami tentang jaminan lanjutan kenderaan.

Apakah maksud Perlindungan Bumper-To-Bumper?

Perlindungan bumper-to-bumper ialah jaminan pengeluar terhadap produk dan komponen kenderaan, seperti penyaman udara, sistem audio, sensor kenderaan, sistem bahan api dan komponen elektrik utama. Ia bertujuan untuk meyakinkan pelanggan dengan jaminan terhadap sebarang kerosakan atau kecacatan yang berlaku dalam tempoh yang ditetapkan, tanpa sebarang kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pelanggan.

Apakah yang Diliputi oleh Jaminan Lanjutan?

Apabila membeli kenderaan baru, jaminan asas dimasukkan sebagai sebahagian daripada harga kenderaan. Manakala, jaminan lanjutan pula akan menjadi kos tambahan. Berikut adalah cara untuk mendapatkan perlindungan yang terbaik daripada jaminan lanjutan kenderaan anda:

  1. Baca cetakan halus. Jaminan biasanya dinyatakan dalam manual pemilik kenderaan, yang memberikan butiran khusus mengenai perlindungan kenderaan anda. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kemalangan, adakah anda boleh membatalkan perlindungan jaminan pada bahagian-bahagian yang berkaitan? Begitu juga dengan pengubahsuaian, terutamanya bahagian yang bukan dari kilang.
  2. Berhati-hati dengan tempoh jaminan anda. Sebaik sahaja anda mengetahui komponen yang diliputi dalam jaminan, pastikan anda memeriksa sebarang masalah yang terdapat pada komponen kenderaan sebelum jaminan tamat.
  3. Menyenggara kereta anda di pusat servis yang dibenarkan. Pastikan anda menyenggara kenderaan anda mengikut jadual yang disyorkan oleh pengeluar supaya jaminan anda tidak terjejas.
  4. Kos. Anda perlu mengetahui sama ada kos yang dikenakan itu dibayar sekali atau berulang. Sesetengah jaminan melindungi segala-galanya, dari rekahan pada cermin hadapan sehingga pintukemek, tetapi mungkin terdapat kos tambahan bagi perkhidmatan atau pembaikan.

Apakah yang Diliputi oleh Jaminan Lanjutan?

  1. Bahagian yang berlainan mempunyai liputan yang berbeza. Jika jaminan yang ditawarkan selama lima tahun, pastikan anda menyemak bahawa ia meliputi semua sistem utama. Sistem elektrik mungkin mempunyai jaminan selama tiga tahun, manakala bahagian yang mudah haus dan lusuh biasanya tidak diliputi.
  2. Pengecualian jarak perjalanan. Kebanyakan jaminan melindungi kenderaan untuk sesuatu tempoh masa atau jarak perjalanan tertentu, yang mana dicapai terlebih dahulu. Sebagai contoh, jaminan yang boleh bertahan selama lima tahun atau 100,000 kilometer
  3. Tempoh menunggu. Kebiasaannya, jaminan pihak ketiga (jaminan lanjutan) dibeli secara berasingan daripada kenderaan itu, yang tidak boleh digunakan dalam tempoh 30 hari atau 1,000 kilometer. Langkah ini bertujuan untuk menghalang seseorang daripada membeli jaminan tersebut hanya selepas masalah berlaku terhadap kenderaan itu.
  4. Terma dan syarat tuntutan. Perhatian perlu diberikan kepada jadual penyenggaraan yang ditetapkan dalam buku penyenggara kenderaan. Contohnya, jaminan lanjutan mungkin terbatal jika didapati kenderaan tersebut tidak disenggara mengikut jadual yang ditetapkan atau dihantar kebengkel yang tidak sah.

Sumber: Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button