Skip to toolbar
PenggunaPerancangan Kewangan

Intipati Penjana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara

Pada 5 Jun 2020, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia, telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara yang dikenali sebagai PENJANA dan bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ untuk meneruskan kesinambungan daripada pakej PRIHATIN sebelum ini. Pelan ini bertujuan adalah untuk memperkukuhkan ekonomi Negara yang terjejas akibat wabak COVID-19 yang melanda sejak awal tahun 2020. Fasa pemulihan yang dilalui negara ketika ini adalah tempoh paling sesuai untuk rakyat bangun semula selepas melalui pelbagai kesan krisis wabak COVID-19.

PENJANA memberi fokus terhadap tiga teras utama iaitu Memperkasa Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi. Terdapat beberapa manfaat yang boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia melalui inisiatif ini.

i. Teras Pertama: Memperkasa Rakyat

Kerajaan berusaha untuk mengambil langkah-langkah bagi melindungi pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja dalam mengatasi masalah pengangguran di Malaysia. Di samping itu, terdapat beberapa inisiatif diperkenalkan untuk membantu rakyat mengekal atau meningkatkan kemahiran mereka dalam memanfaatkan peluang semasa ekonomi sedang beransur pulih.

  • Program Subsidi Upah
    • Menggalakkan pengekalan pekerja dan mengurangkan kehilangan pekerjaan melalui penambahbaikan program subsidi upah sedia ada.
    • Dilanjutkan selama 3 bulan bagi majikan yang layak dengan kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksima 200 pekerja bagi setiap syarikat.
    • Kelonggaran kepada majikan yang membenarkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji, dengan syarat pekerja tersebut menerima subsidi upah secara langsung (khas untuk sektor pelancongan dan sektor yang tersenarai dalam aktiviti yang dilarang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti pekerja di pusat refleksologi, pusat hiburan dan taman tema yang melibatkan perhimpunan awam).
  • Program Insentif Pengambilan Pekerja selama 6 bulan sehingga Disember 2020
      • Membantu syarikat dengan memberikan insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada penganggur dan belia melalui insentif yang diperkenalkan:
        1. Golongan belia: Program perantis bagi graduan dan lepasan sekolah dengan pemberian elaun latihan sebanyak RM600 sebulan selama 6 bulan.
        2. Golongan penganggur: Menggaji golongan penganggur dengan elaun sebanyak RM800 sebulan selama 6 bulan (bawah umur 40 tahun), manakala RM1000 sebulan selama 6 bulan bagi penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
  • Program Peningkatan Kemahiran (Upskilling)
    • Meningkatkan kebolehpasaran golongan penganggur melalui program latihan untuk mendapatkan kemahiran dan meningkatkan kemahiran yang sedia ada.
    • Bagi meningkatkan kemahiran untuk golongan pengganggur, kerajaan melaksanakan program seperti menggalakkan penganggur melanjutkan pelajaran terutamanya dalam kursus jangka pendek di universiti tempatan, memperkasakan latihan keusahawanan dan juga mewujudkan skim latihan wakil pemasaran sehingga RM800 seorang dengan mendaftar di Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC).
  • Program subsidi pengangkutan awam MY30
    • Meringankan beban kos pengangkutan awam yang perlu ditanggung oleh pengguna.
    • Pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan selama 6 bulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi penggunaan perkhidmatan awam seperti perkhidmatan rel (MRT, LRT, Monorel), BRT, bas RapidKL dan juga bas pengantara MRT di lembah Klang. Program ini terbuka kepada semua warganegara dan berkuatkuasa pertengahan bulan Jun sehingga Disember 2020.

ii. Teras Kedua: Melonjakkan Perniagaan

Kebanyakan sektor ekonomi ditutup selama hampir dua bulan berikutan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh kerajaan. Perniagaan tidak dapat beroperasi sepenuhnya secara tidak langsung memberi impak kepada pendapatan dan sumber kewangan kebanyakan perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga perusahaan mikro. Oleh itu, beberapa inisiatif telah diperkenalkan di bawah inisiatif PENJANA bagi sektor perniagaan yang telah dibuka semula pada bulan Mei termasuklah:

  • Kempen “Shop Malaysia Online” bagi Penggunaan Dalam Talian 
    • Menggalakkan rakyat berbelanja secara dalam talian, di mana kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberikan melalui platform e-dagang.
  • Pusat Sehenti MyAssist SME

Memberi bimbingan dan membantu proses pemulihan perniagaan bagi PKS dalam meningkatkan akses kepada SMEHub yang sedia ada. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah bimbingan untuk:

    • Kemudahan pembiayaan
    • Kemudahan perdagangan
    • Penjenamaan dan promosi
    • Sokongan teknologi
    • Perundangan
  • Menawarkan Pembiayaan Mudah Bumiputera

Memastikan kelangsungan usahawan Bumiputera melalui sokongan kewangan RM200 juta khas untuk perniagaan milik Bumiputera.

  • Sokongan untuk Meringankan Beban Kewangan Perniagaan

Meringankan tekanan kewangan terhadap perniagaan melalui penghapusan penalti yang berkaitan dengan pembayaran cukai lewat.

    • Remisi penalti sebanyak 50% akan diberikan kepada syarikat atau pengilang berdaftar yang lewat membuat pembayaran cukai jualan atau cukai perkhidmatan bermula 1 Julai 2020 hingga 30 September 2020.
    • Pelanjutan potongan cukai khas bersamaan 30% bagi pengurangan sewa premis perniagaan sehingga 30 September 2020.

iii. Teras Ketiga: Merangsang Ekonomi

Usaha kerajaan perlu ditingkatkan untuk menambahbaik dan merangsang ekonomi, serta membolehkannya pulih menjelang tahun 2021 dan seterusnya. PENJANA ini juga akan membolehkan ekonomi Malaysia melalui kalibrasi semula, dan melonjak ke arah pemulihan negara. Antara inisiatif untuk merangsang semula ekonomi negara adalah:

  • Mengadakan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia

Menggalakkan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan melalui:

    • Kempen “Beli Malaysia” oleh kerajaan dan agensi berkaitan.
    • Mewajibkan penandaan barang buatan tempatan bagi rangkaian pasaraya.
    • Mewujudkan saluran khusus untuk produk Malaysia di platform e-dagang utama.
  • Memperkenalkan ePENJANA

Menggalakkan penggunaan e-dompet dalam kalangan pengguna yang memudahcara penjarakan sosial untuk menjaga keselamatan pengguna di samping menggalakkan perbelanjaan pengguna melalui:

    • Kredit e-dompet bernilai RM50. Tawaran tambahan oleh pembekal perkhidmatan e-dompet sebanyak RM50 melalui baucar diskaun dan kredit tambahan melalui cashback.
    • Kredit hanya boleh digunakan untuk pembelian secara fizikal di kedai dan bukan perkhidmatan dalam talian.
    • Manfaat ini boleh dinikmati oleh semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun.
  • Kempen Pemilikan Rumah atau Home Ownership Campaign (HOC)

Merancakkan semula pasaran hartanah melalui:

    • Pengecualian duti setem akan diberikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.
    • Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) diberikan kepada individu warganegara Malaysia keatas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021. Pengecualian ini dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja untuk setiap individu.
  • Insentif Cukai untuk Pembelian Kereta
    • Dengan adanya insentif seperti ini, beban kewangan pengguna dapat dikurangkan malahan mampu merancakkan semula industri automotif negara.
    • Pengecualian cukai jualan sebanyak 100% ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan dan 50% bagi kereta penumpang import.
  • Sokongan Sektor Pelancongan

Membantu sektor pelancongan yang terjejas akibat COVID-19 melalui insentif cukai seperti:

    • Pengecualian cukai pelancongan mulai 1 Julai 2020 hingga 30 Jun 2021.
    • Lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan untuk hotel sehingga 30 Jun 2021.
    • Lanjutan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember 2021.
    • Lanjutan penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai sehingga 31 Disember 2020.

Secara kesimpulannya, melihat kepada senario ekonomi semasa dan trend pengangguran dan pembuangan pekerja yang terus meningkat, inisiatif PENJANA sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. Begitu juga, ianya dapat membantu untuk merancakkan semula ekonomi negara untuk berkembang lebih maju selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan. Justeru itu, FOMCA berharap rakyat Malaysia dapat menggunakan manfaat yang sedia ada dan juga yang telah ditambah baik mengikut situasi semasa negara dengan sebaik mungkin.

Sumber: www.penjana.treasury.gov.my/Edisi 113/Sept 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button