Pelan PerlindunganPengguna

Insurans Wanita: Sekadar Gimik Pemasaran atau Melindungi

Apakah itu Insurans Wanita?

Pelan ini serupa dengan Insurans Perubatan dan Kesihatan, tetapi pelan ini lebih fokus kepada penyakit dan keadaan berkaitan dengan wanita. Pelan ini biasanya ditawarkan sebagai manfaat tambahan atau dikenali juga sebagai “rider” bagi pelan asas.

Apakah Manfaat Utama yang disediakan di bawah Insurans Wanita?

Manfaat utama yang boleh anda dapati di bawah pelan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Perlindungan untuk penyakit utama wanita
  2. Perlindungan semasa kehamilan dan melahirkan anak
  3. Perlindungan daripada keadaan berkaitan umur
  4. Manfaat nilai ditambah lain yang berkaitan dengan gaya hidup wanita

Apakah antara Jenis Penyakit Utama Wanita yang dilindungi?

Antara jenis penyakit utama yang dilindungi ialah kanser dan Carcinoma-in-Situ, di bahagian organ wanita (contohnya, payu dara, rahim, pangkal Rahim dan sebagainya) dan juga penyakit yang cenderung dihadapi oleh kaum wanita seperti Lupus Erythematosus Systemic (SLE) dengan Lupus Nephiritis. Amaun manfaat yang akan dibayar bergantung kepada tahap keadaan tersebut.

Apakah antara manfaat Bersalin dan Melahirkan Anak yang disediakan?

Antara manfaat biasa yang disediakan ialah kematian ibu bersalin, komplikasi kehamilan (contohnya, hipertensi teruk semasa hamil, lahir mati, kehamilan di luar rahim dan sebagainya), kematian neonatal dan anomaly congenital (contohnya, sindrom down, langit-langit sumbing, spina bifida (sumbing tulang belakang) dan sebagainya). Amaun manfaat yang akan dibayar bergantung pada jenis keadaan.

Apakah antara manfaat yang disediakan di bawah keadaan berkaitan umur?

Apabila seseorang wanita itu semakin berusia, dia lebih mudah menghidap jenis keadaan tertentu seperti osteoporosis dan arthritis. Oleh itu, dalam pelan Insurans Wanita, pinggul atau tulang paha yang patah disebabkan osteoporosis dan pembedahan penggantian sendi untuk arthritis adalah dilindungi.

Apakah antara Manfaat Nilai Ditambah lain yang disediakan dalam pelan Insurans Wanita?

Antara manfaat yang disediakan ialah penilaian kesihatan berkala dan program manfaat yang lain berkaitan dengan kehidupan sihat untuk menjaga dan memeriksa kesihatan mereka. Selain itu, sesetengah syarikat juga mungkin menawarkan bonus perkahwinan dan bonus melahirkan anak untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia mereka. Ini tertakluk kepada terma dan syarat tertentu.

Apakah antara pertimbangan penting yang perlu diambil kira apabila memilih polisi Insurans Wanita?

Anda mungkin mahu mempertimbang faktor-faktor berikut:

  • Tempoh Tangguh – adakah terdapat tempoh tangguh dan berapa lama tempoh itu sebelum anda boleh membuat tuntutan?
  • Pengecualian – apa yang tidak dilindungi? Pastikan anda benar-benar jelas tentang perkara ini!
  • Had Manfaat – berapakah peratusan Jumlah Diinsuranskan yang perlu dibayar untuk pelbagai jenis penyakit berkaitan wanita.
  • Kos – adakah premium dalam kemampuan anda? (sila ambil perhatian bahawa premium biasanya tidak dijamin dan mungkin lama-kelamaan akan meningkat.)

Adakah saya masih perlu membeli pelan Insurans Penyakit Kritikal asas jika saya telah membeli pelan Insurans Wanita?

Pelan Insurans Wanita ini hanya melindungi penyakit berkaitan wanita seperti yang tersebut di atas. Anda masih perlu mengambil perlindungan untuk penyakit atau keadaan lain yang tidak dilindungi oleh pelan jenis ini. Pelan ini sepatutnya melengkapi pelan Penyakit Kritikal asas anda dan bukan menggantikannya.

Sumber : Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 23/Mac 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button