Pelan Perlindungan

Insurans Untuk Harta Kediaman

Jenis–jenis polisi insurans

Terdapat tiga jenis polisi utama untuk melindungi harta dan barangan isi rumah anda:

  • Kebakaran – polisi ini melindungi kerugian/kerosakan terhadap bangunan kediaman dan isi rumah anda, seperti kebakaran, kilat dan letupan gas yang digunakan untuk domestik.
  • Empunya rumah – polisi ini melindungi bangunan kediaman, termasuk lekapan dan kelengkapan di bangunan seperti garaj, dinding, pintu pagar dan pagar daripada beberapa risiko tertentu.
  • Isi rumah – polisi ini melindungi barangan isi rumah anda sahaja, iaitu barangan boleh alih di dalam kediaman anda daripada risiko-risiko tertentu.

Sekiranya anda ingin mendapat perlindungan yang komprehensif untuk kediaman anda dan barangan di dalamnya, anda harus membeli kedua-dua polisi empunya rumah dan polisi isi rumah.

Apa yang perlu anda tahu apabila membeli perlindungan insurans untuk harta kediaman

  • Pastikan harta kediaman anda diinsuranskan secukupnya setiap masa, dan mengambil kira pengubahsuaian dan naik taraf yang telah dibuat atas harta kediaman.
  • Anda perlu memilih bentuk pampasan yang anda kehendaki bagi kehilangan/kerosakan pada harta kediaman anda, sama ada berdasarkan indemnity atau pengembalian semula.
  • Sekiranya harta kediaman anda adalah di bawah pembiayaan dan diinsuranskan oleh syarikat pembiaya, anda seharusnya memastikan yang harta kediaman itu mempunyai perlindungan insurans secukupnya. Biasanya, perlindungan insurans yang diambil oleh syarikat pembiaya adalah berdasarkan amaun pinjaman.
  • Anda perlu memastikan bahawa jumlah diinsuranskan menggambarkan jumlah perlindungan yang diperlukan untuk menggantikan semua barangan isi rumah di dalam kediaman anda.
  • Simpan dokumen-dokumen yang dapat membuktikan pemilikan dan nilai barangan yang diinsuranskan, contohnya resit pembelian, foto barangan berharga jika ada. Ia boleh membantu ketika membuat tuntutan.

Syarat purata

Sekiranya amaun diinsuranskan dalam polisi insurans anda kurang daripada kos pembinaan semula (insurans terkurang), syarat purata akan diterima pakai apabila tuntutan dibuat. Ini bermakna, anda akan menanggung sendiri jumlah perbezaan antara nilai diinsuranskan dengan kos pembinaan.

Contoh: Jumlah kos pembinaan semula rumah ialah RM 100,000, manakala jumlah diinsuranskan hanya RM 80,000 dan jumlah kerugian ialah sebanyak RM 5,000. Syarat purata yang akan dikira ialah:-

Dalam contoh di atas, syarikat insurans akan hanya membayar sebanyak RM4,000 dan bukannya RM5,000 bagi kerugian yang dialami.

Tanggungjawab membeli insurans

Jika harta kediaman anda masih dalam peringkat pembinaan, insurans terhadap harta kediaman adalah di bawah tanggungjawab pemaju.

Bagi harta kediaman hak milik strata seperti pangsapuri dan kondominium, adalah mandatori bagi Syarikat Pengurusan (SP) membeli polisi insurans kebakaran untuk keseluruhan bangunan. Pemilik unit individu dikehendaki membayar bahagian premium masingmasing kepada SP.

Sekiranya anda mendapat pinjaman daripada institusi kewangan di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia, institusi kewangan berkenaan akan menerima polisi insurans yang sudah dibeli oleh SP, tertakluk kepada terma dan syarat.

Apa yang perlu anda tahu ketika membuat tuntutan

Jika harta kediaman anda mengalami kerosakan/kerugian,

  • Anda hendaklah memaklumkan syarikat insurans anda secara bertulis dengan memberikan butirbutir lengkap secepat mungkin.
  • Anda hendaklah mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan agar kerosakan dan kerugian yang dialami tidak menjadi bertambah teruk.

Penyelesaian tuntutan

Jumlah pampasan bergantung pada asas perlindungan:-

  • Asas indemniti akan membayar kos membaik pulih bangunan yang rosak ditolak nilai kesan lapuk dan susut nilai; atau
  • Asas nilai pengembalian semula akan membayar sepenuhnya kos membaik pulih bangunan yang rosak tanpa ditolak nilai kesan lapuk dan susut nilai, tertakluk kepada jumlah yang dilindungi mencukupi untuk menampung kos pengembalian semula bangunan

Jika tiada sebarang peruntukan khusus, perlindungan adalah berdasarkan asas indemniti. Jika anda ingin mendapat perlindungan berdasarkan pengembalian semula, polisi anda harus mengandungi klausa yang relevan tertera padanya.

Ekses, iaitu jumlah kerugian yang anda perlu tanggung sebelum syarikat insurans anda membayar tuntutan anda, adalah terpakai untuk sesetengah risiko, seperti limpah tangki domestik, ribut, gempa bumi dan banjir.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 40/Ogos 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button