Pelan PerlindunganPengguna

Insurans Perubatan Dan Kesihatan (Bahagian 1)

Apakah Insurans Perubatan dan Kesihatan (IPK)?

Polisi IPK pada asasnya direka untuk melindungi kos rawatan perubatan swasta, seperti kos kemasukan ke hospital dan penjagaan kesihatan, sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit yang dilindungi atau ditimpa kemalangan.

Perlindungan insurans ini disediakan oleh syarikat insurans berlesen, sebagai balasan premium yang anda bayar. Pastikan anda hanya berurusan dengan syarikat insurans berlesen atau ejen yang sah atau broker insurans berlesen apabila anda membeli polisi IPK.

Mengapakah saya patut membeli polisi IPK?

Polisi IPK dapat membantu anda membayar pelbagai perbelanjaan hospital dan perubatan sekiranya anda jatuh sakit atau cedera. Perbelanjaan ini termasuk kos bilik hospital, fi profesional dan pembedahan serta kos ubat-ubatan dan rawatan. Polisi IPK juga akan dapat membantu anda sekiranya anda tidak dapat bekerja kerana sakit atau cedera.

Jenis-jenis polisi IPK

Terdapat empat jenis polisi utama IPK:

  • Insurans hospital dan pembedahan menampung perbelanjaan kemasukan hospital
  • dan pembedahan disebabkan penyakit yang dilindungi di bawah polisi ini.
  • Insurans penyakit kritikal menyediakan pembayaran manfaat secara sekali gus apabila
  • anda didiagnosis menghidapi mana-mana 36 penyakit kritikal atau penyakit-penyakit yang telah ditetapkan oleh syarikat insurans.
  • Insurans pendapatan akibat hilang upaya menyediakan sumber pendapatan yang berterusan apabila anda tidak lagi dapat bekerja akibat sakit atau cedera.
  • Insurans pendapatan hospital membayar anda sejumlah wang tertentu secara harian, mingguan atau bulanan, tertakluk kepada had tahunan, sekiranya anda perlu tinggal di hospital kerana penyakit yang dilindungi, tidak sihat atau cedera.

Manfaat yang dilindungi di bawah polisi IPK

Pembayaran manfaat bergantung kepada jenis polisi yang anda beli. Anda mesti meneliti kontrak polisi untuk mengetahui butir-butir manfaat, misalnya apa yang dilindungi dan apa yang tidak dilindungi, bila dan bagaimana manfaat akan dibayar.

Polisi kemasukan ke hospital dan pembedahan melindungi perkara-perkara seperti berikut:

Biasanya dilindungi

  • Penginapan hospital dan belanja rawatan
  • Perbelanjaan pembedahan (fi pakar bedah dan kos yang berkaitan dengan pembedahan)
  • Perbelanjaan doktor perubatan
  • Ujian untuk pesakit yang masuk wad

Kadang-kadang dilindungi

  • Tuntutan luar negeri
  • Manfaat kemalangan maut
  • Ujian atau perundingan untuk pesakit luar
  • Bersalin
  • Penyakit kongenital
  • Kecederaan akibat kemalangan atau sakit kerana terlibat dalam perlumbaan, contohnya perlumbaan kereta atau motosikal
  • Pembedahan kosmetik atau plastik
  • Rawatan pergigian termasuk pembedahan mulut

Perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila membeli polisi IPK

  • Buat pilihan bijak sebelum membeli – Polisi berbeza-beza berdasarkan perlindungan, manfaat dan kos (iaitu premium), dan perkhidmatan berbeza mengikut syarikat. Buat perbandingan terlebih dahulu sebelum membeli.
  • Jangan beli lebih daripada apa yang anda mampu – satu polisi yang komprehensif adalah
  • lebih baik dan murah daripada membeli beberapa polisi yang perlindungannya bertindih atau serupa.
  • Ketahui dengan siapa anda berurusan – Berurusanlah dengan syarikat insurans berlesen
  • atau dengan ejen yang sah atau broker insurans berlesen apabila anda membeli polisi IPK. Jika anda ragu-ragu, minta bukti pendaftaran ejen tersebut atau terus hubungi syarikat insurans berkenaan. Sila maklum bahawa kad nama tidak menjaminkan seseorang itu adalah ejen yang sah.
  • Dapatkan maklumat tentang ejen dan syarikat insurans – Tulis nama ejen dan/atau nama
  • syarikat insurans, alamat dan nombor telefon atau minta kad nama. Maklumat ini penting sekiranya anda ingin membuat pertanyaan, pembaharuan atau tuntutan ke atas polisi.
  • Ambil masa – Jangan membeli polisi kerana didesak. Ejen insurans yang profesional tidak akan terburu-buru menyuruh anda membeli sesuatu polisi. Sekiranya anda ragu-ragu sama ada polisi itu adalah seperti yang anda perlukan, Tanya kepada ejen atau minta syarikat insurans menerangkannya dengan betul kepada anda.
  • Isikan borang permohonan dengan teliti – Sekiranya anda telah membuat keputusan untuk membeli sesuatu polisi, anda perlu mendedahkan fakta-fakta penting kepada syarikat insurans. Sesetengah syarikat insurans akan meminta maklumat perubatan anda secara terperinci. Sekiranya anda tidak memberikan maklumat yang diminta sepenuhnya, perlindungan boleh ditolak untuk suatu tempoh tertentu. Syarikat insurans juga boleh menolak tuntutan untuk rawatan bagi penyakit yang tidak didedahkan dan/atau membatalkan polisi anda.
  • Teliti butir-butir perlindungan – Apabila anda ditawarkan supaya membeli polisi IPK, anda
  • sepatutnya diberi risalah mengandungi ciri-ciri penting polisi IPK tersebut. Selepas membeli polisi, anda akan diberi kontrak polisi. Baca dengan teliti terma dan syarat di dalam kontrak berkenaan.
  • Jangan bayar secara tunai – Bayar dengan cek, kiriman wang, auto debit atau draf bank yang dibayar atas nama syarikat insurans, bukan atas nama ejen atau orang lain. Dapatkan resit yang mengandungi nama, alamat dan nombor telefon syarikat insurans untuk rekod anda.
  • Notifikasi mengenai keputusan permohonan – Syarikat insurans perlu membuat keputusan sama ada untuk menerima atau tidak permohonan anda dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan. Jika anda tidak menerimanya dalam tempoh tersebut, anda perlu menghubungi syarikat insurans dan dapatkan penjelasan secara bertulis tentang kelewatan berkenaan.
  • Baca kontrak polisi dengan teliti – Pastikan bahawa salinan asal permohonan dilampirkan
  • bersama-sama dengan polisi, dan ia memberi maklumat perubatan anda yang lengkap dan tepat. Semak semula jadual manfaat dan pastikan maklumat adalah betul seperti apa yang anda kehendaki. Pastikan tidak ada sebarang muka surat yang hilang di dalam polisi dan tidak ada “rider” atau pengecualian yang di luar jangkaan.

Mustahak: Polisi anda adalah kontrak yang sah di sisi undang-undang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenainya, hubungi syarikat insurans dan selesaikannya dalam masa 15 hari. Tempoh 15 hari ini memberikan anda masa untuk menentukan sama ada polisi insurans tersebut adalah bersesuaian untuk keperluan anda. Dalam tempoh ini, anda berhak untuk menolak polisi tersebut tanpa obligasi.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 24/April 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button