Pelan PerlindunganPengguna

Insurans Perjalanan

Insurans perjalanan bertujuan untuk melindungi diri anda dan keluarga anda terhadap kemalangan, kerugian dan gangguan semasa dalam tempoh perjalanan. Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah syarikat insurans yang mungkin menawarkan kombinasi beberapa perlindungan untuk memenuhi keperluan tertentu para pelanggan, termasuk polisi tahunan jangka panjang jika anda sering membuat perjalanan.

Skop Perlindungan

Skop perlindungan dan skala manfaat yang ditawarkan oleh syarikat insurans adalah berbeza-beza. Oleh itu, anda hendaklah memilih dan memastikan bahawa anda membeli polisi yang sesuai untuk memenuhi keperluan anda. Lazimnya, perlindungan yang disediakan adalah untuk :-

  • Kemalangan diri
  • Belanja perubatan dan yang berkaitan
  • Kehilangan deposit perjalanan atau pemendekan pemergian
  • Kehilangan bagasi, barang-barang kepunyaan peribadi dan wang
  • Kehilangan passport
  • Liabiliti diri
  • Kelewatan bagasi
  • Kelewatan perjalanan
  • Rampasan kenderaan
  • Penghantaran pulang jenazah.

Anda boleh mengambil polisi perjalanan untuk diri anda sendiri dan/atau ahli keluarga. Jumlah pampasan yang boleh dibayar berdasarkan bahagian yang ditetapkan bagi setiap ahli keluarga dan jumlah keseluruhannya tidak boleh melebihi jumlah nilai diinsuranskan. Sekiranya anda melebihi had umur tertentu, anda mungkin tidak dapat membeli insurans perjalanan.

Pengecualian polisi

Kerugian yang disebabkan oleh peristiwa-peristiwa berikut selalunya dikecualikan daripada perlindungan insurans perjalanan:-

  • Risiko peperangan
  • Bunuh diri dan tidak siuman
  • AIDS
  • Pembunuhan atau serangan yang dirancang
  • Melahirkan anak atau keguguran
  • Sukan berbahaya

Selain itu, terdapat juga pengecualian yang melibatkan peristiwa, seperti kelewatan bagasi dan kehilangan bagasi serta barang-barang kepunyaan peribadi yang disebabkan oleh rampasan atau pemusnahan di bawah peraturan-peraturan kuarantin dan kastam.

Anda dinasihatkan supaya sentiasa membaca dengan teliti dan memahami pengecualian yang dikenakan atas polisi insurans anda.

Perkara-perkara penting yang perlu diambil perhatian apabila membeli insurans perjalanan

a) Barang-barang kepunyaan peribadi

Semak dengan syarikat insurans anda tentang barang-barang kepunyaan peribadi yang boleh dilindungi di bawah insurans perjalanan kerana perlindungan yang diberikan oleh setiap syarikat insurans adalah berbeza.

b) Benefisiari (pewaris)

Anda dinasihatkan supaya melantik benefisiari dan pastikan benefisiari anda itu mengetahui tentang polisi insurans perjalanan yang anda beli.

c) Insurans berganda

Sekiranya anda telah membeli lebih daripada satu polisi perjalanan, dan kemudiannya anda meninggal dunia atau hilang upaya, maka anda atau benefisiari anda mengikut mana yang berkenaan, akan dibayar pampasan di bawah setiap polisi. Walau bagaimanapun, bagi kerugian tertentu, seperti belanja perubatan yang pampasannya adalah berdasarkan pembayaran kembali (reimbursement), anda akan dibayar pampasan sekali sahaja bagi kerugian sebenar yang dialami.

d) Rangkaian gabungan asing

Pastikan syarikat insurans anda mempunyai rangkaian gabungan asing yang baik di negaranegara yang anda lawati supaya boleh memberikan bantuan dan perkhidmatan yang sewajarnya apabila diperlukan.

e) Bantuan perubatan dan kecemasan

Anda juga perlu mengetahui sama ada syarikat insurans anda menyediakan perkhidmatan talian kecemasan “hotline” 24 jam.

Apa yang anda harus lakukan sekiranya berlaku kerosakan/kerugian

a) Hubungi talian bantuan perubatan dan kecemasan

Jika polisi perjalanan anda memberikan perkhidmatan talian kecemasan “hotline”, hubungi talian tersebut untuk mendapatkan bantuan mengenai keperluan perubatan dan perkara-perkara berkaitan perjalanan seperti kehilangan passport dan bagasi.

b) Beritahu pihak berkuasa

Sekiranya barang-barang kepunyaan anda yang diinsuranskan itu hilang atau rosak, anda hendaklah mengambil tindakan yang munasabah untuk meminimumkan kerugian, iaitu dengan cara melindungi, menyelamat dan memperolehnya semula. Anda hendaklah memberitahu pihak polis tempatan, hotel, syarikat pengangkutan dan pihak berkuasa terminal pengangkutan yang mana berkaitan dengan segera.

c) Beritahu syarikat insurans anda secepat mungkin

Apabila berlaku kerugian, anda hendaklah memberitahu syarikat insurans anda dengan sertamerta atau secepat mungkin.

Membuat tuntutan terhadap syarikat insurans anda

Anda hendaklah mengemukakan borang tuntutan secepat mungkin kepada syarikat insurans anda dengan menyertakan semua dokumen sokongan, seperti polisi asal, laporan perubatan, laporan polis dan apa-apa dokumen yang berkaitan untuk menyokong tuntutan. Rujuk pada tempoh pemberitahuan tuntutan seperti yang ditetapkan dalam polisi anda.

Bagaimana mengemukakan aduan dan saluran penyelesaian yang sedia ada

  • Sekiranya anda mempunyai aduan tentang produk atau perkhidmatan syarikat insurans atau anda tidak berpuas hati dengan penolakan atau tawaran penyelesaian tuntutan, anda hendaklah terlebih dahulu menyelesaikan aduan itu dengan unit aduan syarikat insurans berkenaan
  • Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai, anda boleh menulis sama ada kepada Jabatan LINK dan Pejabat Wilayah di Bank Negara Malaysia atau Biro Pengantaraan Kewangan (BPK). Walau bagaimanapun, bidang kuasa BPK adalah terhad. Oleh itu, anda perlu menyemak dengan pegawai di unit aduan syarikat insurans anda tentang saluran yang betul untuk mengendalikan aduan anda.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 26/Jun 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button