Pelan Perlindungan

Insurans Perjalanan – Apa Perlindungan Yang Anda Peroleh?

Tahun 2017 sudah hampir ke penghujungnya. Pasti ramai dalam kalangan kita yang sudah punya perancangan untuk bercuti sempena hujung tahun ini. Namun, tahukah anda bahawa pentingnya mempunyai insurans perjalanan, terutama bagi mereka yang ingin ke luar negara.

Insurans perjalanan, seperti semua polisi insurans yang lain, akan memberi penyelesaian kepada masalah perjalanan anda apabila berada di luar negara. Ia bertujuan untuk membantu anda pada masa kecemasan. Harga yang anda bayar untuk membeli polisi insurans perjalanan dikira berdasarkan umur, tempoh perjalanan dan tempat perjalanan. Skop perlindungan dan manfaat berbeza dalam kalangan syarikat insurans dan ini tertakluk kepada pengecualian tertentu.

Berikut adalah beberapa jenis perlindungan yang diberikan oleh pakej insurans perjalanan yang baik.

Kemalangan diri dan kos perubatan

Insurans perjalanan memberikan anda manfaat ganti rugi kewangan terhadap kemalangan yang dihadapi sewaktu bercuti. Ini termasuk kecederaan parah dan kematian akibat kemalangan. Ingat, bahawa kemungkinan keracunan makanan lebih tinggi untuk dihadapi semasa anda terdedah kepada persekitaran baru. Jadi dengan perlindungan insurans perjalanan, anda tidak perlu risau sangat tentang kos perubatan di luar negara.

Pembatalan dan penangguhan Perjalanan

Ini meliputi perlindungan terhadap pembatalan atau penangguhan perjalanan atas sebab yang di luar kawalan anda. Jika penerbangan anda tertangguh beberapa jam, insurans perjalanan anda akan membayar ganti rugi berpatutan terhadap kesulitan anda dan juga kos penginapan, jika ada, tertakluk kepada syarat-syarat dalam polisi insurans anda.

Contoh insuran perjalanan seperti di atas

Kehilangan bagasi, barang-barang kepunyaan peribadi dan wang

Sikap berhati-hati pun kadangkala tidak mencukupi dalam sesetengah keadaan. Jika anda kehilangan bagasi atau barang-barang lain milik peribadi, polisi insurans perjalanan selalunya akan membayar ganti rugi dan membantu anda dalam menguruskan penyelesaian yang terbabit (misalnya jika anda kehilangan pasport).

Penghantaran pulang jenazah

Anda mungkin tidak berapa faham tentang urusan rasmi berkaitan dengan pengurusan penghantaran pulang jenazah orang yang meninggal di luar negara. Tapi dengan polisi insurans perjalanan, syarikat insurans biasanya akan mengurus pengangkutan pulang dan bayaran yang terlibat untuk keseluruhan urusan ini.

Mempunyai pakej insurans perjalanan yang baik untuk diri anda dan keluarga bukan saja memberikan anda bantuan kewangan ketika perlu, malah memberi ketenangan fikiran kerana anda tahu anda bersedia untuk sebarang kecemasan.

Tetapi sebelum membeli insurans perjalanan, pastikan anda membuat perbandingan semua pakej yang ada di pasaran untuk mendapatkan perlindungan yang terbaik. Anda juga perlu berhati-hati dengan fasal pengecualian – iaitu fasal dalam kontrak anda yang termaktub perkara-perkara yang tidak dilindungi oleh insurans perjalanan anda.

Sumber: iMoney, tune Protect dan Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 89/September 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button