Pelan Perlindungan

Insurans Motor: Panduan bagi Proses Tuntutan Kemalangan Motor

Pengguna selalunya merungut mengenai kelewatan syarikat insurans untuk memproses tuntutan insurans mereka. Selalunya, perkara yang menyebabkan kelewatan itu ialah:

  • Kurang faham mengenai perlindungan sebenar dalam polisi insurans;
  • Borang tuntutan dan dokumen sokongan yang tidak lengkap; dan
  • Berurusan dengan pihak yang tidak dibenarkan semasa kemalangan.

Oleh itu, amatlah penting untuk anda mengetahui apa yang perlu dibuat semasa dan selepas kemalangan motor untuk memastikan tuntutan insurans dapat diproses dengan cepat dan lancar.

Pentingnya insurans motor untuk perlindungan

Apabila memandu di jalan raya, kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan, kebakaran dan kecurian kenderaan anda boleh berlaku, yang anda tidak jangka sama sekali. Anda perlu membeli polisi insurans bukan hanya untuk memperbaharui cukai jalan tetapi yang lebih penting lagi adalah untuk perlindungan:

  • Untuk mendapatkan bayaran ganti rugi sekiranya kenderaan anda rosak akibat kemalangan, kecurian atau kebakaran; dan
  • Untuk membayar tuntutan yang dibuat oleh pemandu dan penumpang kenderaan pihak ketiga atau pejalan kaki akibat maut, cedera anggota badan dan kerosakan harta benda yang disebabkan oleh kenderaan anda.

Jenis insurans kenderaan

Terdapat tiga jenis perlindungan insurans untuk pemandu di Malaysia. Jenis perlindungan menentukan apa yang boleh anda tuntut apabila kenderaan anda mengalami kerosakan atau kerugian:

  1. Kematian atau kecederaan pihak ketiga dalam kemalangan
  2. Kerosakan terhadap kenderaan atau harta benda orang lain
  3. Kerosakan terhadap kenderaan anda disebabkan oleh kebakaran atau jika kenderaan anda dicuri
  4. Kerosakan terhadap kenderaan anda akibat kemalangan

Apa yang perlu anda buat apabila berlaku kemalangan motor?

Apabila kenderaan anda terlibat dalam kemalangan, anda dinasihatkan untuk mengambil langkah berikut agar proses membuat tuntutan berjalan lancar, tanpa mengira siapa yang bersalah.

  1. Ambil gambar dan catat maklumat kemalangan

    Ambil gambar di tempat kemalangan, termasuk kenderaan yang rosak dan catat maklumat kemalangan, termasuk maklumat pemandu dan penumpang yang terlibat dalam kemalangan seperti nama, alamat, nombor telefon serta nombor kad pengenalan mereka. Catat juga jenis dan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat dalam kemalangan dan nama syarikat insurans kenderaan yang berkenaan.

  2. Hubungi syarikat insurans anda atau Accident Assist Call Centre (1-300-22- 1188 atau 15-500) dengan segera

    Telefon dan beritahu syarikat insurans anda dengan segera untuk mendapatkan nasihat. Ini bagi mengelakkan sebarang kelewatan yang tidak diingini yang boleh menjejaskan kes anda ini. Anda akan diberitahu apa yang perlu dibuat dan penting bagi anda mengikut arahan yang diberikan.Sebagai alternatif lain, anda boleh hubungi Accident Assist Call Centre (AACC) di talian 1-300-22-1188 atau 15-500 untuk mendapatkan bantuan segera atau khidmat trak tunda, atau bertanyakan tentang prosedur membuat tuntutan.

  3. Elakkan daripada berurusan dengan pihak yang tidak dibenarkan

    Semasa kemalangan, jangan berurusan dengan manamana pihak tanpa persetujuan syarikat insurans anda terlebih dahulu. Ini termasuk menggunakan perkhidmatan trak tunda yang tidak dibenarkan, bersetuju dengan apa-apa penyelesaian, menerima wang tunai sebagai pendahuluan, memberikan maklumat perbankan anda atau menandatangani dokumen daripada pihak yang tidak dibenarkan.

  4. Buat laporan polis secepat mungkin dalam masa 24 jam selepas kemalangan

    Penting untuk anda memberikan maklumat berkaitan dengan kemalangan kepada pihak polis seperti yang diminta dan dapatkan satu salinan laporan polis. Sekiranya anda diganggu oleh pihak ketiga yang tidak dibenarkan dan bertanggungjawab, anda juga boleh laporkan perkara ini kepada pihak polis.

  5. Teruskan proses membuat tuntutan insurans

    Selepas membuat laporan polis, anda boleh terus hubungi syarikat insurans anda dan membuat tuntutan insurans. Syarikat insurans akan memberitahu anda dokumen yang diperlukan untuk proses membuat tuntutan termasuk yang berikut:

    • Borang tuntutan (yang akan diberikan oleh syarikat insurans anda)
    • Salinan asal laporan polis
    • Salinan kad pengenalan dan lesen memandu anda
    • Salinan kad pengenalan pemandu dan lessen memandu (jika anda bukan pemandu semasa kemalangan berlaku)
    • Salinan kad pendaftaran kenderaan
    • Gambar di tempat kemalangan, kerosakan kenderaan di tempat kemalangan dan kecederaan yang dialami
  6. Baiki kenderaan anda di bengkel yang berdaftar dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)

    Dalam kemalangan motor yang menyebabkan kenderaan anda mengalami kerosakan yang agak teruk, langkah pertama adalah memastikan perlindungan insurans anda meliputi kerosakan kepada kenderaan anda. Sekiranya ada perlindungan tersebut, bawa kenderaan anda ke bengkel yang berdaftar dengan PIAM dan maklumi syarikat insurans anda dengan segera. Untuk mendapatkan senarai bengkel yang berdaftar dengan PIAM yang berhampiran dengan tempat anda, sila layari http://www.piam.org.my/search-for-piamapprovedrepairers atau telefon AACC di talian 1-300-22-1188 atau 15-500.Apa-apa anggaran kos membaiki kenderaan yang diberikan oleh bengkel perlu dihantar kepada syarikat insurans anda untuk pengesahan dan bayaran tuntutan. Memandangkan proses perbincangan mengenai kos membaiki kenderaan selalunya mengambil masa yang panjang dan agak subjektif, PIAM dan Federation of Automobile Workshop Owners’ Association of Malaysia bersetuju dengan suatu pengaturan yang akan mengurangkan pertikaian antara pengusaha bengkel dengan syarikat insurans mengenai bayaran tuntutan insurans. Ini berdasarkan parameter yang disetujui untuk menentukan harga alat ganti kenderaan dan kos pekerja. Hasil daripada pengaturan yang telah dibuat sejak tahun 2011, tuntutan insurans untuk kerosakan kenderaan sendiri kebanyakannya boleh diluluskan dengan paling cepat dalam masa tujuh hari dari tarikh syarikat insurans anda dimaklumkan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 83/Mac 2017

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button