Pelan Perlindungan

Insurans Motor: Kecurian Kereta

Selepas tamat waktu kerja dan ketika ingin memandu kereta keluar, seseorang yang tidak dikenali telah menghampiri kereta beliau dan memaklumkan bahawa tayar kereta beliau telah pancit. Pihak Yang Diinsuranskan berasa bimbang dan tanpa berasa curiga telah turun dari kenderaan untuk memeriksa tayar. Orang yang tidak dikenali telah menawarkan khidmat tukar tayar dengan upah RM10.00. Pihak Yang Diinsuranskan menerima tawaran tersebut dengan senang hati kerana beliau sendiri mengalami kecederaan buku lali dan tidak berupaya menggantikan tayar keretanya sendiri. Kemudian, orang asing tersebut meminta kebenaran untuk mengalihkan kereta beliau dengan alasan ruang tempat kereta agak sempit untuk kerja-kerja menggantikan tayar. Dengan pantas, orang asing itu masuk ke dalam kereta beliau dan melarikan kereta tersebut.

Pihak Yang Diinsuranskan membuat tuntutan kepada syarikat insurans bagi kes kecurian tersebut. Namun begitu, syarikat insurans telah menolak tuntutan Pihak Yang Diinsuranskan di atas kehilangan kereta dengan alasan Pihak Yang Diinsuranskan telah melanggar syarat polisi 7 (c) dalam insurans motor. Beliau telah gagal mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan sewajarnya untuk melindungi kereta tersebut daripada kerugian/kerosakan. Beliau juga telah meninggalkan kunci kereta berada pada pencucuh enjin semasa turun dari kereta untuk memeriksa tayar.

Pelanggaran Syarat Polisi 7 (c): Isu yang dipertikaikan adalah sama ada Pihak Yang Diinsuranskan telah mengambil langkah berjaga-jaga dan sewajarnya bagi melindungi kenderaan memandangkan tiada peruntukan khas berdasarkan undang-undang mengenainya. Adalah memadai sekiranya Pihak Yang Diinsuranskan telah mengambil ‘langkah berjaga-jaga yang munasabah’ untuk melindungi harta yang diinsuranskan. Dalam hal ini, kes ini perlu dilihat sama ada Pihak Yang Diinsuranskan telah mengambil tindakan secara melulu atau mendedahkan dirinya kepada risiko walaupun boleh menjangka kesan yang bakal dihadapi.

Apabila kes ini dirujuk kepada Biro Pengantaraan Kewangan, pihak Pengantara telah melihat fakta kes dan situasi Pihak Yang Diinsuranskan secara menyeluruh. Pengantara telah memutuskan bahawa adalah munasabah untuk Pihak Yang Diinsuranskan membenarkan seseorang yang tidak dikenali membantu beliau untuk menggantikan tayar kenderaan memandangkan kecederaan yang dialami beliau. Oleh itu, tiada isu Pelanggaran Syarat Polisi 7 (c) dan penolakan syarikat insurans adalah tidak berasas.

Syarikat Insurans bersetuju dengan pandangan Pengantara dan tuntutan oleh Pihak Yang Diinsuranskan telah diselesaikan secara baik.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 61/Mei 2015

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button