Pelan PerlindunganPengguna

Insurans Kemalangan Diri

Insurans Kemalangan Diri (KD) merupakan polisi tahunan yang memberikan anda perlindungan insurans 24 jam terhadap kecederaan, kehilangan upaya atau kematian akibat kemalangan.

Anda boleh mengambil polisi KD untuk diri sendiri atau hayat orang lain, contohnya suami/isteri anda. Polisi juga boleh dikeluarkan untuk melindungi sekumpulan individu, contohnya polisi berkumpulan untuk keluarga atau polisi berkumpulan yang diambil oleh majikan untuk melindungi pekerjanya.

Apakah yang dilindungi di bawah polisi KD?

Jenis perlindungan berbeza-beza mengikut syarikat insurans, tetapi lazimnya termasuk:-

  • Kematian akibat kemalangan;
  • Kehilangan upaya menyeluruh atau sebahagian yang kekal;
  • Kehilangan upaya menyeluruh atau sebahagian yang sementara;
  • Perbelanjaan perubatan;
  • Pembedahan pembetulan;
  • Faedah rawatan di hospital dan
  • Perbelanjaan pengebumian.

Walau bagaimanapun, polisi KD yang standard tidak melindungi kematian, kehilangan upaya atau kecederaan yang disebabkan:-

  • Peperangan;
  • Aktiviti pengganas;
  • Bunuh diri dan ketidaksiuman;
  • Kecederaan yang dilakukan oleh diri sendiri dengan sengaja;
  • AIDS;
  • Pembunuhan atau serangan yang disebabkan provokasi;
  • Melahirkan anak, mengandung atau keguguran;
  • Sukan berbahaya;
  • Pengendalian atau penunggangan kenderaan bermotor yang beroda dua, contohnya motosikal.

Apakah pengecualian lain yang terkandung dalam polisi KD?

Anda mungkin tidak boleh mendapatkan perlindungan polisi KD jika anda seorang:-

  • Anggota polis/tentera atau penguatkuasa undangundang lain;
  • Penyelam;
  • Juruterbang atau anak kapal;
  • Juruuji pesawat;
  • Pemandu kereta lumba;
  • Pelaut dan nelayan; atau
  • Ahli sukan profesional.

Sesetengah polisi KD juga mengenakan had umur bagi orang yang diinsuranskan.

Nota: Sebahagian daripada pengecualian di atas boleh dilindungi dengan pembayaran premium tambahan.

Apakah yang anda perlu tahu semasa membeli insurans KD?

Skala faedah

Ini merujuk pada amaun pampasan yang akan dibayar oleh syarikat insurans bagi jenis tuntutan tertentu seperti kecederaan yang mengakibatkan kehilangan anggota tubuh badan, penglihatan, pendengaran dan sebagainya. Sebagai contoh, anda akan menerima 10% daripada jumlah yang diinsuranskan bagi kehilangan jari telunjuk.

Penamaan benefisiari (waris)

Anda perlu menamakan benefisiari untuk menerima wang yang akan dibayar di bawah polisi. Ini boleh dilakukan semasa anda membuat permohonan polisi insuran KD atau pada bila-bila masa selepas polisi itu dikeluarkan. Anda juga perlu memaklumkan pihak benefisiari yang beliau telah dinamakan sebagai benefisiari.

Berbilang polisi insurans

Ini bererti anda memiliki lebih daripada satu polisi KD. Jika anda meninggal dunia atau kehilangan upaya, anda atau benefisiari anda (mengikut keadaan), akan dibayar pampasan di bawah setiap polisi yang dibeli. Walau bagaimanapun, bagi tuntutan tertentu, seperti perbelanjaan perubatan, anda hanya boleh membuat tuntutan daripada satu polisi KD. Jika amaun yang dituntut melebihi apa yang diterima bagi sesuatu polisi KD, anda boleh menuntut perbezaan itu daripada polisi kedua dan seterusnya. Namun begitu, anda tidak boleh menuntut melebihi jumlah amaun perbelanjaan perubatan yang telah dibayar.

Anda perlu menyatakan dalam borang permohonan tentang polisi KD lain yang telah dibeli. Jika anda membeli perlindungan KD tambahan daripada syarikat insurans lain, anda perlu memaklumkan syarikat insurans berkenaan.

Kewajipan membuat pendedahan fakta Anda perlu mendedahkan sepenuhnya semua fakta penting dalam borang permohonan, contohnya keadaan kesihatan anda, pekerjaan sekarang dan bilangan polisi KD yang dimiliki. Ini membolehkan syarikat insurans anda mempertimbangkan permohonan anda dengan teliti. Jika anda tidak mendedahkan mana-mana fakta penting, syarikat insurans boleh menolak tuntutan anda.

Setelah anda diinsuranskan, anda perlu memaklumkan syarikat insurans anda sekiranya anda bertukar pekerjaan kerana ini mungkin mengubah polisi risiko anda.

Pembayaran premium – apa yang perlu anda tahu?

  • Premium anda perlu diterima oleh syarikat insurans dalam tempoh 60 hari dari tarikh perlindungan bermula. Jika tidak, perlindungan anda terbatal secara automatik dan anda masih bertanggungjawab membayar premium selama 60 hari untuk perlindungan yang telah diberi dalam tempoh tersebut.
  • Anda perlu memastikan cek anda dikeluarkan atas nama syarikat insurans sekiranya anda membayar melalui ejen. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika premium anda dibayar terus kepada syarikat insurans.
  • Minta resit pembayaran premium dan hubungi syarikat insurans sekiranya anda tidak menerima polisi selepas sebulan dari tarikh pembelian polisi.

Bagaimana membuat tuntutan

  • Tuntutan kematian

   Buat laporan polis dan beri notis bertulis kepada syarikat insurans secepat mungkin.

   Hantar borang tuntutan (dikemukakan oleh benefisiari) berserta dokumen seperti sijil kematian dan permit pengkebumian. Jika tiada benefisiari yang dinamakan, tanggungan simati atau pentadbir harta pusaka si mati boleh membuat tuntutan.

  • Tuntutan kecederaan

–    Kemukakan notis bertulis berkenaan kecederaan yang dialami kepada syarikat insurans dalam tempoh yang ditetapkan dalam polisi anda.

–    Kemukakan borang tuntutan berserta dokumen berkaitan seperti laporan perubatan dan resit perbelanjaan hospital.

–    Syarikat insurans anda akan membayar tuntutan anda jika rawatan diterima atau diagnosis dibuat dalam tempoh yang ditetapkan dari tarikh kemalangan itu.

  • Tuntutan polisi berkumpulan

–    Jika anda mempunyai polisi KD berkumpulan di tempat kerja, majikan anda perlu mengemukakan tuntutan kepada syarikat insurans.

–    Syarikat insurans akan membayar tuntutan kepada majikan. Majikan pula akan menentukan amaun yang akan dibayar kepada anda atau keluarga anda. Oleh itu, anda dinasihatkan membeli polisi perlindungan KD yang berasingan untuk melindungi kepentingan diri sendiri.

Sumber : insuranceinfo/Bank Negara Malaysia/Edisi 15/Julai 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button