Pelan PerlindunganPengguna

Insurans Hayat: Manfaat untuk Masa depan

Anda kerap kali mendengar tentang insurans hayat, sama ada pernah terbaca mengenainya atau ia menjadi topik perbualan dengan rakan-rakan atau kaum keluarga. Namun, adakah anda benar-benar faham mengenainya? Apakah sebenarnya yang dimaksudkan sebagai insurans hayat? Mengapakah anda harus memberi perhatian terhadapnya? Adakah ia membawa manfaat kepada anda?

Kebanyakan orang membeli insurans hayat kerana menyedari bahawa keluarga mereka memerlukan perlindungan kewangan sekiranya mereka meninggal dunia, atau menjadi cacat dan tidak lagi berupaya untuk menampung sara hidup keluarganya. Bagi yang masih was-was, sebenarnya insurans hayat memberikan jaminan kewangan pada masa depan untuk pelbagai kegunaan.

Secara amnya, insurans adalah mengenai pengagihan risiko. Syarikat insurans (atau lazimnya dikenali sebagai penginsurans) akan menguruskan wang (dikenali sebagai premium) yang dibayar oleh sebilangan besar individu (pemegang polisi). Insurans hayat ialah seseorang pemegang polisi membayar sejumlah wang ke dalam satu dana tertentu. Sebagai pulangan, beliau menerima ‘perlindungan’ daripada syarikat insurans hayat.

Apakah perlindungan yang dimaksudkan itu?

Jika dikaji secara mendalam, insurans hayat merupakan kaedah simpanan yang terbaik untuk anda. Selain daripada memberi faedah pada setiap bulan/tahun berdasarkan wang yang anda simpan, ia juga memberi ‘perlindungan’ ke atas diri anda. Ia membantu melindungi sumber kewangan keluarga pemegang polisi di atas kematiannya atau sekira berlakunya kecelakaan yang menyebabkan beliau menjadi cacat dan tidak mampu bekerja lagi. Persaraan yang secara tiba-tiba disebabkan takdir inilah yang anda lindungi dengan mengambil polisi insurans hayat.

Anda berhak mendapat ketenangan dengan mengetahui bahawa anda, keluarga anda serta kedudukan masa depan mereka akan terjamin jika sesuatu yang tidak dijangkakan terjadi yang membuat anda tidak dapat bekerja dan berfungsi untuk menyara hidup anda. Pulangan ini adalah setimpal dengan bayaran yang anda buat.

Untuk pengetahuan anda, pihak penginsurans bertanggungjawab menguruskan perniagaan mereka dengan berhati-hati untuk memastikan yang kedudukan kewangan syarikat adalah sentiasa kukuh supaya pembayaran tuntutan insurans dapat dilakukan dengan segera pada bila-bila masa.

Apakah itu polisi insurans hayat?

Ia adalah kontrak di antara pemegang polisi dan pihak penginsurans. Di bawah kontrak tersebut, pemegang polisi dikehendaki membayar premium pada masa-masa yang tertentu. Sebagai balasan, penginsurans akan membayar sejumlah wang yang telah dipersetujui kepada waris (orang yang dicalonkan oleh pemegang polisi) sekiranya pemegang polisi meninggal dunia.

Apabila anda mengambil insurans hayat, pihak syarikat memberi kepercayaan mutlak terhadap anda. Pemegang polisi harus sentiasa memberi

Anda berhak mendapat ketenangan dengan mengetahui bahawa anda, keluarga anda serta kedudukan masa depan mereka akan terjamin jika sesuatu yang tidak dijangkakan terjadi …

maklumat yang betul supaya pihak penginsurans dapat membuat penilaian yang adil tentang risiko yang terlibat. Setelah anda menandatangani polisi insurans, adalah penting untuk anda sebagai pemegang polisi membaca dengan teliti semua cetakan halus dalam dokumen tersebut untuk memastikan yang anda memahami isi kandungannya dan jenis-jenis risiko yang dilindungi.

Pampasan. Ajal berlaku dalam kalangan yang kaya dan juga miskin. Ia mungkin membawa kesusahan kepada waris sesiapa sahaja, terutama sekali sekiranya seisi keluarga bergantung dari segi kewangan kepada orang yang telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai insurans hayat, adalah dipastikan bahawa warisnya, yang dinamakan di dalam polisi insurans itu, akan menerima sejumlah pampasan sekiranya beliau meninggal dunia. Ia membantu melindungi sumber kewangan keluarga pemegang polisi di atas kematiannya atau sekiranya berlakunya kecelakaan yang tidak dapat dielakkan.

Insurans hayat boleh merupakan sumber kelegaan dari segi kewangan dalam keadaan terdesak. Ini adalah kerana pembelian polisi insurans hayat merupakan komitmen jangka panjang. Ia adalah persediaan mantap yang boleh diharap dalam menghadapi waktu kecemasan terutama sekali ketika anda amat memerlukan bantuan kewangan. Ada juga yang membeli insurans sebagai persiapan menyediakan pendapatan tambahan bagi hari-hari tua nanti. Oleh itu adalah sebaik-baiknya anda tidak membatalkan polisi anda sebelum tempoh yang ditetapkan untuk menikmati pulangan maksimum yang dimeterikan dalam perjanjian.

Berikut adalah di antara faedah-faedah perlindungan insurans hayat yang boleh dinikmati:

  1. Menyediakan wang tunai dan pendapatan kepada ahli keluarga sekiranya pemegang polisi meninggal dunia supaya mereka dapat menjelaskan bil-bil, cukai dan tanggungan lain tanpa sebarang masalah.
  2. Membolehkan keluarga mengekalkan taraf hidup mereka sekiranya orang yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk seisi keluarga meninggal dunia.
  3. Membekalkan sumber kewangan yang berterusan kepada isteri atau suami yang masih hidup.
  4. Menyediakan peruntukan kewangan untuk pendidikan anak-anak.
  5. Memperuntukkan sumber pendapatan tetap kepada pesara di sepanjang hari tua mereka.
  6. Menyediakan suatu pelan simpanan yang terjamin kepada orang yang diinsuranskan untuk masa depannya.
  7. Menambahkan pendapatan orang yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarganya sekiranya pendapatannya terjejas akibat daripada penyakit yang serius ataupun kemalangan.

Sumber : Persatuan Insurans Hayat Malaysia/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 11/Mac 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button