PenggunaPerancangan KewanganWang Digital

Inisiatif MDEC bantu usahawan mikro dan PKS

Ketidaktentuan ekonomi yang sedang berlaku akibat pandemik Covid-19 telah membawa impak ketara terhadap kehidupan rakyat Malaysia khususnya usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan mikro dan pekerja di sektor tidak formal. Majoriti terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai kemampuan ekonomi yang terhad boleh mengakibatkan golongan ini tergelincir dalam kumpulan rentan kewangan dengan mudah.

Bagi membantu usahawan mikro dan PKS, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah memperkenalkan program eBerkat. Ianya merupakan inisiatif untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang perkhidmatan kewangan digital. Inisiatif ini diharap dapat membantu untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam mengawal situasi kewangan melalui platform digital sekaligus melahirkan komuniti yang lebih berkemampuan bagi membentuk masa depan.

Bagi tujuan ini, MDEC telah bekerjasama dengan beberapa syarikat teknologi kewangan (Fintech) dan penyedia perkhidmatan industri kewangan yang diiktiraf kerajaan menggunakan strategi SLIP iaitu Savings (simpanan), Lending (pembiayaan), Investment (pelaburan) dan Payment (pembayaran). Strategi SLIP memberikan tumpuan kepada prinsip mudah, mampu dan pantas serta produk patuh syariah. MDEC juga menyediakan platform eBerkat untuk meningkatkan kesedaran dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang perkhidmatan kewangan digital yang disediakan. Untuk maklumat lanjut layari https://mdec.my/eberkat/

  1. Maklumat tentang pembiayaan modal melalui saluran alternatif
  • eBerkat memberikan pendedahan kepada usahawan mikro terhadap pembiayaan kecil, serendah RM1,000 yang boleh dipohon untuk membiayai kos seperti modal pusingan, membeli mesin dan peralatan bagi tujuan pembuatan, kos pemasaran dan sebagainya.
  • Usahawan kecil mungkin sukar mendapatkan pembiayaan sebegini melalui institusi kewangan tradisional.
  • Produk pembiayaan alternatif mungkin lebih sesuai dan usahawan boleh terus ke pautan melalui platform eBerkat untuk membuat permohonan secara atas talian kepada syarikat teknologi kewangan (Fintech) yang telah menjalinkan kerjasama dengan MDEC.
  • Pelbagai saluran disediakan seperti platform Peer-topeer (P2P), pembiayaan terus (direct financing) dan pembiayaan invois (invoice financing).

2. Pendedahan kepada perlindungan insurans mikro

    • Melalui e-Berkat, MDEC memberi kesedaran tentang risiko terhadap usahawan mikro dan PKS, seperti kemalangan diri dan kecederaan semasa mencari rezeki, kerosakan aset perniagaan seperti food truck, mesin pemprosesan dan sebagainya.
    • Produk insurans mikro dapat membantu memberikan jaminan perlindungan sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini ketika bertugas.
    • Seperti pembiayaan, platform eBerkat menyediakan pautan kepada pengguna untuk mendapatkan sebut harga dan melanggani perlindungan insurans mikro secara atas talian.
    • Produk sebegini amat sesuai untuk usahawan mikro mahupun pekerja ekonomi Gig yang memerlukan perlindungan dalam jumlah yang kecil dan tempoh yang singkat.

3. Pelaburan pintar untuk masa hadapan

    • eBerkat juga menyediakan maklumat dan pautan bagi pengguna untuk melabur secara mudah dan selamat.
    • Pengguna boleh pergi ke pautan yang disediakan untuk membuat pelaburan secara atas talian bermula dengan hanya RM1, tanpa halangan tradisional pelaburan seperti akaun minimum pembrokeran atau jumlah pelaburan minimum yang besar.
    • Peluang pelaburan melalui platform eBerkat adalah antara perkhidmatan yang ditawarkan sekiranya ada yang ingin melabur secara digital.
    • Menurut dokumen Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, 6 daripada 10 rakyat dewasa di Malaysia tidak dilindungi oleh sebarang sistem persaraan atau pencen yang formal, seperti skim pencen kerajaan ataupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Platform pelaburan ini sudah tentu dapat membantu usahawan mikro dan mereka yang bekerja di sektor informal untuk membuat simpanan hari tua secara berkala dan sistematik.

Sumber: www.mdec.my/Edisi 114/Okt 2020

Artikel Berkaitan

Back to top button