Pelan Penyimpanan

“Inilah Masanya untuk Golongan Muda”

Apabila menyentuh tentang simpanan untuk persaraan, masa yang paling sesuai untuk mula menyimpan adalah seawal memasuki alam pekerjaan. Golongan muda seharusnya mula membuat persediaan awal untuk persaraan mereka kelak. Ini mungkin agak mencabar memandangkan mereka baru sahaja memulakan kerjaya. Namun ia boleh dilakukan, boleh dicapai, dan yang paling penting, inilah masa yang terbaik untuk memulakan simpanan.

Walaupun telah membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), realitinya simpanan tersebut berkemungkinan besar tidak mencukupi untuk menampung keperluan persaraan mereka kelak. Oleh itu, sangat penting bagi golongan muda menambah simpanan persaraan bagi memastikan agar mereka mempunyai pendapatan persaraan yang diperlukan.

Tidak ramai orang yang kerap memikirkan tentang simpanan persaraan mereka. Dalam kalangan golongan muda, persaraan dilihat sebagai perkara yang masih jauh untuk ditempuhi. Namun, cuba renung sejenak, adakah ibu bapa, saudara-mara atau rakan keluarga yang benar-benar menikmati masa persaraan mereka? Berkemungkinan besar, mereka yang sedang menikmati masa persaraan adalah mereka yang telah membuat persediaan dari awal lagi. Anda perlu memulakan persediaan sekarang untuk menikmati masa persaraan yang lebih terjamin.

Skim Persaraan Swasta (PRS) ditubuhkan sebagai satu skim kebangsaan untuk simpanan persaraan secara sukarela. PRS adalah satu cara bagi golongan muda untuk menyimpan wang tambahan untuk persaraan mereka. Insentif Golongan Muda PRS sebanyak RM500 merupakan pengiktirafan daripada kerajaan bagi membantu para belia untuk memulakan simpanan persaraan mereka dalam PRS. Oleh itu, golongan muda yang bekerja perlu mengambil peluang ini untuk memulakan akaun PRS mereka, terutamanya pada awal usia alam pekerjaan.

Gabungan tempoh simpanan dan tempoh untuk mengkompaun pertumbuhan simpanan merupakan faktor pendorong bagi golongan muda untuk memulakan akaun PRS mereka. Untuk membina dana persaraan, ia memerlukan simpanan tetap sepanjang tempoh kehidupan bekerja. Menyimpan 10% daripada pendapatan bulanan mereka adalah pelan simpanan yang berpatutan. Walaupun caruman 10% ke akaun PRS ini mungkin dilihat sebagai satu pengorbanan, namun dari sudut aspek lain, ia perlu dilihat sebagai wang perbelanjaan yang diketepikan untuk kegunaan persaraan. Ia adalah wang anda dan wang inilah yang akan anda belanjakan dalam tempoh persaraan anda.

Faktor kedua dalam mengumpul dana persaraan anda ialah dengan mengkompaun pertumbuhan simpanan sehingga masa persaraan. Keajaiban pertumbuhan kompaun memberikan kesan berganda untuk mempercepat proses pertambahan dana persaraan. Menggunakan kuasa pengkompaunan boleh menghasilkan pertambahan yang besar kepada jumlah simpanan PRS dalam jangka masa panjang. Secara umumnya, lebih lama tempoh caruman PRS, maka lebih banyak kompaun simpanan persaraan anda.

Berikut merupakan contoh kes bagi Alia dan Johan. Alia dan Johan, kedua-duanya berusia 25 tahun, baharu sahaja menamatkan pengajian di universiti dan memulakan kerjaya. Johan memutuskan bahawa beliau hanya akan mula menyimpan wang dalam PRS untuk persaraan pada 10 tahun akan datang. Pada jangkaan beliau, apabila pendapatan beliau telah meningkat, maka beliau akan menyimpan lebih banyak wang. Apabila umur beliau mencecah 35 tahun, beliau memutuskan untuk mencarum sebanyak 10% daripada gajinya dalam PRS untuk tempoh 25 tahun akan datang.

Sebaliknya, Alia merupakan seorang yang lebih realis. Melihat ibu bapanya bergelut untuk menyara hari-hari persaraan mereka, maka beliau membuat keputusan untuk memulakan akaun PRS dengan menyimpan lebih awal untuk persaraan beliau. Mengikut pengiraan beliau, simpanan persaraan tambahan 10% diperlukan sebagai tambahan kepada jumlah simpanan semasa KWSP, iaitu sebanyak 23%. Jumlah peratusan simpanan sebanyak 33% ini akan membolehkan beliau menjana pendapatan persaraan yang memadai, mencukupi dan berkekalan untuk menikmati tempoh persaraan kelak. Untuk memastikan bahawa beliau mencarum 10% ke akaun PRS secara bulanan dan secara tetap, beliau telah membuat caruman PRS secara automatic melalui e-perbankan. Gaya hidup berbelanja beliau juga diselaraskan dengan menjelaskan caruman 10% ke akaun PRS terlebih dahulu, sebelum bakinya digunakan untuk memenuhi komitmen dan perbelanjaan bulanan beliau.

Tanpa disedari, kedua-dua mereka pasti akan menempuhi alam persaraan suatu hari nanti. Alia yang memulakan akaun PRS pada usia 25 tahun telah Berjaya mengumpul simpanan PRS sebanyak RM540,000 untuk menjana pendapatan persaraannya. Sebaliknya, Johan yang menunggu dan memulakan akaun PRS beliau pada umur 35 tahun hanya mampu mengumpul simpanan PRS sebanyak RM330,000 sahaja. Seperti yang anda lihat, simpanan Johan kekurangan sebanyak RM210,000 atau 39% berbanding Alia. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa masa adalah asas untuk memulakan akaun PRS bagi membolehkan masa dan pertumbuhan pengkompaunan berada bagi pihak anda. Caruman yang anda mulakan pada usia muda menghasilkan nilai yang lebih tinggi, berbanding dengan caruman yang anda buat pada usia hampir bersara disebabkan oleh unsur pengkompaunan.

Jadual: Kuasa Pertumbuhan Kompaun

Usia Mula Gaji Bulanan (RM) Caruman PRS 10%(RM) Jumlah Dana PRS pada Usia 60 Tahun (RM)
Alia 25 2,500 250 540,000
Johan 35 3,560 356 330,000

Andaian: Kenaikan gaji sebanyak 3% dan pertumbuhan kompaun PRS pada kadar 6% setahun sehingga umur 60 tahun   

Memulakan caruman lewat ada kekurangannya. Walaupun anda mencarum lebih banyak, nilai yang anda peroleh sebenarnya masih tidak dapat menyamai seseorang yang mula mencarum lebih awal daripada anda. Sebagai contoh, Johan yang memulakan caruman lewat daripada Alia, akan membayar lebih wang setiap bulan, iaitu sebanyak RM356 berbanding Alia, iaitu sebanyak RM250 sahaja. Namun pada usia 60 tahun kelak, simpanan persaraan Johan masih kurang berbanding simpanan persaraan Alia.

Menabung adalah teras kepada perancangan persaraan. Dana yang terkumpul akan menjana pendapatan persaraan untuk mengekalkan taraf hidup dan menikmati masa persaraan anda. Pada asasnya, konsep ini sangat mudah – menyimpan lebih wang untuk tempoh persaraan semasa anda mempunyai pendapatan (sekurang-kurangnya 10% simpanan bulanan dalam PRS) akan membolehkan anda lebih menikmati kehidupan persaraan anda.

Bagi golongan muda yang bekerja, jadikan masa dan pertumbuhan kompaun sebagai rakan anda. Simpan dalam PRS dari sekarang untuk menikmati kehidupan persaraan yang lebih baik. Lebih banyak anda menyimpan, maka lebih banyak wang yang anda akan peroleh apabila bersara kelak.

Penulis, Dato’ Steve Ong merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran Pencen Awam Swasta (PPA) 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button