BeritaEkonomiPengguna

Inflasi makanan melambung tinggi pada April 4.1 peratus

Berita Harian Online

PUTRAJAYA: Penanda aras kenaikan harga barang atau kadar inflasi umum iaitu indeks harga pengguna (IHP) meningkat 2.3 peratus kepada 125.9 pada April 2022 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan ini adalah melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga April 2022 (1.9%). Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan hari ini dalam keluaran terkini.

Dalam kenyataan pada hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), berkata inflasi makanan pada April meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan Makanan & Minuman telah merekodkan kenaikan.

Ini diikuti oleh Restoran dan Hotel (3.2 peratus); Pengangkutan (3.0 peratus); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.7 peratus); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.8 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (1.3 peratus). Pendidikan mencatatkan peningkatan 1.0 peratus dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain meningkat 0.8 peratus.

Sementara itu, Minuman Alkohol & Tembakau dan Kesihatan masing-masing meningkat secara marginal 0.5 peratus dan 0.2 peratus. Komunikasi kekal tidak berubah, manakala Pakaian & Kasut menurun 0.2 peratus berbanding pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai laporan itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi makanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan wajaran IHP.

“Inflasi kumpulan ini meningkat 4.1 peratus pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Peningkatan bagi kumpulan ini sebahagian besarnya berpunca dari kenaikan ketara komponen Makanan di luar rumah yang meningkat 4.4 peratus berbanding 4.0 peratus yang dicatatkan pada bulan Mac 2022.

“Sebagai contoh, Sate dan Nasi berlauk mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi sebanyak 7.1 peratus (Mac 2022: 6.6%). Masakan berasaskan sayur dan Masakan berasaskan Daging masing-masing meningkat 6.9 peratus (Mac 2022: 5.7%) dan 5.7 peratus (Mac 2022: 5.2%). Sementara itu, Makanan di rumah yang merujuk kepada bahan mentah untuk penyediaan makanan di rumah meningkat 4.1 peratus berbanding setahun lalu”.

Beliau menambah bahawa semua subkumpulan bagi Makanan & Minuman Bukan Alkohol mencatatkan peningkatan.

Subkumpulan Susu, keju & telur menunjukkan kenaikan tinggi sebanyak 7.2 peratus berbanding 7.0 peratus pada bulan sebelumnya. Ini diikuti oleh kenaikan Daging (6.2 peratus), Sayur-sayuran (4.5 peratus) dan Ikan & makanan laut (3.8 peratus).

“Peningkatan harga sayur-sayuran adalah disebabkan oleh cuaca tidak menentu telah menjejaskan kematangan sayur-sayuran dan menyebabkan penyusutan bekalan di pasaran.

“Selain itu, peningkatan harga ini juga disebabkan oleh peningkatan harga baja, kos logistik dan kekurangan sumber tenaga manusia di tapak pertanian. Kerajaan telah melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 yang bermula pada 26 April sehingga 10 Mei 2022 sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran sebelum dan sehingga selepas perayaan.

“Pelaksanaan SHMMP ini dijangka akan meredakan inflasi Mei 2022 terutamanya bagi kumpulan Makanan,” katanya.

Katanya, Peningkatan dalam kumpulan Pengangkutan terutamanya disebabkan oleh peningkatan purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON97 kepada RM3.84 seliter berbanding RM2.55 seliter pada bulan yang sama tahun lalu.

Ini sejajar dengan kenaikan 63.3 peratus harga minyak mentah Brent kepada ASS105.78 setong pada April 2022. Selain itu, Pembaikan & penyelenggaraan untuk pengangkutan meningkat 8.0 peratus (April 2021: 2.2%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP meningkat 0.2 peratus berbanding Mac 2022. Peningkatan ini disumbangkan oleh Makanan & Minuman Bukan Alkohol; Pengangkutan; Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan dan Restoran & Hotel yang masing-masing meningkat secara marginal 0.4 peratus.

Mohd Uzir turut menambah: “Semua negeri menunjukkan peningkatan dalam inflasi di mana dua negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras inflasi nasional 2.3 peratus.

“Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1 peratus). Sementara itu, Pahang (1.6 peratus) dan Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan (1.4 peratus) adalah dua negeri yang mempunyai peningkatan inflasi yang paling rendah.

“Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi inflasi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol. Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (5.7 peratus) diikuti oleh Pulau Pinang (4.4 peratus), Perak (4.2 peratus) dan Johor (4.2 peratus).”

Secara umumnya, Mohd Uzir menjelaskan, peningkatan yang berlaku adalah disebabkan oleh kenaikan harga Makanan di luar rumah pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol nasional iaitu 4.1 peratus pada April 2022.

Beliau turut menambah bahawa inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 2.3 peratus daripada 123.6 pada April 2021 kepada 126.4 pada April 2022.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol 4.1 peratus yang meningkat pada kadar yang sama seperti inflasi keseluruhan.

Peningkatan adalah daripada subkumpulan Susu, keju & telur (8.1 peratus) diikuti oleh Daging (6.0 peratus), Minyak & lemak (4.8 peratus) dan Sayur-sayuran (3.9 peratus).

Inflasi Restoran & Hotel juga meningkat 3.6 peratus diikuti Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.4 peratus); Pengangkutan (1.8 peratus); Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (1.8 peratus) dan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (1.8 peratus).

Artikel Berkaitan

Back to top button