Pelan Pendapatan

Hobi Sebagai Sumber Pendapatan

Ramai yang mempunyai hobi untuk mengisi masa lapang. Namun, pernahkah anda terfikir untuk menjadikan hobi seperti kemahiran, untuk ditukar bagi menjana pendapatan anda sekeluarga? Kewujudan eBay, Mudah.my dan Lelong.com.my telah membuka peluang pencinta hobi untuk memasarkan hasil kraf tangan, produk atau perkhidmatan kepada pelanggan secara percuma dan dengan kadar yuran yang sangat minimum. Tidak kurang juga dengan penggunaan blog dan facebook yang semakin popular dan boleh dijadikan medium untuk mempromosikan hasil kreativiti anda.

Berikut adalah tip bagaimana anda boleh menukarkan hobi kepada duit atau pendapatan.

1) Menjual hasil anda

Sekiranya anda seorang yang mahir menjahit, melukis dan mempunyai bakat untuk menghasilkan seni kraf tangan sendiri, anda sebenarnya boleh menambah pendapatan daripada jualan hasil kemahiran tersebut. Promosikan hasil kraf tangan anda di facebook atau blog terlebih dahulu bagi mendapatkan maklum balas rakan-rakan anda. Jika rakan anda mempunyai kedai atau gerai kraf, anda boleh meletakkan hasil produk tersebut secara konsainan. Anda juga boleh cuba menjual produk menerusi laman sesawang antarabangsa seperti www.etsy.com  Laman sesawang ini sangat popular dalam kalangan peminat kraf tangan dan menghubungkan mereka di seluruh dunia.

2) Menjual koleksi anda

Anda seorang pengumpul koleksi? Anda semestinya berbangga mempunyai pelbagai koleksi permainan, setem, kerjakerja seni yang mempunyai nilai artistik tersendiri. Anda mungkin akan berasa sayang untuk menjual koleksi tersebut, dan tidak salah untuk anda menjualkannya bagi tujuan berkongsi minat yang sama dengan orang lain. Kemungkinan harga koleksi ini boleh mencecah ribuan ringgit dan ia bergantung kepada harga semasa dan tawaran pasaran.

3) Tukarkan kepada barangan yang anda inginkan

Tidak semestinya hobi anda itu perlu dibayar dalam bentuk wang tunai. Anda boleh menukarkan hasil produk atau hobi anda kepada bentuk barangan atau perkhidmatan yang ingin anda gunakan. Ini membolehkan anda untuk memperoleh koleksi lain tanpa membelanjakan wang. Pasaran dalam talian juga boleh memasarkan barangan anda kepada umum. Barangan yang hendak ditukar perlulah sesuai dengan nilai masanya. Walau bagaimanapun, pertukaran ini menuntut agar anda bersikap jujur dan beretika supaya tidak berlaku sebarang penipuan.

“Bagi memperoleh kemahiran yang berpotensi, anda tidak perlu lokek melaburkan masa dan wang ringgit.”

4) Menjual kemahiran anda

Adakah hobi anda memerlukan kemahiran tertentu? Sekiranya anda mahir dan telah menguasai sesuatu kemahiran, anda boleh menyumbangkan kemahiran tersebut kepada orang lain dalam bentuk wang. Bagi memperoleh kemahiran yang berpotensi, anda tidak perlu lokek melaburkan masa dan wang ringgit. Contohnya, Encik Chan bekerja sebagai seorang jurutera sepenuh masa dan seorang jurugambar untuk pekerjaan sambilan.

5) Berkongsi dan mengajar terhadap

sesuatu yang anda minati Sekiranya anda seorang yang mahir dan berpengetahuan dalam bidang tertentu, anda boleh mengajarkan kemahiran tersebut secara formal dalam bentuk kelas atau seminar. Yuran seminar / kelas yang anda laksanakan boleh mendatangkan sumber pendapatan kepada anda sekeluarga. Walau bagaimanapun, anda perlu mempertingkat maklumat serta perkembangan terkini agar dapat diterima oleh golongan sasaran anda.

6) Menulis mengenai hobi anda

Jika anda sukar untuk mengajar sesuatu yang anda minati dalam bentuk formal, anda juga boleh menulis dan menerbitkan sebuah buku bagi berkongsi hobi anda. Anda boleh menulis sesuatu yang anda mahir seperti buku pertanian burung walit, buku resepi tradisional Melayu dan sebagainya. Anda dapat berkongsi hobi dan pada masa yang sama mendapat wang daripada hasil jualan buku tersebut.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 22/Februari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button