Pengguna

Hak Sebagai Peminjam Wang Berlesen

Ramai dalam kalangan pengguna yang kurang arif mengenai cara-cara untuk membuat pinjaman wang daripada syarikat pemberi pinjam wang berlesen. Ramai pengguna mengadu bahawa mereka telah ditipu oleh syarikat pemberi pinjam wang yang mengenakan kadar faedah yang terlampau tinggi. Mereka juga tidak diberikan sesalinan surat perjanjian.

Untuk mengelakkan insiden tersebut, pengguna dinasihati supaya tidak terburu-buru membuat pinjaman. Mereka perlu menyiasat terlebih dahulu latar belakang sesebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang.

Menurut Akta Pinjaman Wang 1951 (Akta 400), pemberi pinjam wang (PPW) ialah mana-mana orang yang menjalankan perniagaan pinjaman wang yang didaftarkan di bawah Akta Pinjaman Wang 1951. PPW perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam akta tersebut. Sebagai contoh, menurut seksyen 18 Akta 400, PPW hendaklah menyimpan dengan teratur tiap-tiap akaun peminjam. Akaun tersebut hendaklah ditulis dalam turutan dengan angka dan perkataan yang jelas. Akaun tersebut tidak boleh memudahkan penghapusan, penyisipan atau penggantian mana-mana muka surat. Mana-mana PPW yang tidak mematuhi kehendak tersebut tidak boleh menguatkuasakan tuntutan-tuntutan mereka.

Peminjam pula hendaklah diberikan pernyataan atau maklumat yang tidak mengelirukan bagi setiap pinjaman yang dibuat. Setiap pinjaman hendaklah menggunakan borang pinjaman yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sahaja, selaku pengawal selia PPW, iaitu Jadual J (pinjaman tanpa cagaran) atau Jadual K (pinjaman dengan cagaran). Peminjam berhak untuk diberikan satu salinan perjanjian secara percuma. Peminjam juga hendaklah mendapatkan resit bayaran bagi setiap bayaran balik pinjaman yang dibuat. Peminjam turut diingatkan supaya tidak menandatangani borang perjanjian yang kosong. Sebarang transaksi pembayaran pinjaman hendaklah diterima selepas perjanjian diisi penuh, dimatikan setem dan pembayaran dibuat di pejabat PPW yang berkenaan.

Jika peminjam gagal menjelaskan hutang kepada PPW:

a) Mengikut perjanjian pinjaman di bawah tajuk ‘hak tindakan’, jika peminjam gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh 28 hari selepas tempoh genap tarikh bayaran ansuran atau melakukan perbuatan kebangkrapan secara terpaksa atau sukarela, PPW berhak untuk menamatkan perjanjian tersebut;

b) PPW dikehendaki memberi notis 14 hari bagi tujuan menamatkan perjanjian itu;

c) Jika dalam tempoh tersebut peminjam tidak dapat juga menjelaskan hutangnya, PPW berhak untuk menamatkan perjanjian tersebut;

d) Tindakan menuntut baki jumlah hutang termasuk faedah serta lain-lain kos guaman dan mahkamah akan dituntut oleh pihak PPW di mahkamah; dan

e) Jika pinjaman bercagar, PPW berhak ke atas cagaran tersebut mengikut proses undang-undang.

Pengguna boleh mengetahui perbezaan antara PPW yang sah atau haram melalui iklan. Mengikut Peraturan 8, Peraturan-peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan dan Perlesenan), setiap iklan sama ada dalam bentuk papan iklan, kain pemidang atau kad mesti mengandungi butir-butir berikut:

a) Nombor lesen PPW dan tarikh pengesahannya;

b) Nombor permit iklan;

c) Nama, alamat dan nombor telefon PPW berlesen; dan

d) Kadar faedah yang ditawarkan.

Cara lain untuk peminjam mengenal pasti sama ada sesuatu premis itu menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang secara sah adalah melalui portal KPKT, di alamat www.kpkt.gov.my atau boleh berhubung terus melalui talian telefon 03-8000 8000, atau datang sendiri ke Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aras 22, No. 51, Persiaran Perdana, Presint 4, Putrajaya.

Sumber : Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 105/Januari 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button