Pengguna

Hak Penjamin

Apakah jaminan?

Jaminan adalah satu kontrak sah yang mengikat anda untuk membayar hutang peminjam jika peminjam tersebut gagal berbuat demikian. Institusi kewangan yang berkenaan boleh mendakwa anda jika peminjam tidak membayar hutangnya.

Siapakah yang boleh jadi penjamin?

Sesiapa sahaja boleh menjadi penjamin asalkan ia dapat memenuhi keperluan undang-undang untuk menjadi penjamin. Namun demikian, memandangkan seorang penjamin bertanggungjawab membayar hutang peminjam jikalau beliau mungkir, anda patut mempertimbangkan untuk menjadi penjamin hanya kalau anda sudah benar-benar pasti bahawa anda mampu menjelaskan hutang peminjam jika beliau gagal berbuat demikian.

Syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang bagi seorang penjamin merangkumi:-

a) Berumur 18 tahun

b) Bukan seorang bankrap

c) Berfikiran waras dan berkeupayaan dari segi mental untuk memahami dokumen jaminan dan tanggungjawab serta kewajipan seseorang penjamin.

d) Telah bersetuju secara sukarela untuk menjadi penjamin (iaitu tidak dipaksa atau menandatangani kontrak kerana dipengaruhi secara tidak wajar, fraud, salah representasi atau akibat kesilapan)

Namun demikian, keputusan muktamad sama ada untuk menerima anda sebagai penjamin adalah terpulang kepada institusi kewangan yang berkenaan.

Hak-hak seorang penjamin

Sebagai seorang penjamin, anda diberi hak-hak tertentu sebelum dan selepas menandatangani kontrak jaminan. Ini termasuk:-

a) Hak untuk mendapat salinan surat jaminan atau kontrak jaminan dan sebarang dokumen lain berkaitan dengan transaksi pinjaman tersebut.

b) Hak untuk mendapat khidmat nasihat daripada peguam anda sebelum menandatangani kontrak jaminan. (namun demikian, fi guaman adalah di atas tanggungan sendiri)

c) Hak untuk mendapat maklumat mengenai baki tertunggak akaun peminjam dengan institusi kewangan tersebut tertakluk kepada keizinan peminjam

d) Hak untuk meminta peminjam membuat pembayaran bagi melepaskan liabiliti anda sebagai penjamin. Hak ini boleh digunakan pada bila-bila masa malah sebelum institusi kewangan tersebut mengeluarkan notis tuntutan peminjam untuk menjelaskan hutangnya. Namun demikian,hak ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat pinjaman yang mungkin berbeza daripada seorang pelanggan kepada pelanggan yang lain.

e) Hak untuk mendapat bayaran ganti daripada peminjam bagi sebarang pembayaran yang telah dibuat oleh anda kepada institusi berkenaan. Ini bererti anda boleh mendakwa peminjam tersebut untuk amaun yang telah anda bayar kepada institusi kewangan tersebut.

Liabiliti seorang penjamin

Apa yang kerap berlaku ialah penjamin sewenangwenangnya menandatangani kontrak jaminan tanpa menyedari sepenuhnya implikasi masa hadapan. Oleh itu, amalan membaca dan memahami kontrak jaminan sebelum menandatanganinya adalah amat penting bagi seorang bakal penjamin. Berikut adalah beberapa faktor yang menjejaskan liabiliti seorang penjamin:-

a) Tahap liabiliti yang ditanggung oleh seorang penjamin adalah seperti yang termaktub di dalam dokumen jaminan.

b) Seorang penjamin akan dipertanggungjawabkan ke atas liabiliti peminjam mengikut syarat-syarat yang terkandung di dalam dokumen jaminan.

c) Seorang penjamin hanya dianggap bertanggungjawab ke atas jaminan sekiranya peminjam mungkir dalam membuat sebarang pembayaran kepada institusi kewangan dan institusi tersebut telah membuat tuntutan ke atas penjamin.

Nasihat guaman bebas

Usaha mendapatkan nasihat guaman bebas sebelum menandatangani kontrak jaminan adalah dianggap penting. Ini akan memastikan bahawa anda benar-benar faham akan sifat sebenar dokumen tersebut dan implikasi undang-undang. Contohnya, hak-hak dan liabiliti di bawah sesuatu kontrak jaminan, terutamanya kalau institusi kewangan menukar syarat-syaratnya di sepanjang tempoh pinjaman itu.

Pengehadan tindakan terhadap penjamin

a) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam kontrak jaminan, tuntutan boleh dibuat melalui serahan tangan, pos biasa atau surat berdaftar.

b) Institusi kewangan mempunyai tempoh selama enam tahun dari tarikh tuntutan pertama untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penjamin.

Pelepasan penjamin

a) Seseorang penjamin akan terlepas daripada tanggungjawab di bawah jaminan tersebut setelah pembayaran kepada institusi kewangan dibuat sepenuhnya.

Apa yang anda kena buat dan jangan buat

a) Baca dan memahami sifat jaminan tersebut. Seseorang bakal penjamin dinasihatkan agar tidak menandatangani dokumen yang belum dibacanya atau menandatangani dokumen kosong atau borang yang tidak lengkap. Seseorang yang menandatangani dokumen seperti ini sukar untuk mendapat pembelaan di sisi undang-undang jika dicabar di mahkamah.

b) Dapatkan khidmat nasihat profesional / guaman mengenai implikasi undang-undang sebelum menandatangani jaminan tersebut.

c) Semak dan pastikan bahawa jaminan tersebut adalah tertakluk kepada undang-undang yang terdapat di Malaysia.

d) Berwaspada sebelum menyerahkan salinan kad pengenalan atau pasport kepada orang selain daripada institusi kewangan atau peguam-peguam yang bertindak bagi pihak anda

e) Jangan menandatangani perjanjian jaminan jika anda:-

i) Tidak ada kepentingan dari segi kewangan, perniagaan mahupun moral dalam transaksi tersebut dan tidak pasti dengan sifat transaksi tersebut.

ii) Mempunyai keraguan mengenai kemampuan atau integriti peminjam.

iii) Merasai bahawa anda telah didesak atau dalam keadaan terpaksa untuk berbuat demikian.

iv) Tidak memahami syarat-syarat jaminan tersebut dan tidak mendapat bantuan penasihat bebas yang boleh memberi penjelasan kepada anda.

v) Berasa yakin bahawa anda tidak mampu menjelaskan hutang peminjam jika beliau gagal membuat pembayaran.

f) Sentiasa pastikan bahawa:-

i) Amaun maksimum yang dijamin dinyatakan dengan jelas dan sama ada ia merangkumi faedah terakru.

ii) Mengetahui liabiliti anda jika berlaku variasi ke atas syarat-syarat pinjaman.

iii) Jika jaminan diberi secara bersama atau secara berasingan, pastikan bahawa semua penjamin telah menandatangani jaminan tersebut.

iv) Nama peminjam jelas dinyatakan dalam dokumen jaminan.

v) Anda perlu mendapatkan penerangan atau penjelasan mengenai mana-mana syarat jaminan tersebut, jika berasa ragu-ragu. Kalau perlu dapatkan khidmat nasihat guaman sebelum menurunkan tandatangan.

Apa yang patut diketahui oleh penjamin

Sesuatu pinjaman boleh dijamin oleh seorang atau lebih daripada seorang penjamin. Namun demikian, ini tidak bermakna liabiliti penjamin dibahagikan sama rata dalam kalangan penjamin-penjamin terlibat. Institusi-institusi kewangan mempunyai hak untuk mendapatkan balik hutangnya sama ada keseluruhan atau sebahagian hutang tersebut daripada mana-mana penjamin yang terlibat.

a) Jaminan bersama Di bawah kontrak jaminan yang melibatkan lebih daripada seorang penjamin, jika salah seorang daripada penjamin meninggal dunia, tanggungjawab jaminan akan terus ditanggung oleh penjamin-penjamin yang masih hidup.

b) Jaminan bersama dan berasingan Di bawah kontrak jaminan yang dibuat secara bersama dan berasingan, apabila seorang daripada penjamin meninggal dunia, estet si mati akan terus bertanggungjawab ke atas jaminan tersebut bersama-sama dengan penjamin-penjamin yang lain.

Tahukah ANDA, anda boleh diisytiharkan bankrap sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjamannya jika hutang tersebut adalah bersamaan dengan ataupun melebihi RM30,000 seperti ditakrifkan di dalam Akta Kebankrapan 1967.

Sumber : bankinginfo/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 15/Julai 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button