Pelan PerbelanjaanPengguna

Hak Pembeli Melalui Jualan Kredit

Memang menjadi kebiasaan pada masa ini pengguna membeli barangan secara kredit atau ansuran. Biasanya ia membabitkan barangan yang berharga ratusan atau ribuan ringgit. Dengan wujudnya perniagaan yang menawarkan kemudahan ini, ramai pengguna yang mampu memiliki barangan, seperti perabot, barang elektrik, kenderaan dan sebagainya, yang dibayar secara ansuran. Malah, wujud syarikat yang khusus menawarkan perkhidmatan untuk memudahkan pengguna membeli barangan secara kredit.

Dari segi perundangan, perniagaan yang menawarkan perkhidmatan jualan secara kredit atau ansuran tertakluk di bawah Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010). Namun, ada juga perniagaan yang tidak dikawal selia oleh akta ini, seperti skim bayaran mudah, fleksi kredit dan sebagainya.

Aduan Jualan Kredit

Sejak kebelakangan ini, timbul banyak isu berkaitan syarikat yang menyediakan perkhidmatan jualan secara kredit. Antaranya, wujud kegiatan mengugut dan mengancam pengguna yang gagal menjelaskan tunggakan ansuran bulanan.

Berdasarkan aduan yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), iaitu bahagian aduan FOMCA, pengadu dihubungi oleh pihak syarikat yang mendakwa pengadu masih mempunyai tunggakan bayaran ansuran perabot. Walhal, bayaran perabot itu sudah dilangsaikan beberapa tahun lalu. Begitu juga, tindakan syarikat menggunakan khidmat pemungut hutang yang bertindak mengugut pengadu jika tidak menjelaskan bayaran.

Tindakan ugutan dilakukan oleh pemungut hutang ini perlu dipandang serius. Tindakan ini tidak sewajarnya dilakukan. Syarikat seharusnya perlu bertanggungjawab mengemas kini pembayaran pengguna supaya kesilapan maklumat tidak berlaku.

Kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa mereka perlu mendapatkan surat pelepasan daripada syarikat berkaitan apabila pembayaran telah selesai dibuat.

Mereka tidak boleh menganggap pengesahan secara lisan oleh syarikat itu adalah keputusan akhir untuk ansuran yang diambil oleh mereka. Surat pelepasan boleh dijadikan sebagai bukti bahawa pengguna sudah melangsaikan bayaran ansuran dari syarikat terbabit.

Tidak dinafikan, ramai pengguna memerlukan skim bayaran ansuran bagi mengurangkan beban kewangan mereka. Pengguna juga perlu mengesahkan caj faedah sebelum menandatangani sebarang perjanjian dan membandingkan penawaran faedah dengan syarikat lain. Hal itu disebabkan bayaran ansuran mungkin kelihatan mudah untuk dibayar, tetapi sebaliknya ia menyebabkan anda terpaksa membayar dua kali ganda daripada harga asal disebabkan oleh kadar faedah dan caj lain.

Peraturan Lindungi Pengguna

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012 pada 1 Oktober 2012. Peraturan ini bertujuan untuk melindungi pengguna yang membuat urus niaga secara kredit atau ansuran. Peraturan ini mewajibkan penjual dan pemberi  kemudahan kredit untuk memaklumkan kepada pengguna secara lisan dan bertulis mengenai beberapa maklumat penting sebelum urus niaga secara kredit dilaksanakan, seperti kadar faedah dikenakan, harga barangan termasuk faedah, caj sampingan, caj bayaran lewat dan formula pengiraannya.

Selain itu, peraturan ini juga menetapkan beberapa perkara seperti berikut:

  • Tidak membenarkan penjual atau pemberi kemudahan kredit mengenakan lebih daripada satu fi pemprosesan dokumen bagi pembelian melebihi satu barangan dengan satu transaksi;
  • Kadar faedah tidak boleh diubah selepas perjanjian jualan kredit ditandatangani;
  • Pengguna tidak boleh dikenakan sebarang bentuk fi jika permohonan kredit tidak diluluskan; dan
  • Pengguna tidak boleh dikenakan penalti jika membuat penyelesaian awal pembayaran.

Namun, jumlah kadar faedah ditawarkan syarikat tidak dikawal oleh mana-mana badan atau agensi. Terdapat aduan mengenai kadar faedah yang diberikan oleh syarikat agak tinggi. Oleh itu, pengguna perlu bijak membuat perbandingan harga dan caj kadar faedah ditawarkan.

Pengguna boleh membuat aduan sekiranya ada syarikat yang tidak mematuhi peraturan ini kepada KPDNKK dengan menghubungi nombor hotline 1800 886 800, melalui laman sesawang, http://e-aduan.kpdnkk.gov.my tau memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 73/Mei 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button