Pengguna

Gores dan Menang

Walaupun isu gores dan menang sudah lama dilaporkan dalam media, namun isu ini masih lagi berlaku. Pengguna masih ditipu dengan pelbagai tawaran hadiah secara percuma. Syarikat yang menawarkan hadiah melalui gores dan menang ini sering kelihatan di tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai, terutama sekali di pasar raya besar. Pengguna perlu memahami dan berwaspada kerana aktiviti ini lazimnya merupakan suatu penipuan yang mungkin menyebabkan kehilangan wang kepada pengguna.

Peraduan seumpama ini tidak semestinya dilakukan oleh syarikat yang sah dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ini boleh menyebabkan pengguna mengalami kesukaran dalam membuat tuntutan terhadap syarikat tersebut kerana mereka tidak berdaftar. Maka tiada maklumat yang lengkap dapat diperoleh berkenaan dengan syarikat yang melakukan kesalahan untuk diambil tindakan. Oleh itu, usaha pengguna untuk melakukan tuntutan, sama ada melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia atau Mahkamah Tuntutan Kecil menjadi terbatas.

Gores dan menang dikategorikan sebagai salah satu aktiviti perniagaan yang berunsurkan penipuan kerana lazimnya pengguna dikatakan telah memenangi hadiah yang ditawarkan setelah menyertai peraduan. Selepas berjaya meyakinkan pengguna tentang kelebihan dan ciri-ciri hadiah yang dimenangi, pengguna akan diminta untuk menjelaskan sejumlah bayaran terlebih dahulu sebelum mendapatkan hadiah tersebut. Alasan yang selalu diberikan kepada pengguna adalah pembayaran tersebut berfungsi sebagai caj pengurusan.

Apabila pengguna telah membuat bayaran pengurusan, mereka akan dipujuk untuk membuat bayaran tambahan supaya dapat memenangi lebih banyak hadiah yang menarik. Wakil syarikat akan terus-menerus memujuk pengguna sehingga mereka bersetuju untuk menambah bayaran bagi mendapatkan hadiah yang lain. Bayaran biasanya dibuat dalam berbentuk tunai atau secara kredit. Penipuan tersebut hanya akan mula disedari oleh pengguna apabila mereka mendapati hadiah yang dimenangi mengalami kerosakan setelah beberapa kali digunakan atau tidak seperti yang digambarkan oleh syarikat tersebut.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sering menerima aduan berkenaan dengan peraduan gores dan menang daripada pengguna. NCCC  menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati dengan syarikat yang menawarkan peraduan dan hadiah seperti ini supaya tidak tertipu dengan tawaran yang diberikan. Ini kerana, agak sukar untuk membuat tuntutan jika syarikat tersebut tidak beroperasi secara sah. Namun, jika terbukti syarikat tersebut berdaftar di bawah SSM, pengguna boleh memfailkan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna jika hadiah yang diberikan tidak boleh digunakan dan berunsur penipuan. Namun begitu, pengguna perlu memastikan bahawa mereka ada membuat pembayaran terlebih dahulu dan tidak benar-benar menerima hadiah tersebut secara percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau myAduan@nccc.org.my 

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 45/Januari 2014

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button