Pengurusan HutangPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Fikir Sebelum Pinjam

Fahami ciri produk dalam membuat keputusan

Faedah ialah caj yang dikenakan ke atas wang yang dipinjam atau keuntungan yang diperoleh daripada wang yang didepositkan. Kadar faedah yang dikenakan ke atas pinjaman adalah ukuran risiko yang diambil pemberi pinjaman.

Semakin tinggi risikonya, maka semakin tinggilah kadar faedah yang dikenakan. Biasanya, terdapat tiga jenis kadar faedah di pasaran. Ini termasuklah:

  • Kadar sama rata: Faedah dikira berdasarkan jumlah asal nilai pinjaman sepanjang tempoh pinjaman.
  • Kadar tetap: Faedah dihitung berdasarkan baki pinjaman semasa pada kadar faedah yang tidak berubah-ubah sepanjang tempoh pinjaman.
  • Kadar terapung: Faedah dihitung berdasarkan baki pinjaman semasa, dengan kadar faedah bersandarkan pada indeks atau kadar asas. Kadar ini boleh berubah-ubah sepanjang tempoh pinjaman. Indeks atau kadar asas faedah yang paling biasa digunakan ialah Kadar Pinjaman Asas (KPA).

Faedah kadar sama rata biasanya adalah lebih tinggi atau mahal. Ia dihitung di atas jumlah asal pinjaman yang dibuat dan dikenakan sepanjang tempoh pinjaman. Sebaliknya, faedah kadar tetap dan kadar terapung pula dikira berdasarkan baki pinjaman semasa.

Memahami faedah kompaun

Faedah kompaun pada dasarnya seperti faedah biasa. Ia dikira ke atas pinjaman pokok dan faedah terkumpul. Pengiraan faedah adalah secara tahunan, bulanan dan harian. Kesan faedah lebih ketara mengikut kekerapan pengiraan faedah kompaun. Faedah kompaun juga boleh diibaratkan sebagai pedang bermata dua, iaitu sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan.

Selain daripada memberikan pulangan pelaburan yang lebih tinggi, faedah kompaun juga menyebabkan caj faedah yang lebih banyak jika kelewatan dalam pembayaran balik pinjaman atau hutang kad kredit.  Amalan ini biasanya digunakan dalam pengiraan hutang kad kredit.

Garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai ketelusan dan penzahiran produk

Menyedari pentingnya pemberian maklumat tentang produk yang mencukupi kepada pengguna dan perkhidmatan secara telus oleh penyedia khidmat kewangan, BNM mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Ketelusan dan Penzahiran Produk. Garis panduan ini membantu meningkatkan piawaian penzahiran untuk produk kewangan runcit bagi bertujuan membantu pengguna membuat keputusan bijak melalui penzahiran yang bermakna dan tepat pada masanya.

Menerusi garis panduan ini, BNM memerlukan penyedia perkhidmatan kewangan untuk memaklumkan semua ciri produk kewangan runcit untuk membantu pelanggan membuat keputusan kewangan yang bijak.

Anda dinasihatkan meminta dan memahami ciri produk sebelum membuat sebarang keputusan untuk menerima mana-mana kemudahan pinjaman.

MAKLUMAT PENTING

  • Meminjam untuk memenuhi keperluan dan bukan kehendak atau meminjam untuk tujuan produktif saja.
  • Meminjam mengikut kemampuan – mengehadkan nisbah hutang kepada pendapatan tidak melebihi 40 peratus.
  • Apabila meminjam, fahami tiga peraturan meminjam iaitu tujuan pinjaman, keupayaan membayar balik dan sejarah pembayaran.
  • Fahami jenis kadar faedah dan kesan terhadap keseluruhan kos pinjaman.
  • Ketahui risiko sebelum menjadi seorang penjamin kerana jika peminjam gagal membayar balik pinjaman, maka penjamin yang akan bertanggungjawab menjelaskan pinjaman tersebut.

Sumber : AKPK/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 21/Disember 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button