Pelan PerbelanjaanPengguna

Fahami Klausa ‘Barang Yang Dijual Tidak Boleh Dikembalikan’

Setiap kali anda membuat pembelian barangan, anda sering kali menjumpai klausa pada invois yang menyatakan, ‘Barang yang dijual tidak boleh dikembalikan’ atau lebih dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Goods sold are not refundable’. Adakah ini bermaksud bahawa anda tidak mempunyai sebarang pilihan untuk menuntut bayaran balik?

Akta Perlindungan Pengguna 1999 jelas menyatakan pengguna berhak untuk mendapat tebus rugi terhadap pembekal atau pengilang jika barang-barang atau perkhidmatan yang dibayar tidak mematuhi gerenti tersirat dan kualiti boleh terima. Ini bermaksud barangan yang dijual biasanya tidak boleh dipulangkan atau dikembalikan melainkan jika penghantaran barang yang dipesan tidak betul, mengalami kecacatan yang disebabkan oleh pengeluar / pengilang dan barangan rosak bukan disebabkan oleh kecuaian sendiri.

Walau bagaimanapun, klausa ini tidak menyalahi undang-undang. Namun ia boleh mengelirukan para pengguna. Persoalannya, mengapa pembekal menggunakan klausa tersebut? Hal ini kerana, tanpa peraturan yang ditetapkan, sesiapa sahaja boleh membeli barang dan meminta bayaran balik pada hari berikutnya tanpa sebarang alasan.

Apakah tindakan pengguna?

Apakah yang perlu pengguna lakukan untuk mendapatkan bayaran balik atau penukaran barang jika terdapat sebarang masalah dengannya? Tidak kira sama ada klausa tersebut sah atau tidak, sebaik sahaja produk itu didapati rosak, pengguna perlu membuat aduan kepada pusat perkhidmatan pelanggan masingmasing untuk memeriksa barangan yang rosak dan mengemukakan rekod pembelian seperti invois atau resit pembelian. Jika hak anda dinafikan, pengguna perlu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau persatuan pengguna untuk mengesahkan tuntutan anda. Anda boleh membuat tuntutan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia. Anda tidak perlu gusar dengan klausa tersebut kerana anda masih boleh memfailkan tuntutan dengan tribunal jika tidak berpuas hati dengan perkhidmatan atau barang-barang yang diterima.

Syarikat-syarikat yang mengamalkan dasar ‘No Refund’ atau tiada bayaran balik adalah melanggar secara langsung (in direct violation of) Seksyen 46 Akta Perlindungan Pengguna 1999 tanpa mengira sama ada mereka memaparkan klausa ‘Barang yang dijual tidak boleh dipulangkan’ atau ‘Tiada bayaran balik’ di sekitar premis atau pada resit.  

Adakah had tempoh yang ditetapkan untuk membuat bayaran balik?

Seksyen 68 Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Liabiliti bagi kecacatan keluaran) menyatakan:

“Jika kerosakan itu disebabkan keseluruhannya atau sebahagiannya oleh kecacatan pada sesuatu keluaran, orang yang menanggung kerosakan itu boleh dalam tempoh yang munasabah selepas kerosakan itu berlaku meminta pembekal supaya…”.

Merujuk kepada Akta, ‘dalam tempoh yang munasabah’ bermaksud tiada had tempoh diberikan, namun bayaran balik hendaklah dibuat dalam tempoh terdekat dan sebaik sahaja kecacatan itu ditemui.

Walau bagaimanapun, kebanyakan kes kerosakan tersebut ditemui selepas had tempoh yang ditetapkan. Selain itu, terdapat juga pembekal yang tidak menyatakan had tempoh bayaran balik untuk sesuatu barang. Dalam situasi sebegini, di bawah Seksyen 99 Akta Perlindungan Pengguna 1999, bidang kuasa Tribunal hendaklah terhad kepada suatu tuntutan yang berasaskan pada suatu kuasa tindakan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu. Oleh itu, walaupun selepas sebulan membeli barangan, anda boleh membawa perkara itu kepada tribunal selagi masih dalam tempoh 3 tahun dari tarikh pembelian.  

Bagaimana pula dengan pembelian secara dalam talian? Adakah pengguna yang membeli secara talian dan menerima pesanan barang mempunyai hak yang sama seperti pengguna yang membeli secara langsung?

Menurut Seksyen 2 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999,

“Akta ini hendaklah terpakai berkenaan dengan semua barang dan perkhidmatan yang ditawarkan atau dibekalkan kepada seorang pengguna atau lebih secara perdagangan termasuk apa-apa urus niaga perdagangan yang dijalankan melalui cara elektronik”.

Sebagai pengguna, apabila membuat pesanan barangan secara dalam talian, sila baca keterangan produk terlebih dahulu sebelum membuat pembelian. Anda juga boleh menghubungi penjual untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai barangan sebelum anda melakukan pembelian. Jika keterangan dipamerkan adalah tepat, rupa bentuk atau dimensi barangan telah diberi, bayaran balik atau gantian akan menjadi mustahil untuk sebab-sebab di atas melainkan jika ia adalah satu kecacatan pembuatan atau penyerahan barang salah.

Selain itu, pengguna perlu menyimpan semua rekod pembelian anda (resit) dengan selamat sebagai bukti pembelian anda dari penjual, dan juga untuk menunjukkan nilai barang dan tarikh pembelian.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 69/Januari 2016

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button