Pelan PenyimpananPenggunaPengurusan KewanganPerancangan Kewangan

Eratkan Hubungan Kekeluargaan Dengan Penambahan Simpanan di KWSP

Keluarga memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Amat sukar untuk menjalani sesuatu kehidupan tanpa belaian kasih sayang keluarga. Anda mungkin sanggup berkorban nyawa demi keselamatan keluarga walaupun kadangkala anda cenderung untuk mengabaikan mereka tanpa disedari.

Tidak dapat dinafikan, untuk membahagikan masa antara keluarga, rakan-rakan, kerjaya, hobi dan beberapa perkara penting dalam hidup bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Dalam dunia yang penuh persaingan dan materialistik ini, anda cenderung untuk bersikap kurang sensitif dan tidak peka dengan keperluan mereka yang berada di sekeliling, terutamanya ahli keluarga sendiri.

Menzahirkan Kasih Sayang Adalah Proses Yang Mudah

Alangkah baiknya jika anda dapat meluangkan sedikit masa untuk meluahkan rasa kasih sayang anda kepada keluarga. Hanya dengan satu panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan khabar, sudah cukup untuk menzahirkan kasih sayang anda kepada keluarga. Ia mungkin nampak kecil, namun lebih baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa. Dengan pendekatan yang agak berbeza, anda mungkin boleh memberikan sesuatu yang bermakna kepada orang yang anda sayangi. Dengan sedikit usaha, anda mampu merapatkan lagi hubungan dengan pasangan anda mahupun dengan ibu bapa.

Kemudahan Pelan Penambahan Simpanan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan sebuah organisasi yang unik kerana, selain daripada usaha berterusan untuk menyediakan simpanan asas untuk hari tua, KWSP juga sentiasa mencetuskan peluang bagi meningkatkan simpanan persaraan serta menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan ahlinya.

KWSP telah menyediakan pelan Penambahan Simpanan atau ‘Topping Up’ khas untuk menggalakkan ahli keluarga supaya saling membantu dalam merancang masa depan mereka. Pelan ini merupakan penyelesaian terbaik dalam menghadapi situasi semasa yang kecukupan kewangan adalah antara faktor penting untuk menjalani kehidupan yang selesa.

Pelan Penambahan Simpanan ini membenarkan anak ahli membuat penambahan ke dalam akaun simpanan ibu bapa dan pasangan suami isteri boleh menambah simpanan sesama sendiri. Anda tidak semestinya menjadi ahli KWSP untuk menambah simpanan ibu bapa atau pasangan anda atau kedua-duanya sekali. Akan tetapi, ibu bapa atau pasangan anda mestilah merupakan ahli KWSP untuk anda menambah simpanan ke dalam Akaun 1 mereka secara tunai ataupun cek, pada bila-bila masa sebelum mereka mencapai umur 55 tahun.

Sediakan Payung untuk Keluarga Anda Sebelum Hujan

Pelan Penambahan Simpanan ini bukan sahaja mudah, malah amat praktikal. Selain daripada memberikan wang tunai kepada ibu bapa atau pasangan anda, anda boleh mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaun KWSP mereka untuk membolehkan mereka menikmati faedahnya dalam jangka masa panjang. Inisiatif ini membolehkan anda meningkatkan simpanan persaraan ahli keluarga anda. Ini amat penting bagi memastikan ahli keluarga anda tidak menghadapi masalah kewangan semasa mereka bersara.

Anda tidak perlu membuat penambahan dalam jumlah yang besar ke dalam akaun ibu bapa atau pasangan anda. Dengan hanya serendah RM50, anda boleh memastikan insan-insan yang anda sayangi memiliki simpanan yang mencukupi semasa bersara. Namun, sekiranya anda berkemampuan, tiada sebarang had maksimum yang ditentukan untuk anda menambah simpanan KWSP mereka. Bagaimanapun, jumlah yang disumbangkan bukanlah faktor utama, sebaliknya apa yang lebih bermakna adalah, sikap mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap keluarga bagi memastikan mereka menikmati persaraan yang selesa.

Walaupun perjalanan untuk persaraan tampak masih jauh, adalah lebih baik jika ia dirancang lebih awal. Sebagai seorang anak, anda bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa yang bakal bergantung sepenuhnya kepada simpanan persaraan bagi menampung kos kehidupan harian semasa mereka bersara. Begitu juga bagi suami dan isteri; mereka perlu mengambil berat di antara satu sama lain, terutamanya setelah mereka bersara kelak.

Keluarga Anda Adalah Anugerah yang Paling Bernilai

Ibu bapa tidak boleh dicari ganti. Oleh itu, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan kebajikan mereka terjaga sepertimana mereka berkorban untuk anda dahulu. Begitu juga kasih saying antara suami isteri sangat tinggi nilainya. Demi memastikan sistem kekeluargaan di Malaysia terus kukuh, KWSP telah menyediakan alternatif terbaik menerusi Pelan Penambahan Simpanan. Kini, terpulang kepada anda untuk memulakan langkah.

Sumber : KWSP/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 31/November 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button