Pengurusan Hutang

Ejen Pengutip Hutang Yang Tidak Beretika

Kenderaan merupakan keperluan untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Tanpa mengambil kira harga sesebuah kenderaan, kebanyakan pembelian kenderaan adalah melalui pembiayaan daripada institusi kewangan atau syarikat kredit.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa ini, ramai yang menghadapi kesukaran dalam aspek kewangan sehingga menyebabkan ramai yang gagal untuk menjelaskan bayaran ansuran bulanan kenderaan mereka tepat pada masanya. Untuk mendapatkan tungga kan tersebut, kebanyakan institusi kewangan / syarikat kredit menggunakan khidmat ejen pengutip hutang. Namun terdapat ejen pengutip hutang yang bertindak secara tidak beretika untuk mendapatkan semula bayaran tunggakan tersebut.

Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) kerap menerima aduan berkenaan ejen pengutip hutang yang sering menimbulkan gangguan kepada peminjam.

Antara aduan yang kerap diterima oleh NCCC ialah terdapat ejen pengutip hutang yang mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah atau menyita barangan peminjam, menarik kenderaan tanpa sebarang notis, tidak memulangkan kenderaan yang disita itu kepada institusi kewangan dan mendedahkan masalah hutang peminjam kepada pihak ketiga.

Bolehkah Institusi Kewangan / Syarikat Kredit Mengambil Kenderaan atau Barangan yang Dibeli Secara Kredit?

Pembeli kenderaan secara ‘sewa beli’ dikenali sebagai penyewa, manakala syarikat kewangan pula ialah pemunya. Perjanjian sewa beli ini tertakluk di bawah Akta Sewa Beli 1964 atau juga dikenali sebagai Akta 212.

Mengikut undang-undang, syarikat kewangan / syarikat kredit berhak mengambil semula kenderaan tersebut sekiranya penyewa gagal membayar jumlah ansuran sebanyak dua kali berturut-turut; termasuk gagal membayar ansuran terakhir.

Dalam kes penyewa telah meninggal dunia, jika waris gagal membayar ansuran selama empat bulan berturut-turut, institusi kewangan / syarikat kredit akan mengambil semula kenderaan.

Proses pengambilan semula kenderaan bermula dengan penghantaran notis yang dikenali sebagai Notis Jadual Keempat. Notis ini memaklumkan hasrat institusi kewangan / syarikat kredit untuk menarik balik kenderaan tersebut dalam tempoh 21 hari. Dua minggu (14 hari) selepas tarikh Notis Jadual Keempat, institusi kewangan / syarikat kredit akan menghantar Notis Kedua bagi mengingatkan tentang hasrat mereka untu menarik balik kereta tersebut selepas tarikh luput Notis Jadual Keempat.

Apakah Peranan Ejen Pengutip Hutang?

Apabila institusi kewangan atau syarikat kredit gagal mendapatkan bayaran daripada peminjam, mereka akan menggunakan khidmat ejen pengutip hutang swasta.

Sesetengah ejen pengutip hutang ini menggunakan kaedah menghubungi peminjam untuk mengingatkan mereka supaya membuat bayaran segera. Selain itu, mereka juga menghantar kenyataan hutang, notis pemberitahuan pembayaran balik, surat permintaan dan sebagainya.

Masalah timbul apabila terdapat ejen pengutip hutang yang bertindak melampaui batas sewaktu cuba mendapatkan bayaran balik pinjaman daripada peminjam.

Apakah Hak Anda?

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan garis panduan yang berkaitan kepada institusi kewangan di bawah pengawalseliaannya. Berdasarkan garis panduan tersebut, proses kutipan hutang perlu dilakukan dengan tindakan yang sewajarnya terhadap peminjam. Institusi kewangan yang menggunakan khidmat ejen pengutip hutang perlu memastikan ejen pengutip hutang:

  • amalkan standard profesionalisme yang tinggi sewaktu mengutip hutang.
  • mengamalkan tindakan yang beretika dalam mengutip hutang.
  • tidak menggunakan kekerasan.
  • memberi notis pemberitahuan terlebih dahulu kepada peminjam.
  • menunjukkan kad kuasa.
  • memastikan maklumat peminjam adalah tepat dan jelas.
  • mematuhi undang-undang berkaitan perlindungan maklumat dan data peribadi.

Garis panduan ini bertujuan untuk mengawal aktiviti ejen pengutip hutang yang dilantik oleh institusi kewangan yang dilesenkan oleh BNM.

Berikut adalah senarai tindakan yang tidak boleh dilakukan oleh ejen pengutip hutang ketika berurusan dengan peminjam, iaitu:

  • menghubungi peminjam lebih daripada tiga kali seminggu, atau 12 kali sebulan sekiranya peminjam telah menjawab panggilan tersebut.
  • menyekat akses ke kediaman mereka atau menceroboh harta peribadi.
  • mengganggu peminjam dengan menggunakan bahasa yang kasar atau cuba untuk memalukan peminjam.
  • menghubungi jiran tetangga, rakan sekerja, rakan atau ahli keluarga peminjam untuk meminta bayaran.
  • memberi maklumat yang mengelirukan untuk menakutkan penghutang seperti mengancam untuk memufliskan penghutang, atau memfailkan tindakan jenayah terhadap penghutang.

Apakah yang Harus Dilakukan Jika Ejen Pengutip Hutang Mengganggu Anda?

Anda perlu menghubungi polis dan memfailkan laporan polis tentang kejadian itu. Anda juga perlu melaporkan gangguan ejen pengutip hutang kepada institusi kewangan yang berkaitan. Jika anda tidak berpuas hati dengan tindak balas pihak institusi kewangan, anda juga boleh memfailkan aduan kepada BNM.

Nasihat kepada Peminjam

Sekiranya anda mengalami masalah untuk membayar ansuran bulanan kenderaan, anda boleh berbincang dengan pegawai institusi kewangan yang berkaitan untuk menyusun semula ansuran bulanan anda.

Anda juga boleh mendapatkan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit untuk membantu anda menyusun semula hutang anda melalui Program Pengurusan Kredit / (DMP) anda dengan institusi kewangan yang berkaitan. Maklumat lanjut mengenai DMP boleh dilayari di laman sesawang http://www.akpk.org.my/

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 97/Mei 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button