Pelan PenyimpananPelan PerbelanjaanPengguna

DuitNow Apa Yang Anda Perlu Tahu

Semenjak 8 Oktober 2018, ramai pengguna menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bank mereka untuk membuat pendaftaran perkhidmatan DuitNow. Ini menimbulkan kekeliruan sama ada SMS yang diterima mereka adalah sahih atau sebaliknya. SMS berkenaan adalah sebagai pra-pelancaran untuk memperkenalkan perkhidmatan tersebut, sekali gus memudahkan pendaftaran bagi pihak pelanggan bank.

DuitNow adalah perkhidmatan perbankan terbaharu yang diperkenalkan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet). PayNet juga sebelum ini telah menerajui beberapa perkhidmatan perbankan, antaranya MEPS untuk pengeluaran duit melalui ATM dan JomPay yang memudahkan pembayaran bil.

Apakah DuitNow?

Dui tNow merupa kan perkhidmatan perbankan baharu yang memudahkan pengguna menerima dan membuat pindahan wang kepada pihak ketiga secara selamat dan tidak terikat kepada penggunaan nombor akaun bank semata-mata.

Melalui DuitNow, pengguna boleh memautkan nombor telefon bimbit, nombor kad pengenalan awam (MyKad), nombor kad pengenalan tentera / polis atau nombor passport (untuk bukan warganegara) ke akaun bank mereka. Selepas memautkannya, pengguna boleh menerima pembayaran terus ke akaun mereka. Langkah ini sekali gus telah memudahkan beberapa proses pembayaran.

Selain itu, penggunaan DuitNow juga akan memudahkan syarikat atau agensi kerajaan untuk membayar terus ke dalam akaun anda menggunakan nombor pengenalan diri (ID) anda tanpa perlu meminta nombor akaun bank. Hal yang sama juga sekiranya pihak kerajaan ingin melakukan sesuatu pembayaran terus kepada rakyat. Simpanan rekod juga menjadi lebih mudah dengan menggunakan DuitNow.

Pada masa yang sama, DuitNow turut menyokong akaun perbankan milik syarikat. Syarikat boleh memautkan nombor pendaftaran syarikat mereka ke akaun bank dan seterusnya menerima pembayaran yang dibuat ke nombor pendaftaran syarikat mereka. Ini juga boleh meningkatkan kadar keyakinan pembeli terhadap syarikat berkenaan.

Secara keseluruhan, DuitNow dilihat sebagai langkah PayNet untuk memudahkan pengguna mengingati maklumat penerima pembayaran.

Bagaimanakah DuitNow Berfungsi?

DuitNow berfungsi seperti perbankan normal yang memerlukan pengguna memasukkan nombor telefon bimbit atau nombor (ID) pada ruang penerima, seterusnya memasukkan amaun yang ingin dipindahkan. Seperti pembayaran biasa, pengguna akan dibawa ke skrin seterusnya untuk mengesahkan maklumat penerima seperti nama penerima. Sebaik sahaja disahkan, pemindahan wang akan dilakukan seperti sedia kala.

DuitNow menawarkan pemindahan percuma untuk nilai bawah RM5,000.

Menurut PayNet, sekiranya nombor telefon bimbit atau ID tidak dipautkan ke nombor akaun, maka ia akan memaparkan mesej yang menunjukkan penerima berkenaan tidak wujud, sekali gus tidak membolehkan anda membuat pemindahan wang.

Penggunaan Nombor Telefon Bimbit / ID

Setiap nombor telefon bimbit atau ID boleh dipautkan ke satu bank sahaja. Sebagai contoh, sekiranya anda telah menerima SMS berkenaan nombor telefon yang dipautkan ke akaun Maybank, maka anda tidak boleh menggunakan nombor telefon yang sama untuk akaun bank lain. Anda perlu membatalkan pendaftaran tersebut terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya untuk perkhidmatan perbankan lain. Perkara yang sama juga untuk ID anda.

Pada masa ini, pendaftaran dan pembatalan pendaftaran diuruskan melalui bank secara dalam talian atau menggunakan aplikasi mudah alih sahaja.

“Setiap nombor telefon bimbit atau ID boleh dipautkan ke satu bank sahaja. Sebagai contoh, sekiranya anda telah menerima SMS berkenaan nombor telefon yang dipautkan ke akaun Maybank, maka anda tidak boleh menggunakan nombor telefon yang sama untuk akaun bank lain. ”

Jaminan Keselamatan

Dengan penggunaan nombor telefon bimbit, ramai yang risau mereka akan tersilap dan melakukan pemindahan wang tanpa sengaja. Anda tidak perlu risau kerana pemindahan wang melalui DuitNow ini hanya satu hala sahaja dengan menggunakan perbankan dalam talian atau aplikasi mudah alih. Pengguna hanya boleh menerima pembayaran menggunakan nombor telefon bimbit atau ID mereka. Pengguna tidak boleh melakukan pembayaran menggunakan nombor telefon bimbit, sebaliknya perlu melakukannya melalui akaun bank mereka seperti biasa.

Melangkah ke Hadapan

Pengenalan DuitNow ini dijangka akan menjadi titik tolak untuk sejumlah perkhidmatan lain dalam arena kewangan. Sebagai contoh, dengan pengenalan DuitNow ini juga kita mungkin akan dapat melihat PayNet menggunakan kerangka sama dalam pengenalan sistem kod QR universal yang dinantikan ramai. Malah, ia juga mungkin memudahkan syarikat teknologi kewangan lain dalam mengintegrasikan kemudahan pembayaran, dan menambah baik penawaran masing-masing.

Sumber : Amanz.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 105/Januari 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button