Pengguna

Duit Syiling Malaysia Siri Baharu

Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan duit syiling Malaysia siri baharu untuk edaran secara berperingkatperingkat mulai 16 Januari 2012. Orang ramai boleh mendapatkan duit syiling baharu ini melalui urus niaga biasa mereka.

Duit syiling baharu yang dikeluarkan dalam denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen adalah sah diperlakukan bersama-sama dengan duit syiling-duit syiling siri yang sedia ada. Walau bagaimanapun, duit syiling siri sedia ada tersebut akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur menerusi sistem perbankan. Bagi memastikan peralihan yang lancar kepada penggunaan duit syiling baharu ini, vendor yang mengendalikan mesin wang tunai telah diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk mengubah suai mesin mereka agar boleh menerima duit syiling baharu ini.

Ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara menjadi sumber inspirasi reka bentuk duit syiling terbaharu ini. Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, corak-corak yang dipilih memaparkan keindahan alam semula jadi, budaya dan khazanah negara.

Duit syiling baharu ini dibuat menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dan mengandungi ciri-ciri moden dan mesra pengguna. Berbanding dengan duit syiling siri-siri terdahulu, duit syiling baharu ini adalah lebih kecil dan ringan. Ia juga diperkenalkan dalam dua skema warna, iaitu warna kuning dan perak, dan tempaan gerigi tepi yang berbeza-beza bagi memudahkan orang ramai dan mereka yang kelainan upaya penglihatan untuk mengecam dan membezakan dengan lebih baik jenisjenis duit syiling yang berlainan.

Di samping itu, duit syiling baharu ini turut memasukkan ciri-ciri keselamatan unik yang mesra pengguna. Ciri keselamatan imej pendam (latent image) yang terdapat pada duit syiling 50 sen baharu berupaya untuk memudahkan orang ramai memeriksa ketulenan duit syiling tersebut dengan cara mencondongkan duit syiling berkenaan pada suatu kedudukan. Pada kedudukan tersebut, orang ramai akan dapat melihat imej pendam yang terhasil daripada pantulan cahaya.

Reka Bentuk Duit Syiling

Bahagian Hadapan Duit Syiling

Bahagian hadapan duit syiling setiap denominasi memaparkan empat belas titik untuk melambangkan tiga belas negeri serta Wilayah Persekutuan, manakala lima garis mendatar pula melambangkan lima prinsip Rukun Negara (kecuali duit syiling 50 sen). Garis-garis halus pada bahagian hadapan duit syiling 50 sen adalah sebahagian daripada ciri-ciri keselamatan baharu.

Motif bagi setiap denominasi adalah seperti yang berikut:

Bahagian Belakang Duit Syiling

Bahagian belakang semua duit syiling 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen memaparkan motif yang sama iaitu bunga raya, yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia, angka yang menunjukkan tahun penempaan, nilai muka duit syiling yang berkenaan dan perkataan ‘Bank Negara Malaysia’ sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling.

Sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran orang ramai, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 500,000 set duit syiling peringatan yang dipakej secara khas. Setiap set duit syiling peringatan yang merangkumi kesemua denominasi ini dijual pada harga RM10 setiap satu. Orang ramai boleh membeli set duit syiling peringatan ini di ibu pejabat Bank Negara Malaysia, cawangan Bank Negara Malaysia di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching atau Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang dan Johor Bahru sehingga stok masih ada.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 21/Januari 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button