Pelan PelaburanPenggunaPerancangan Kewangan

Dokumentasi Standard Untuk Perjanjian Pinjaman Perumahan Konvensional

Berkuat kuasa mulai 1 Januari 2013, semua institusi perbankan dikehendaki menerima pakai dokumentasi yang standard bagi perjanjian pinjaman perumahan konvensional dan pembiayaan rumah bagi jumlah pokok sebanyak RM500,000 dan ke bawah.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman peminjam dan kebolehbandingan terma dan syarat utama perjanjian pinjaman, termasuk tanggungjawab dan obligasi peminjam serta pembiaya di bawah perjanjian tersebut. Inisiatif ini, yang merupakan usaha bersama antara Bank Negara Malaysia, PEMUDAH dan industri kewangan, bertujuan untuk menggalakkan keberkesanan dalam proses perniagaan untuk mempertingkat kualiti penyampaian perkhidmatan dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Institusi perbankan dikehendaki menggariskan terma dan syarat utama secara konsisten dengan menggunakan templat yang disediakan oleh Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM) setelah berunding dengan Bank Negara Malaysia. Templat itu juga menerangkan terma dan syarat utama dengan menggunakan bahasa yang mudah.

Ini akan membantu pengguna untuk membuat perbandingan antara bank sebelum membuat pinjaman perumahan. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan risiko kepada peminjam akibat tidak memahami sepenuhnya terma kontrak perjanjian disebabkan oleh perbezaan antara bank dalam huraian dan peletakan terma dan syarat utama, serta penggunaan bahasa yang tidak jelas atau kompleks.

Institusi perbankan dikehendaki menggunakan templat ini dalam semua perjanjian pinjaman perumahan konvensional dan pembiayaan rumah yang ditawarkan kepada individu bagi pembiayaan harta kediaman yang mempunyai jumlah pokok sebanyak RM500,000 dan ke bawah. Jumlah pokok ini hanya merujuk kepada amaun pinjaman untuk harga pembelian harta kediaman sahaja. Walau bagaimanapun, pinjaman atau pembiayaan itu boleh digunakan untuk menampung kos pengubahsuaian, Insurans Gadai Janji Berkurangan Tempoh (MRTA) atau premium insurans lain yang serupa yang dibenarkan oleh institusi perbankan dan bayaran guaman yang ditanggung daripada pembelian harta kediaman tersebut.

Orang ramai boleh mengakses templat ini dan soalan lazim di laman sesawang ABM di www.abm.org.my.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 33/Januari 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button