Pelan PerbelanjaanPengguna

Deposit dan Caj Tempahan (Booking Fees)

Deposit merupakan terma yang sering digunakan bagi apa jua transaksi komersial sebagai bayaran muka atau bayaran awal (downpayment). Bayaran deposit adalah mengikut persetujuan kedua–dua pihak, namun lazimnya bayaran yang dibuat adalah 10 peratus daripada harga jualan yang sebenar.

Penjualan aset seperti kereta telah menetapkan satu konsep pembayaran yang baru dikenali sebagai ‘booking fee’ untuk mengelakkan pembeli daripada mengalami kerugian secara keseluruhan. Ini kerana, berdasarkan amalan pembayaran deposit yang dilakukan, pembeli tidak akan menerima semula deposit yang dibayar sekiranya permohonan pinjaman ditolak oleh pihak bank.

Berdasarkan Akta Sewa Beli 1967 (pindaan 2010), pembeli boleh membuat bayaran sebanyak 1 peratus yang dikenali sebagai caj tempahan atau ‘booking fee’ kepada penjual. Caj tempahan bertindak sebagai tempahan awal untuk membeli aset, sementara menunggu keputusan permohonan pinjaman daripada bank. Oleh sebab nilai aset yang dijual di pasaran adalah tinggi, Akta Sewa Beli dipinda bagi memastikan pembeli tidak menanggung terlalu banyak kerugian jika permohonan pinjaman ditolak.

Bagi pembeli yang membuat pembayaran caj tempahan, anda berhak untuk mendapatkan kembali 90 peratus daripada 1 peratus bayaran yang dibuat kepada penjual. Manakala baki 10 peratus tersebut akan menjadi milik penjual apabila transaksi jual beli tersebut tidak berjaya.

Penerangan:

  1. Pembeli membuat bayaran sebanyak RM500 (1%) kepada penjual sebagai ‘booking fee’.
  2. Pembeli akan membuat permohonan pinjaman kepada bank bagi membiayai pembelian.
  3. Pihak bank akan memberikan notis bahawa permohonan pinjaman telah gagal kepada pembeli. Pembeli akan memaklumkan kepada penjual bahawa pinjaman gagal.
  4. RM450 akan dipulangkan kepada pembeli, iaitu 90% daripada RM500 (1% ‘booking fee’)
  5. RM50 akan diserahkan kepada penjual, iaitu 10% daripada RM500 (1% ‘booking fee’)

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 42/Oktober 2013

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button