Pengurusan Hutang

Cemas Rumah Dilelong

Kamala (bukan nama sebenar), 47 tahun merupakan seorang ibu tunggal. Beliau datang ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sambil menangis kerana hampir kehilangan satu-satunya rumah miliknya. Beliau kelihatan bingung kerana memikirkan masa hadapan ketiga-tiga anaknya yang masih mengharapkan sokongan kewangan daripadanya.

Semenjak lima tahun lalu, Kamala menjadi balu apabila suaminya meninggal dunia secara tiba-tiba akibat serangan jantung. Semenjak itu, kualiti kehidupan Kamala bersama anak-anaknya semakin merosot.

Kamala bekerja dengan tekun tanpa mengira masa di kilang pembuatan dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Jumlah pendapatan itu hanya cukup untuk memenuhi keperluan anak-anaknya sahaja.

Masih jelas dalam ingatan Kamala bahawa mereka sekeluarga belum pernah lagi merasai pakaian baharu sejak kematian suaminya, disebabkan mereka tidak mampu.

Walaupun pendapatan Kamala sedikit, namun beliau bijak membahagikan wang untuk perbelanjaan harian. Tidak pernah beliau menjangka bahawa beliau sekeluarga akan kehilangan tempat berteduh. Keadaan keluarga Kamala bertambah parah apabila beberapa bulan yang lalu, kilang tempat Kamala bekerja terpaksa ditutup. Malang bagi setiap pekerja kerana syarikat tidak membayar apa-apa pampasan kepada para pekerja mereka.

Kini Kamala hilang segalanya termasuk punca pendapatannya. Saudara-maranya juga tidak dapat memberikan bantuan kerana masing-masing mempunyai masalah mereka sendiri.

Selama berbulan-bulan Kamala berusaha gigih untuk mendapatkan pekerjaan lain bagi menyara hidup.

Namun, usaha beliau masih gagal mendapatkan pekerjaan. Hal ini menyebabkan beliau turut gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman perumahan bagi bulan berkenaan.

Kamala akhirnya tiada pilihan lalu bekerja sebagai tukang cuci yang hanya mendapat upah suku daripada gajinya sebelum ini.

Anak lelaki yang baru sahaja tamat persekolahan turut bekerja bagi meringankan beban ibunya dan mendapat pendapatan tambahan sebanyak RM1,000 sebulan. Kini pendapatan bulanan sekeluarga sebanyak RM1,500 melegakan sedikit beban Kamala, walaupun pada hakikatnya ia masih tidak mencukupi.

Sebaik sahaja kehidupannya kembali normal, Kamala dikejutkan dengan berita mengenai lelongan kediamannya. Dia terkejut bahawa tarikh lelongan telah ditetapkan.

Keadaan bertambah buruk apabila Kamala tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan bagi memperoleh wang untuk menghentikan lelongan itu. Setelah menyuarakan masalah tersebut kepada seorang rakan, Kamala telah disyorkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK.

Kamala kembali tenang apabila kaunselor AKPK memberitahu bahawa mereka akan berunding dengan institusi perbankan terbabit dan membuat bayaran pendahuluan minimum daripada akaun KWSP ke atas rumahnya.

Dalam masa sehari agensi berjaya berunding dengan bank dan menghentikan lelongan tersebut. Jumlah pinjaman perumahan Kamala juga disusun semula mengikut pelan pembayaran balik yang lebih berpatutan.

Walaupun Kamala menyedari bahawa dia perlu bekerja keras untuk memenuhi komitmen tersebut, namun Kamala yakin bahawa dengan bimbingan AKPK, kini beliau kembali berada dilandasan kewangan yang betul.

# Kisah kejayaan ini hanyalah bertujuan untuk memaklumkan pembaca tentang perkhidmatan AKPK dan sebagai nasihat untuk pembaca dari sudut pengurusan kewangan.

Sumber: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button