Pengguna

Cek Lewat Tarikh Untuk Transaksi Bayaran

Cek digunakan sebagai bil pertukaran dalam sesuatu transaksi pembayaran, yang lazimnya digunakan dalam kalangan ahli perniagaan mahupun individu. Terdapat juga yang menggunakan cek yang ditulis dengan tarikh hadapan bagi membolehkan penyuruh bayar menguruskan aliran tunai dalam akaun semasanya. Cek ini juga dikenali sebagai cek lewat tarikh.

Cek lewat tarikh ini diperakui sebagai bil pertukaran yang sah. Walau bagaimanapun penggunaannya dalam sebarang transaksi pembayaran adalah tidak digalakkan. Malahan, jika cek seumpama ini digunakan, ada kemungkinan cek tersebut ditolak dan dipulangkan oleh pihak institusi perbankan. Tidak dinafikan, terdapat juga sesetengah cek lewat tarikh yang didepositkan sebelum tarikh, berjaya diproses dan diluluskan berdasarkan budi bicara bank terbabit. Kebiasaannya, cek lewat tarikh diguna pakai untuk membuat pembayaran ansuran pinjaman kepada pihak bank. Sejumlah dana akan dikreditkan daripada akaun penyuruh bayar apabila tiba tarikh yang tertera pada cek tersebut.

Penyuruh bayar perlu peka terhadap implikasi dalam menggunakan cek lewat tarikh dan memastikan dana dalam akaun mencukupi untuk dikreditkan ke akaun penerima pada tarikh yang telah ditetapkan pada cek tersebut. Sekiranya dana tidak mencukupi, maka penyuruh bayar akan dikenakan denda dan caj perkhidmatan tambahan minimum sebanyak RM50.00. Selain itu, penyuruh bayar juga perlu menyedari akan kemungkinan akaunnya dibekukan jika transaksi yang sama berlaku berulang kali. Dalam hal ini, pihak institusi perbankan tidak bertanggungjawab ke atas transaksi dan implikasi penggunaan cek lewat tarikh.

Langkah-langkah Yang Sewajarnya

  1. Komunikasi dan persefahaman di antara penyuruh bayar dan penerima adalah penting bagi memastikan cek lewat tarikh tidak didepositkan sebelum tarikh yang tertera pada cek. Oleh itu, pastikan pihak penerima bersetuju untuk mendepositkan cek mengikut tarikh pada cek.
  2. Jika cek lewat tarikh didepositkan ke dalam akaun penerima dan cek tersebut ditolak oleh pihak institusi perbankan, maka penerima tersebut akan dikenakan caj.
  3. Sekiranya penyuruh bayar ingin membuat bayaran pada tarikh hadapan, adalah dicadangkan supaya penyuruh bayar menggunakan saluran lain yang lebih efisien seperti perkhidmatan perbankan atas talian, arahan tersedia atau perbankan melalui panggilan telefon.

Walaupun penggunaan cek masih diguna pakai, pengguna adalah digalakkan untuk berpindah kepada pembayaran secara elektronik (e-pembayaran) yang lebih cekap dan mudah.

Sekiranya anda mempunyai kemusykilan atau pertanyaan lanjut mengenai penggunaan cek lewat tarikh, anda boleh mendapatkan maklumat dengan menghubungi institusi perbankan anda melalui pautan di infoperbankan.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 23/Mac 2012

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button