Pelan Perbelanjaan

Cara Menjimatkan Belanja Harian

Harga barang memang mahal, sama ada barang dapur, pakaian, makanan, minuman, pengangkutan dan sebagainya. Walau apa pun sebabnya, yang perlu membayarnya adalah kita. Oleh itu, kita perlu mencari jalan untuk menjimatkan wang supaya perbelanjaan ini tidak membebankan kita.

Jimat duit makan / minum

Bayangkanlah harga segelas teh tarik mencecah RM2. Biasanya satu hari sekurang-kurangnya dua kali sehari kita minum teh tarik. Jadi harga minuman sahaja sudah mencecah RM4.

Untuk menjimatkan wang, cuba bawa termos sendiri. Masuk air panas atau sejuk dalam termos. Beli termos yang berkualiti yang dapat menahan suhu panas atau sejuk dengan lebih lama.

Satu lagi cara ialah membawa bekal dari rumah. Ramai yang tidak membawa bekal sebab tidak sempat masak. Sebenarnya banyak cara untuk menyediakan makanan dengan cepat untuk dibawa ke tempat kerja.

Kalau terpaksa juga beli makanan luar, beli makanan yang murah dari gerai yang bersih untuk mengelakkan penyakit. Sekiranya anda jatuh sakit, anda perlu  berbelanja untuk mendapatkan khidmat perubatan dan hal yang demikian akan menjejaskan matlamat anda untuk berjimat cermat.

Beli barang dalam talian

Kalau membeli barang di kedai, biasanya harga lebih mahal disebabkan kos operasi yang besar untuk menyewa kedai, iklan dan pekerja. Apatah lagi jika kedudukan kedai di pusat membeli belah sudah tentu lebih mahal sewanya.

Barang yang sama jika dibeli dalam talian seringkali harganya lebih rendah, kadangkala sehingga 30% lebih rendah daripada harga di kedai. Tambahan pula, anda mempunyai banyak pilihan apabila membeli secara dalam talian. Anda juga dapat menjimatkan wang untuk petrol dan parkir kerana tidak perlu pergi ke kedai.

Satu lagi panduan apabila membeli secara dalam talian ialah jangan terburu-buru membuat bayaran. Perniagaan atas talian menawarkan banyak barang yang sama dengan harga yang berbeza-beza, berdasarkan tawaran daripada penjual yang berlainan. Anda boleh menggunakan kaedah tapisan (filter) untuk mencari harga yang lebih rendah. Namun anda juga perlu meneliti barangan yang berharga rendah terlebih dahulu, mungkin kualitinya lebih kurang. Selain itu, jangan terus mendaftar keluar (check out) barangbarang dalam bakul / troli (cart), biarkan beberapa hari dahulu. Sering juga, selepas dua tiga hari, anda mungkin tidak lagi berminat untuk membeli barang tersebut.

Beli barangan terpakai (preloved)

Kalau anda berasa tidak selesa membeli barang dalam talian atau tidak menjumpai barang yang anda sukai, anda boleh pergi ke kedai yang menjual barangan terpakai (preloved). Anda tidak perlu berasa malu atau merasakan barang terpakai ini berkualiti rendah.

Sebenarnya banyak barang terpakai yang masih baik. Contohnya, barang terpakai dari Jepun yang masih kelihatan baharu dan murah.

Di Jepun, terdapat banyak kedai yang menjual barang terpakai, kerana telah menjadi budaya rakyat Jepun membeli barang terpakai. Di Malaysia salah satu kedai yang banyak menjual barang-barang terpakai dari Jepun ialah Sasuke.

Begitu juga dengan barang-barang jualan pukal (bundle), jauh lebih murah kalau dibandingkan dengan membeli barang baharu. Seluar jean berjenama popular yang baharu, harganya mencecah RM300, tetapi jika membeli secara pukal, anda boleh mendapat jean berjenama sama yang dijual kurang daripada RM100. Banyak kedai sebegini di seluruh Malaysia.

Sendiri tanam sendiri makan

Jika anda tinggal di rumah teres, anda boleh bercucuk tanam di halaman rumah. Bagi yang tinggal di rumah bertingkat pula, seperti pangsapuri atau kondomium, anda boleh menanam dalam pasu. Pilih jenis sayur-sayuran yang tidak memerlukan banyak cahaya matahari dan kekerapan untuk menyiram air. Anda boleh mendapatkan maklumat melalui laman sesawang atau media sosial yang berkongsi maklumat cara menanam sendiri, seperti di www.facebook.com/tanamsendiri. Selain dapat menjimatkan wang, menanam sendiri juga dapat memastikan sayur-sayuran bersih daripada racun dan kotoran-kotoran lain.

Selain sayur-sayuran, tanaman lain seperti serai, pandan, ulam raja dan halia sangat mudah untuk ditanam dan dijaga.

Sumber : Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 99/Julai 2018

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button