Pengguna

Cara Menggunakan Penyaman Udara Yang Jimat Elektrik

Penyaman udara pernah dianggap sebagai satu kemewahan. Kini, ia telah menjadi peralatan rumah yang biasa di Malaysia. Kebanyakan rumah di bandar dilengkapi dengan penyaman udara dalam  satu atau setiap bilik. Dalam masa yang sama, ramai yang beranggapan, apabila menggunakan penyaman udara, ia menyebabkan bil elektrik akan naik disebabkan oleh peningkatan penggunaan elektrik. Walaupun penyejukan memang memakan banyak tenaga elektrik, namun sekiranya anda mengambil langkah-langkah yang berkesan, ia dapat mengurangkan penggunaan elektrik ketika menggunakan penyaman udara.

Pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api dan Penjanaan (Imbalance Cost Pass-Through) oleh kerajaan pada Januari 2014, telah menyebabkan rakyat Malaysia yang menggunakan lebih daripada 300 kWj sebulan, terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi. Hal ini disebabkan oleh pengurangan rebat sebanyak 33%, iaitu daripada 2.25 sen bagi setiap kWj kepada 1.52 kWj. Oleh itu, kos bil elektrik ini akan menambahkan lagi kesan kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.

Oleh sebab itu, rakyat Malaysia disarankan supaya menjimatkan penggunaan tenaga elektrik kepada penggunaan di bawah 300 kWj sebulan. Isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik di bawah 300 kWj tidak akan terjejas dengan pengurangan rebat.

Bagaimanakah penyaman udara berfungsi?

Bagi kebanyakan orang, penyaman udara hanya mengeluarkan udara sejuk pada suhu yang ditetapkan. Tetapi adakah ia benar-benar berfungsi dengan cara seperti itu? Semasa proses penyejukan, penyaman udara akan mengambil udara dalaman, menyejukkannya dengan mengalirkannya melalui penyejat gegelung dan memasukkan ia kembali ke dalam bilik. Ia agak bertentangan dengan cara penyejuk udara lama berfungsi. Penyejuk udara lama digunakan dengan mengambil udara di luar, menyejukkan udara tersebut dan memasukkan ia ke dalam bilik.

Bagaimana termostat berfungsi?

Jika anda menetapkan termostat pada 18°C, adakah ini bermakna bahawa penyaman udara akan menyejukkan bilik lebih cepat daripada jika ditetapkan pada 25°C?

Tidak! Termostat ini hanya memeriksa suhu udara didalam bilik dan menghentikan pemampat (compressor) apabila suhu mencapai tahap yang dikehendaki. Ini bermakna bahawa pemampat akan bekerja lebih lama jika suhu ditetapkan pada tahap yang lebih rendah, iaitu bekerja lebih lama dan menggunakan lebih banyak tenaga elektrik jika suhu ditetapkan pada 18°C dan bukannya 25°C. Ini kerana ia akan mengambil masa yang lebih singkat untuk mencapai 25°C berbanding dengan 18°C kerana pemampat bekerja dengan kuasa yang sama.

Apa yang berlaku apabila pemampat berhenti?

Penyaman udara hanya memusingkan kipas apabila pemampat berhenti dan termostat mencapai tahap suhu yang dikehendaki. Pada peringkat ini, penggunaan tenaga elektrik adalah hanya untuk kipas yang sedang berjalan dan bukan untuk pemampat. Pemampat ini akan bermula sekali lagi apabila termostat mengesan suhu telah meningkat lagi daripada tahap yang ditetapkan. Pemampat adalah komponen elektrik yang  menggunakan sebahagian besar elektrik dalam penggunaan penyaman udara.

Apakah faktor mempengaruhi penggunaan elektrik penyaman udara? Terdapat empat faktor yang mempengaruhi beban elektrik:

  1. Suhu dalaman
  2. Suhu luar
  3. Penebat haba dari bilik
  4. Penetapan suhu penyaman udara.

Jika perbezaan antara suhu yang dikehendaki dan suhu dalaman / luaran adalah besar, maka penyaman udara memerlukan tenaga elektrik yang lebih banyak untuk menyejukkan udara dalaman pada suhu yang dikehendaki sebagai pemampat. Jika suhu ditetapkan pada 18°C dan suhu luar ialah 38°C, maka tenaga elektrik yang diperlukan adalah lebih banyak daripada suhu termostat 24°C dan suhu luar adalah 38°C. Menurut kajian yang dijalankan oleh ACEEE (Majlis Tenaga Kecekapan Ekonomi Amerika), peningkatan setiap darjah Celcius boleh menjimatkan 3% – 5% daripada penggunaan tenaga elektrik. Dengan menggunakan cara ini, ia boleh menurunkan penggunaan tenaga elektrik setiap bulan dalam bil elektrik.

Apakah suhu yang ideal yang harus ditetapkan pada termostat?

Peningkatan suhu sepatutnya tidak mengurangkan tahap keselesaan. Berdasarkan kajian ASHRAE (Persatuan Jurutera Pemanasan, Penyejukan dan Penyamanan Udara Amerika), suhu yang ideal untuk keselesaan termal adalah antara 23.5°C hingga 25.5°C pada musim panas. Oleh itu, menetapkan suhu kepada 24°C menjimatkan bil elektrik dan juga memberikan keselesaan yang baik. Menggunakan kipas siling bersama-sama dengan penyaman udara juga boleh membantu mengekalkan suhu thermostat pada 24°C, dan pada masa yang sama memberikan keselesaan.

Bagaimana penyaman udara lama tanpa termostat berfungsi?

Penyaman udara lama tanpa termostat mempunyai pilihan kesejukan seperti ‘tinggi, sederhana dan rendah’. Seperti yang dipelajari sebelum ini, bahawa pemampat penyaman udara bekerja dalam mod binari (sama ada dalam keadaan ‘hidup’ atau ‘tidur’) dan tidak mengawal suhu udara. Pilihan yang tinggi, sederhana dan rendah hanya menukar kelajuan kipas penyaman udara. Tinggi bermakna bahawa penyaman udara akan menghasilkan lebih banyak udara, dan rendah bermakna bahawa kelajuan kipas akan menjadi perlahan.

Berikut adalah sepuluh langkah penjimatan tenaga elektrik yang mudah untuk diamalkan di rumah

    1. Lakukan pengauditan tenaga elektrik di rumah dengan mengenal pasti peralatan elektrik yang menggunakan banyak tenaga. Bil elektrik hendaklah konsisten dengan penggunaan peralatan elektrik.
    2. Matikan suis dan tanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan.
    3. Pastikan suhu penyaman udara berada pada paras 24-26°C apabila ingin menggunakannya
    4. Gunakan penyaman udara yang bersesuaian dengan saiz bilik.
    5. Matikan suis lampu, kipas dan penyaman udara apabila tidak digunakan.
    6. Bertukar kepada lampu jenis flouresen untuk pencahayaan dalaman.
    7. Pastikan pintu peti sejuk tertutup dengan rapat Elakkan daripada kerap membuka pintu peti sejuk bagi mengelakkan pembaziran tenaga sebanyak 30 peratus.
    8. Jika anda kerap menggunakan mesin basuh, dicadangkan supaya membeli mesin basuh jenis muatan hadapan.
    9. Elakkan penggunaan ‘screen saver’ pada komputer. Matikan suis monitor apabila tidak digunakan.
    10. Seterika pakaian dengan kuantiti yang banyak dalam satu sesi.

#jimatwang #jimatbelanja #jimatkos #jimatelektrik

Sumber: Persatuan Pengguna Tenaga dan Air Malaysia (WECAM)

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button