Pelan PelaburanPelan PendapatanPengguna

Cara Mengenal Skim Penipuan!

Minimumkan risiko kehilangan wang simpanan anda dengan mengetahui pelbagai jenis pelaburan tidak sah di sisi undang-undang yang terdapat dalam masyarakat kini. Berikut ialah beberapa ciri dan janji yang umumnya ada dalam sesuatu skim penipuan:

  • Untuk setiap pelaburan yang dibuat, anda menerima pulangan yang tinggi, umpamanya, 20 hingga 30% sebulan bagi setiap bulan.
  • Anda tidak pernah ditunjukkan produk yang kononnya berkualiti yang perlu anda jual, sebaliknya dibayar mengikut bilangan orang yang anda latih atau mendaftar diri.
  • Anda diberitahu bahawa tawaran itu hanya untuk tempoh terhad dan anda mesti membelinya sekarang.
  • Anda diminta memasukkan wang ke dalam bank asing dalam mata wang asing untuk mendapatkan suatu hadiah tetapi anda tidak pernah terlibat sebarang pertandingan atau cabutan bertuah.
  • Anda menerima panggilan telefon menawarkan peluang-peluang pelaburan dan anda sendiri tidak tahu bagaimana syarikat itu mendapat nombor telefon anda.
  • Anda menerima e-mel yang meminta nombor akaun bank anda kerana mereka mahu menghantar wang kepada anda, biasanya berjumlah berjuta-juta dolar Amerika, dari beberapa negara asing. Ini sebenarnya bukanlah satu bentuk skim pelaburan, tetapi satu lagi skim penipuan yang popular.
  • Anda ditawarkan satu produk pelaburan yang menjamin keuntungan besar tanpa sebarang risiko kewangan.
  • Anda diminta melabur dalam satu skim pelaburan. Alamat dan maklumat perhubungan syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar kepada anda itu terletak di sebuah negara asing yang anda tidak dapat pastikan di mana kedudukan sebenar syarikat itu.
  • Anda ditawarkan “hadiah percuma” untuk mendapatkan sesuatu kemudiannya, contohnya, sejumlah wang yang besar.
  • Anda ditawarkan peluang pekerjaan dengan gaji besar tanpa memerlukan pengalaman dan kelayakan akademi yang berkenaan.
  • Anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai ejen bagi syarikat dagangan asing (umpamanya yang beribu pejabat di Makau, Bahamas, Kepulauan British Virgin dan sebagainya) untuk berdagang dalam indeks asing (contohnya, indeks Hang Seng), komoditi (contohnya kopi) atau mata wang asing (contohnya AS$, Yen dan sebagainya) tetapi anda perlu mendepositkan sejumlah wang dalam mata wang asing sebagai “margin”, sebelum sesuatu urus niaga boleh dilakukan.
  • Sukar untuk menemui sebarang maklumat mengenai lesen atau kewujudan syarikat itu dalam tapak web mana-mana pihak pengawal selia atau pihak berkuasa yang berkenaan.

Jika anda mengalami mana-mana keadaan di atas, apakah yang perlu anda lakukan untuk melindungi diri anda?

Untuk mengelakkan diri daripada tertipu, sentiasa ingat petua-petua perlindungan yang berikut:

Perlindungan 1:

Hindari sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil. Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek. Misalannya, “Kami jamin anda akan memperoleh sekurang-kurangnya 20% hingga 30% sebulan, bagi setiap bulan daripada bermulanya pelaburan ini.” Anda mesti ingat bahawa setiap pelaburan melibatkan risiko dan anda tentu selalu dengar, “risiko tinggi, pulangan tinggi!” Ambil langkah berhati-hati, terutama jika pelaburan itu kononnya akan memberi pulangan tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.

Perlindungan 2:

Berhati-hati dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah “downline” atau “piramid”.

Perlindungan 3:

Jangan sekali-kali bersetuju menyertai apa-apa “peluang” dalam keadaan mendesak, umpamanya, “tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad” atau “beli sekarang, jika tidak, anda akan menyesal”. Ingatlah, jika perniagaan itu sah, ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.

Perlindungan 4:

Memang mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda tidak masuk sebarang pertandingan atau beli loteri. Begitu juga, mustahil bagi sesuatu pertandingan yang sah di sisi undang-undang untuk meminta bayaran wang pendahuluan sebelum menyerahkan hadiah wang. Jika anda menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah dan anda perlu mengirim sejumlah wang ke sebuah negara asing bagi membolehkan anda menuntut hadiah tersebut, letakkan telefon. Jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan begini.

Perlindungan 5:

Anda perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang anda tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil peniaga syarikat broker saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa di luar negara, minta nama pihak kawal selia asing berkaitan yang melesenkan syarikat itu dan layari laman sesawangnya yang biasanya mempunyai senarai mereka yang berdaftar dan dilesenkan. Anda mesti sentiasa memeriksa bukti kelayakan individu yang dilesenkan dengan pihak berkuasa berkenaan sebelum menyerahkan wang anda.

Perlindungan 6:

Pastikan anda memperoleh rekod prestasi syarikat tersebut. Juga, mintalah maklumat bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus atau laporan tahunan syarikat itu sebelum membuat pelaburan.

Perlindungan 7:

Jangan berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum anda memastikan kesahihan syarikat itu.

Perlindungan 8:

Jangan takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda tanyakan, lebih baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak benar-benar fahami. Walau bagaimanapun, jangan terima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan. Siasat sendiri. Jika anda memerlukan bantuan untuk membuat penilaian terhadap pelaburan tersebut, pergilah kepada mereka yang boleh memberikan nasihat secara bebas dan profesional, contohnya wakil peniaga berlesen, penasihat pelaburan, peguam atau akauntan.

Perlindungan 9:

Sentiasa periksa tapak web pihak pengawal selia, contohnya, laman sesawang Suruhanjaya Sekuriti (www.sc.com.my),  untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat perantara berlesen.

Perlindungan 10:

Jika ragu-ragu, jangan melabur. Mengapa anda mesti meletakkan wang anda dalam risiko jika anda tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual / ejen, atau pelaburan tersebut? Ingatlah, jika sesuatu janji itu nampak macam mustahil boleh dilaksanakan, kemungkinan besar memang mustahil boleh berlaku!

Sumber : Securities Industry Development Corporation (SIDC)/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 15/Julai 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button