Pelan PerlindunganPenggunaPerancangan Kewangan

Cara Menentukan Jumlah Insurans yang Perlu Dibeli

Bagaimana hendak menentukan amaun perlindungan yang anda perlukan? Jika anda bertanya kepada ejen insurans yang kurang berpengalaman, besar kemungkinan dia akan bertanya balik kepada anda: “Berapa bajet anda?” Jika anda bertanya kepada akauntan pula, besar kemungkinan dia akan bertanya: “Sudahkah anda menyediakan bajet untuknya?” Adakah terdapat cara yang objektif untuk menaksirnya? Mari teliti persoalan ini dari sudut pandangan yang berasaskan keperluan.

Arman, Aru dan Alice baru sahaja menamatkan kuliah mereka dan sedang menunggu bas di perhentian bas. Kebetulan, mereka terserempak dengan lelaki yang mereka jumpa di kantin minggu lepas. Mereka tidak dapat mengelak lelaki itu kali ini kerana mereka perlu menunggu bas untuk pulang ke rumah. Lelaki itu duduk berdekatan mereka dan memperkenalkan dirinya…

Lelaki            :  Hai, nampaknya kita berjumpa lagi! Oh ya, nama saya Ah Chong.

Alice              :  Hai, Ah Chong! Saya Alice dan ini kawan saya Arman dan Aru.

Ah Chong     : Kamu semua pelajar jurusan apa?

Alice              :  Oh, kami dalam jurusan Kewangan dan Perakaunan.

Ah Chong     : Patutlah kamu semua tahu sangat tentang Insurans. Saya dalam jurusan kejuruteraan dan menjual insurans secara sambilan. Saya baru saja buat kerja ini dan diambil sebagai ejen oleh bapa saudara saya.

Arman           :  Patutlah kamu tak sabar-sabar hendak cerita tentang produk insurans kamu.

Ah Chong     :  Ya, betul. Saya nak cuba-cuba saja untuk mencari wang saku lebih tapi apa yang paling menarik minat saya ialah pelbagai latihan yang diberikan. Saya percaya semua latihan ini dan pendedahan yang saya peroleh dalam kehidupan sebenar akan memberi kelebihan kepada saya apabila saya memasuki alam pekerjaan nanti. Saya belajar kejuruteraan dan pendedahan saya kepada dunia perniagaan, terutamanya dalam bidang jualan dan pemasaran sangat terhad.

Arman           :  Jadi, sudah berapa polisi yang kamu jual setakat ini?

Ah Chong     :  Baru dua – satu kepada kawan baik saya dan satu lagi kepada diri saya sendiri! Sebenarnya, ia taklah semudah yang saya sangkakan tapi saya menganggapnya sebagai satu cabaran.

Aru                 :  Barangkali, cara kamu menjual – mungkin kamu tidak menjual mengikut keperluan pelanggan, tetapi mengikut keperluan kamu sendiri!

Ah Chong     :  Terima kasih untuk maklum balas itu, Aru. Tapi bagaimana kamu hendak menentukan keperluan mereka?

Aru                 :  Saya gembira kamu bertanya kerana kami baru saja menyiapkan penyelidikan kami tentang bidang ini. Tapi sebelum saya menjawab soalan kamu, beritahu saya bagaimana kamu menentukan amaun perlindungan untuk pelanggan kamu?

Ah Chong     : Bergantung pada bajet merekalah…banyak duit, banyaklah boleh beli! Seringkalinya, amaun perlindungan insurans yang perlu ditentukan oleh seseorang itu adalah berdasarkan kepada bajetnya, iaitu premium yang mereka mampu bayar. Pendekatan ini tiada salahnya, tetapi lebih baik jika amaun perlindungan itu ditentukan berdasarkan berapa banyak wang yang diperlukan. Doktor tidak pernah bertanya berapa banyak bajet anda semasa dia mempreskripsikan ubat atau rawatan, betul tak?

Aru                 :  Saya tahu kamu pasti akan cakap macam tu! Apa pun, ia tidak salah tetapi kaedah yang lebih sesuai ialah menggunakan Pendekatan Jumlah Keperluan.

Ah Chong     :  Err, apa tu? Kamu tahulah saya ni tak pandai dalam kewangan.

Aru                 :  Aiyo-yo! Kamu campur sajalah Jumlah Keperluan Modal kamu dengan Jumlah Keperluan Pendapatan kamu.

Ah Chong     :  Apa?? Boleh kamu jelaskan lebih lanjut?

Arman           :  Biar saya terangkan. Keperluan Modal termasuklah menjelaskan hutang, memberi hadiah dalam jumlah sekali gus kepada orang tersayang, membuat sumbangan sekali kepada badan amal atau membayar perbelanjaan akhir, seperti probet dan kos pentadbiran harta pusaka yang lain, hutang dan perbelanjaan perubatan yang tidak dilindungi oleh insurans kesihatan. Keperluan Pendapatan pula ialah keperluan yang berulang. Contohnya, keperluan pendapatan bulanan keluarga atau sumbangan tetap kepada pertubuhan/yayasan amal kegemaran anda.

Pada masa ini, Ah Chong nampak lagi bingung…

Alice              :  Janganlah nampak bingung sangat, Chong. Biar saya bagi awak contoh yang mudah. Katakan seseorang itu ingin memberikan keluarganya pendapatan tahunan sebanyak RM24,000 (atau RM2,000 sebulan) selama 30 tahun. Dia juga mempunyai pinjaman rumah yang masih belum dijelaskan sebanyak RM100,000 dan ingin memberikan sumbangan sekali gus sebanyak RM50,000 kepada badan amal kegemarannya. Jumlah Keperluan Modalnya ialah RM150,000 (RM100,000 + RM50,000), manakala Jumlah Keperluan Pendapatannya ialah RM720,000 (RM24,000 x 30 tahun). Oleh itu, dengan menggunakan Pendekatan Jumlah Keperluan, amaun perlindungan yang diperlukannya ialah RM870,000 (RM150,000 + RM720,000).

Ah Chong     :  Wah, maksud kamu saya boleh menjual sebegitu banyakkah?!” (Tetapi dia sendiri tertanya-tanya sama ada bakal pelanggannya mampu membayar amaun perlindungan yang sebesar itu…)

Walaupun terdapat cara untuk menentukan amaun perlindungan yang ideal, namun ia masih berdasarkan kepada jumlah premium yang anda mampu bayar. Jumlah perlindungan insurans anda benar-benar bergantung pada kemampuan kewangan anda? Namun begitu, seorang penasihat insurans yang baik, mempunyai pengetahuan yang mendalam dan meletakkan kepentingan anda dahulu, akan dapat menasihatkan anda tentang jenis perlindungan bagi menepati keperluan dan keadaan anda yang berlainan.

Sumber : Persatuan Insurans Hayat Malaysia/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 14/Jun 2011

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button