Skip to toolbar
Pelan PelaburanPelan Perlindungan

Cara Melabur RM10,000 Dengan Bijak

Anda tidak perlu menjadi seorang jutawan untuk mengaut keuntungan daripada pelaburan yang bijak. dengan informasi dan pengetahuan yang betul, anda boleh memanfaatkan peluang pelaburan untuk mengubah kedudukan kewangan dan gaya hidup anda. Berikut adalah langkah yang membolehkan anda melabur RM10,000 secara bijak.

1. Fahami Risiko Pelaburan

Bukan semua pelaburan sama. Terdapat pelbagai pilihan dan risiko yang tersedia untuk anda, daripada risiko rendah seperti sekuriti kerajaan dan simpanan tetap yang bersifat konservatif sehinggalah risiko yang lebih tinggi seperti dana ekuiti dan saham syarikat senaraian awam bermodal kecil. Secara kebiasaannya, pelaburan yang berisiko rendah memberikan pulangan yang rendah tetapi jaminan sekuritinya lebih tinggi. Manakala dengan pilihan yang lebih berisiko, anda berkemungkinan mendapat pulangan yang jauh lebih tinggi tetapi wujud kemungkinan yang anda mungkin tidak akan mendapat pulangan sama sekali.

Oleh itu, ia terpulang kepada individu untuk memahami risiko yang sanggup diambil untuk mendapatkann pulangan ke atas pelaburan yang dilakukan. Anda dicadangkan supaya mewujudkan suatu jaring keselamatan, iaitu bersamaan jumlah enam bulan gaji sebelum memulakan pelaburan. Simpanan ini memberi ruang untuk mengejar pelaburan yang lebih berisiko tinggi agar ia dapat memberikan pulangan yang lumayan dalam jangka masa panjang.

2. Simpanan Tetap Menawarkan Pilihan Berisiko Rendah

Kadar faedah bagi akaun simpanan bank masih kekal hampir 0% selama beberapa tahun kebelakangan ini. Namun begitu, jika anda meletakkan wang anda dalam simpanan tetap, anda akan lihat bahawa akaun tersebut menjana kadar faedah antara 3% dan 4%.

Anda boleh mendapatkan pulangan ke atas simpanan tetap dengan pilihan yang mudah. Menurut Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), simpanan tetap di Malaysia dilindungi sehingga RM250,000 menjadikannya satu pilihan pelaburan berisiko rendah dengan pulangan yang stabil. Walau bagaimanapun harus diingat bahawa simpanan tetap masih beroperasi di bawah kadar inflasi, jadi jika anda berhasrat untuk meningkatkan aset anda berlipat kali ganda, ia mungkin bukan pilihan yang  terbaik.

3. Jual Beli Saham Menawarkan Pulangan Yang Lebih Baik, Namun Berisiko Tinggi

Membeli saham dan menjadi pemegang saham syarikat tersenarai merupakan antara perkara menjanjikan pulangan yang tinggi ke atas pelaburan yang dibuat. Caranya ialah dengan mencari syarikat yang berkualiti tetapi terkurang nilai (undervalued). Ia mungkin syarikat pemula (start-up) yang baru beroperasi atau perniagaan yang sedang bergelut, namun mempunyai ruang untuk kembali menjadi lebih besar dan kukuh. Walau bagaimanapun, semua pelaburan ini tidak bersifat ‘selamat’, jadi anda perlu melakukan kajian yang lebih sempurna untuk memilih pelaburan terbaik yang mampu memberikan pulangan tinggi.

4. Komoditi Sebagai Pilihan Pelaburan

Komoditi seperti emas dan perak adalah satu lagi pilihan pelaburan yang anda boleh pertimbangkan dengan modal RM10,000. Sejak dahulu lagi, harga emas memberikan para pelabur keuntungan yang bagus. Namun, harga komoditi ini tidak stabil semenjak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikannya suatu pelaburan yang semakin berisiko.

5. Pelbagaikan Jenis Pelaburan

Jika wujud hanya satu peraturan yang perlu dipatuhidalam dunia pelaburan, tentu ia mengatakan bahawa anda perlu mempelbagaikan sumber pelaburan agar anda tidak bergantung sepenuhnya hanya pada satu sumber sahaja.

Prinsip ini juga boleh diguna pakai untuk modal RM10,000 anda. Cuba imbangkan antara pelaburan berisiko rendah dan tinggi supaya anda dapat manfaat daripada kedua-dua jenis pelaburan tersebut. Dengan menggabungkan pelaburan berisiko rendah dan tinggi dalam portfolio tersebut, anda tidak akan kehilangan wang sekali gus, jika salah satu pelaburan itu tidak mendatangkan keuntungan.

Sumber: aia.com.my/Buletin Ringgit/Bank Negara Malaysia/Edisi 108/April 2019

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Back to top button