Asas PerancanganPelan PenyimpananPengurusan KewanganTabiat MenabungTip dan Panduan

Cara Efektif Menyimpan Duit

Di luar sana terdapat pelbagai teknik penyimpanan yang berkesan. Tetapi ia terpulang kepada kita untuk memilih yang manakah teknik yang terbaik untuk kita gunakan. Lain orang, lain pilihan teknik simpanannya. Kita tidak berhak untuk menyatakan teknik mana yang betul, ataupun salah. Kami juga ada memberikan beberapa teknik simpanan yang lain yang mungkin sesuai untuk sebilangan orang. Walau bagaimanapun, asas dalam pengurusan kewangan masih sama ataupun tidak ada perbezaan yang ketara.

Kali ini, kami ingin kongsikan cara menyimpan wang yang mungkin efektif bagi sesetengah orang daripada kita. Perkongsian kali ini datangnya daripada moneycompass. Seperti yang kami katakan tadi, hampir kesemua teknik simpanan yang ada di luar sana tidak mempunyai banyak perbezaan. Ada yang tambah, ada yang kurang. Ada yang ubah, ada yang kekal. Apa-apa pun, mari kita teroka teknik penyimpanan yang ini.

#1 Asingkan Gaji Sebelum Berbelanja

Pada kebiasaannya, teknik menyimpan yang paling baik adalah membuat simpanan dahulu sebelum kita berbelanja dan bukannya berbelanja dahulu kemudiannya simpan, kerana sudah tentunya kita akan alpa bila berbelanja. Dalam teknik ini, kita disarankan untuk menyimpan begini;

10% – Simpanan
10% – Takaful
10% – Emergency fund
70% – Belanja

#2 Simpan Duit di Tempat yang Susah untuk Anda Keluarkan

Simpanlah duit di Tabung Haji, ASB, ataupun tukarkan ia kepada belian emas dan simpan. Simpanan ini bagus untuk mereka yang sukar untuk mengawal kadar perbelanjaan. Tapi perlu diingat, simpanan anda ini adalah simpanan untuk jangka masa tertentu dan bukannya untuk digunakan untuk perkara yang sia-sia pada bila-bila masa kerana ia masih lagi boleh dikeluarkan. Cuma simpanan ini hanya sedikit leceh untuk dikeluarkan.

#3 Cari Duit Tambahan

Mencari duit tambahan pada zaman ini adalah lebih mudah berbanding dahulu. Capaian jalur lebar yang luas dan boleh didapati di mana-mana sahaja membuatkan kita lebih mudah untuk mencari duit tambahan atau pendapatan tambahan. Kita boleh menukarkan hobi kita kepada sesuatu yang dapat memberikan kita pendapatan. Kita juga boleh berniaga secara online yang membolehkan pasaran kita lebih luas dan segala informasi cepat sampai kepada pelanggan. Seperti tiada alasan untuk kita tidak memulakan perniagaan.

Bukan itu sahaja, duit tambahan bukan sahaja boleh dapat melalui perniagaan, tetapi ia juga boleh didapati dengan membuat kerja sambilan. Kerja sambilan sekarang ini juga adalah mudah untuk kita dapatkan. Iklan bersepah sana dan sini. Servis penghantaran seperti Grab & FoodPanda adalah pilihan ramai masa kini. Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik Covid-19 ini.

#4 Buang Semua Kad Kredit

Bagi mereka yang tidak mempunyai kekuatan untuk menahan nafsu berbelanja dan tidak mampu untuk membayar hutang kad kredit pada masa yang ditetapkan, anda disarankan untuk menghentikan segala perkhidmatan kad kredit anda kerana seperti yang anda ketahui, kad kredit ini mempunyai kadar faedah yang cukup tinggi. Tetapi kami ingin maklumkan, bagi mereka terutamanya graduan yang tidak mempunyai sebarang hutang (misalnya PTPTN), kami menyarankan untuk anda membuat kad kredit dan membina skor kredit anda dengan baik dahulu sebelum membuang kad kredit.

#5 Perbanyakkan Bersedekah

Kadangkala, ini apa yang kita terlepas pandang dalam kehidupan seharian kita yang menjadi punca kepada keberkatan duit kita itu. Duit, harta ini semua adalah pinjaman daripada tuhan untuk kita semua di dunia ini. Oleh itu, sebahagiannya kita perlulah kongsi bersama. Yakinilah bahawa, 1 kita bagi, 10 lagi yang kita akan dapat. Bersedekahlah sebanyak mana yang kita mampu.

#6 Berzakat

Berzakat adalah sesuatu amalan yang dituntut bagi kita orang yang beragama islam. Zakat itu mensucikan harta. Ada sebahagian daripada kita yang terlupa akan zakat. Sebahagian daripada harta yang kita ada ini sebenarnya adalah milik orang lain yang perlu kita agih dan berikan. Jika sebelum ini kita terlepas pandang mengenai perkara ini, kali ini kita cuba untuk perbanyakkan bersedekah dan tunaikan segala zakat yang wajib kita bayar tanpa ada yang tertinggal.

#7 Dapat Keuntungan, Laburkan Duit Tersebut

Pelaburan adalah satu perancangan kewangan yang sihat. Namun, anda memerlukan ilmu pelaburan yang betul. Pelaburan ini memerlukan modal dan juga ilmu. Modal ini adalah untuk anda memulakan pelaburan dan ilmu adalah benteng utama anda dalam kelangsungan pelaburan. Tanpa ilmu, pelaburan anda akan lebih merugikan berbanding menguntungkan. Lebih teruk lagi, anda mungkin akan menjadi mangsa penipuan yang mudah. Berikut adalah 7 tempat yang boleh anda laburkan duit anda iaitu:

1. Tabung Haji
2. Amanah Saham Bumiputera Financing (ASBF)
3. Emas
4. Akaun Simpanan Tetap (Fixed Deposit)
5. Unit Amanah
6. Pasaran Saham
7. Bitcoin

Kesimpulannya, kita perlulah ada asas dalam pengurusan dan perancangan kewangan supaya kita terhindar daripada segala permasalahan kewangan. Caranya adalah dengan mengasingkan gaji sebelum berbelanja, simpan duit di tempat yang sukar untuk dikeluarkan, cari duit tambahan, buang semua kad kredit, banyakkan bersedekah dan berzakat, dan akhir sekali adalah dengan melaburkan duit anda. Semoga cara ini memberi manfaat kepada semua pembaca.

Semoga berjaya semua!

Sumber: moneycompass/Oktober 2020

Name
Email
Email Marketing by TrafficWave.net

Artikel Berkaitan

Lihat Juga
Close
Back to top button